TRANSFORMASI NEGARA PERDANA MENTERI NAJIB TIDAK DEMOKRATIK, BERSIFAT DENDAM DAN SUPERFISIAL

TRANSFORMASI NEGARA PERDANA MENTERI NAJIB TIDAK DEMOKRATIK, BERSIFAT DENDAM DAN SUPERFISIAL

Kenyataan Media: 10hb Disember 2012

 

Perdana Menteri Najib Tun Razak mempunyai tempoh masa setahun untuk menunaikan janji beliau sebelum Pilihanraya Umum ke-13 yang akan datang namun, situasi dan keadaan hak asasi di Malaysia untuk tahun 2012 tidak ada pencapaian yang memuaskan.

 

Gangguan dan intimidasi terhadap SUARAM sepanjang pertengahan tahun 2012 sehingga sekarang menunjukkan satu perlanggaran hak asasi yang ketara dan tabiat buruk pendakwaan berniat dendam terhadap pejuang-pejuang hak asasi.

 

Penahanan tanpa bicara masih berterusan di dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (“SOSMA 2012”) yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960. Hak kebebasan berhimpun pula ditadbir oleh satu undang-undang yang menghadkan kebebasan; Kebebasan expresi telah dihalang oleh pengenalan S114A Akta Keterangan 1950; satu program yang sepatutnya menguruskan golongan bukan warganegara Malaysia telah digunapakai oleh kerajaan dan kroninya untuk mengaut keuntungan melalui ejen-ejen pekerjaan palsu.

 

Penerusan Penahanan Tanpa Bicara

SOSMA 2012 telah mendapat mohor Yang Dipertuan Agong pada 18/6/2012 dan telah beroperasi sejak 31/7/2012 untuk menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960. Walaubagaimanapun, kritik-kritik hak asasi menegaskan bahawa SOSMA 2012 masih membenarkan penahanan tanpa bicara di Malaysia.

 

Menteri Dalam Negeri telah memerintahkan beberapa pembebasan tahanan-tahanan Kamunting sepanjang tahun, terutamanya selepas satu rantain mogok lapar yang dilancarkan oleh tahanan-tahanan tersebut. Pada masa ini, 27 tahanan masih ditahan di Kamunting. Komposisinya adalah seperti berikut:- 10 rakyat Malaysia, 6 warga Sri Lanka, 2 warga India, 2 warga Iraq, 2 warga Indonesia, 1 warga Bangladesh, 1 warga Pakistan and 3 warga Filipina. Sebanyak 18 daripada 45 tahanan telah dibebaskan pada tahun 2012 berbanding 20 pada tahun 2011. Tidak ada lagi penahanan yang dibuat di bawah SOSMA 2012 setakat Disember 2012 berbanding dengan 27 individu yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri 1960 pada tahun 2011.

 

Peningkatan kematian di dalam tahanan polis dan mangsa tembakan polis

Kematian dalam tahanan, penembakan membuta-tuli dan keganasan polis terhadap rakyat berterusan tanpa kawalan pada tahun 2012. Statistik rasmi untuk kematian dalam tahanan merekodkan angka 209 di antara tahun 2000 sehingga September 2012. Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein mendedahkan di Parlimen bahawa sejumlah 298 mangsa tembakan polis direkodkan di antara tahun 2007 sehingga Ogos 2012. 37 kematian direkodkan pada tahun 2012 berbanding 30 pada tahun 2011.

 

Tanpa menghiraukan desakan daripada pejuang-pejuang hak asasi dan mangsa- mangsa keganasan polis, kerajaan tegar dengan pendapat bahawa IPCMC tidak diperlukan. Sebaliknya, EAIC ditubuhkan, satu suruhanjaya yang tidak mempunyai kapasiti dan kebebasan mendakwa seperti IPCMC.

 

Integriti dan Kebebasan Polis Menjadi Tanda Tanya

Persoalanan tentang integrity dan kebebasan polis timbul ekoran pendedahan yang dibuat oleh bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan. Beliau mendakwa bahawa terdapat anasir pengaruh politik di dalam institusi polis, termasuk menurut perintah daripada ahli- ahli politik atau ‘orang atasan’ untuk membebaskan seseorang individu di dalam sesuatu kes. Satu Deklarasi Statutori yang dibuat pada 2009 menimbulkan banyak tanda tanya pada institusi polis Malaysia. Bekas aide de camp Musa, Noor Azizul Rahin Taharim telah mendedahkan salah laku Musa ketika beliau masih memegang jawatan KPN. Menurut Noor Azizul, Musa telah menutup kritikan di dalam institusi polis dengan cara manipulasi kenaikkan pangkat, jawatan dan penempatan antara pegawai- pegawai polis.

 

Ketidakadilan terhadap warga asing

Malaysia belum menandatangani 1951 Convention relating to the Status of Refugee and its 1967 protocol walaupun desakan daripada pejuang-pejuang hak asasi tempatan dan antarabangsa. Akta Imigresen 1959/63 terus digunapakai untuk menahan, menyebat dan menghantar pulang warga asing sepanjang tahun 2012.

 

Statistik kerajaan menunjukkan sejumlah 35,000 warga asing telah dikenakan hukuman sebat di bawah S6(1) Akta Imigresen 1959/63 di antara tahun 2005 dan 2012. Sejumlah 32,664 (93.3%) didapati melanggar Akta Imigresen 1959/63 sementara 2,336 (6.7%) telah disabit bersalah di bawah Kanun Keseksaan dan Akta dadah Berbahaya 1952.

 

Program 6P telah berhenti beroperasi pada 10/4/2012 selepas dakwaan penyelewengan dan ketidakadilan oleh pejuang-pejuang hak asasi di Malaysia. Satu pendedahan terhadap bekas Menteri dalam Negeri, Mohd Radzi Sheikh Ahmad telah ditimbulkan. Beliau merupakan salah satu Pengarah bagi SNT Universal Corporation Sdn Bhd, ejen yang dilantik oleh kerajaan untuk Program 6P. SNT telah menyeleweng bayaran fi daripada warga asing dan yang kononnya akan didaftarkan di bawah Program 6P dan seterusnya mendapatkan permit bekerja untuk mereka.

 

Penindasan Kebebasan Ekspresi dan Maklumat

Kerajaan berterusan mengehadkan kebebasan expresi dan maklumat rakyat Malaysia sepanjang tahun 2012. Pada May 2012, 30 pegawai JAWI telah merampas buku penulis Irshad Manji,  ‘Allah, Kebebasan & Cinta dari kedai buku Borders kerana kandungan buku tersebut bertentangan dengan ajaran Islam.

 

Penerbit buku tersebut, Ezra Zaid dari ZI Publications telah disoal oleh Jabatan Agama Islam Selangor di bawah S47(1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Pengurus Kedai, Nik Raina Nik Abdul Aziz pula didakwa di bawah S13 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 atas kesalahan pengedaran buku tersebut.

 

Permohonan Semakan Kehakiman Mkini Dotcom untuk mengenepikan keputusan Menteri Dlaam Negeri di dalam menolak permit penerbitan Malaysiakini telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1/10/2012. Yang Arif Abang Iskandar Abang Hashim menyatakan “…the decision affects the right of the applicant to the right of freedom of expression, which also includes the right to apply for a permit. It is a fundamental liberty enshrined in the constitution…” Akan tetapi, pihak pendakwaraya dan Kementerian Dalam Negeri telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

 

Pendakwaan Selektif di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012

Fungsi utama Akta Perhimpunan Aman 2012 telah ditonjolkan oleh pendekatan yang diambil oleh kerajaan semasa himpunan BERSIH 3.0. Sejumlah 909 gas pemedih mata telah dilepaskan semasa himpunan BERSIH 3.0 berbanding 262 di himpunan BERSIH 2.0. Terdapat kira-kira 300,000 peserta telah hadir pada himpuana BERSIH 3.0 dan jumlah tangkapan polis mencatatkan angka 572. Kerajaan telah memfailkan dua tuntutan sivil terhadap kerosakan jarta benda awam terhadap pemimpin-pemimpin BERSIH 2.0.

 

Akta Perhimpunan Aman 2012 telah menerima mohor Yang DiPertua Agong pada 30/1/2012 dan mula beroperasi pada 23/4/2012, sebaik sahaja sebelum himpunan BERSIH 3.0 pada 28/4/2012. Peserta-peserta seperti Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Badrul Hisham Shaharin telah didakwa di bawah S4(2)(c) APA 2012 kerana melanggar perintah Majistret dan menyertai himpunan BERSIH 3.0. Ketiga-tiga tersebut juga telah didakwa berkonspirasi dengan R. Tangam, G. Rajesh Kumar dan Farhan Ibrahim untuk merempuh benteng yang didirikan di Dataran Merdeka.

 

Kumpulan aktivis pelajar meninggalkan impak yang besar pada tahun 2012. Pada 14/4/2012, kira-kira 500 ahli Malaysia Bangkit, Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia, Kelab Mangsa PTPTN dan Malaysia Student Democratic Movement telah menuntut pemansuhan PTPTN dan pendidikan percuma untuk pelajar-pelajar Malaysia. Keganasan timbul apabila kira-kira 50 ke 70 samseng menyerang pelajar-pelajar dan merosakkan khemah-khemah yang didirikan di Dataran Merdeka. Seorang pelajar yang tercedera terpaksa digegaskan ke hospital untuk rawatan segera. Sekumpulan pegawai polis hanya menyaksikan insiden tersebut tanpa campur tangan.

 

Kumpulan pencinta alam sekitar mencipta tajuk utama dengan rantian himpunan-himpunan yang diadakan di selurah negara. Himpunan Hijau memulakan satu perjanan epic sejauh 300 kilometer bermula dari Kuantan ke Kuala Lumpur. Dengan hanya 70 pejalan kaki di Kuantan, sokongan dari aktivis dan orang awam telah turut serta sehingga mencapai kira-kira 20,000 ketika ekspedisi sampai di Dataran Merdeka. Himpunan Hijau protes dan menuntut kepentingan alam sekitar di dalam beberapa isu iaitu Lynas Corporation rare earth refinery di Gebeng; penggunaan sianida oleh Raub Australia Gold Mining Sdn Bhd; Projek Petronas Refinery and Petrochemical Integrated Development yang berjumlah RM60 bilion di Pengerang dan pembinaan empangan-empangan raksasa di Sarawak. Sebelum himpunan tersebut tamat, polis telah membuat satu pengumuman kepada para peserta bahawa pihak polis akan membuat siasatan terhadap penganjur himpunan di bawah APA 2012.

 

Gangguan bersifat dendam terhadap pejuang-pejuang hak asasi

Ekoran Inkuiri Awam berhubungan dengan pembelian kapal selam Scorpene yang berlangsung di Paris, SUARAM telah diganggu kacau oleh kerajaan Malaysia dan agensi-agensinya. Pada 1/7/2012, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (“JMM”), Azwanddin Hamzah mendesak supaya SUARAM menerangkan statusnya sebagai NGO dan mendedahkan sumber-sumber dana tempatan dan antarabangsa. Dua hari selepas itu, Suruhanjaya Syarikat-Syarikat Malaysia (“SSM”) tiba di pejabat SUARAM untuk satu ‘semakan rutin’.

 

Akhbar-akhbar seperti News Straits Times, Berita Harian dan Utusan Malaysia turut menyertai gangguan berantai kerajaan Malaysia dengan mendakwa SUARAM dan organisasi lain seperti BERSIH 2.0, Malaysiakini dan Centre for Independent Journalism terlibat dalam satu “plot ‘Zionis’ untuk menggugat kestabilan kerajaan”.

 

Ketibaan SSM tersebut menandakan satu permulaan penyiasatan berantai terhadap SUARAM dan mana-man individu yang dianggap berkaitan dengan SUARAM. Satu task force yang terdiri dari SSM, Suruhanjaya komunikasi dan Multimedia Malaysia, Bank Negara, Pendaftar Pertubuhan, Polis DiRaja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri. Gangguan berantai ini masih berterusan sehingga kini.

 

Perkembangan Positif Kehakiman Malaysia, Perkembangan Negatif Undang-Undang Malaysia

Pada 2/10/2012, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Lau Bee Lan telah memutuskan untuk memberi ganti rugi kepada lima bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang terdiri daripada Hishamuddin Rais, MP Chua Tian Chang, Badrulamin Bahrom, Saari Sungib dan Badaruddin Ismail. Hakim tersebut menetapkan ganti rugi sebanyak RM15,000.00 untuk setiap tahanan setiap hari di dalam tahanan dan RM30,000.00 untuk setiap tahanan sebagai ganti rugi teladan. Hakim tersebut juga menetapkan ganti rugi umum sebanyak RM60,000.00 dan RM40,000.00 sebagai ganti rugi teladan di bawah satu kausa tindakan fitnah. Yang Arif Lau Bee Lan memutuskan bahawa penahanan bekas tahanan-tahanan tersebut adalah salah, berniat jahat dan bekas tahanan-tahanan tersebut telah telah didera dengan kejam.

 

Pindaan S114A Akta Keterangan 1950 telah diluluskan di Parlimen pada sekitar Mei 2012. S114A telah meletakkan beban bukti kepada tertuduh untuk membuktikan bahawa tertuduh tidak bersalah dan sekiranya gagal memuaskan beban bukti tersebut, pengarang (tertuduh) sesuatu blog atau laman web akan disabitkan bersalah jika terdapat sebarang material yang tidak sah dari segi undang-undang diterbitkan di bawah nama pengarang tersebut. Pindaan ini menimbulkan risiko pendakwaan salah dan ketidakadilan.

 

Pada bulan Oktober 2012, Menteri Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz mengumumkan bahawa kerajaan Malaysia bercadang untuk menggantikan hukuman mati kesalahan dadah berbahaya dengan hukuman penjara. Beliau mengakui bahawa kesalahan dadah berbahaya gagal untuk menyabitkan pesalah utama kerana kebiasaannya hanya ‘keldai dadah’ sahaja yang terjurus dalam tindakan undang-undang. Sekiranya benar, ini bermaksud bahawa 900 pesalah-pesalah buat masa ini akan dikecualikan hukuman gantung sampai mati. Walaubagaimanapun, kerajaan tidak menyentuh hukuman mati yang berhubungan dengan kesalahan membunuh.

 

 

Rayuan golongan tidak berwarganegara di Malaysia

Kes-kes golongan tidak berwarganegara di Malaysia telah meningkat pada tahun 2012. Pada Jun 2012, Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia mendakwa bahawa Jabatan Kebajikan Sosial Malaysia telah gagal mengisukan sijil kelahiran kepada kira-kira 1,758 anak-anak yatim di Malaysia.

 

 

Tindakan-Tindakan Terpuji SUHAKAM

Pada 21/5/2012, SUHAKAM mengumumkan bahawa ia akan menubuhkan satu Inkuiri Awam ke atas tindakan-tindakan tidak munasabah oleh polis semasa himpunan BERSIH 3.0. SUHAKAM telah mengambil satu pendekatan yang serius terhadap keperluan untuk menubuhkan inkuiri tersebut bersandarkan kuasa yang termaktub di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999.

 

SUHAKAM juga telah mengisukan satu kenyataan pada bulan Oktober 2012 ekoran penyerahan Memorandum oleh SUARAM berhubungan dengan gangguan dan intimidasi oleh kerajaan Malaysia. SUHAKAM telah menegaskan bahawa kebebasan ekspresi dan berpersatuan adalah dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan di dalam Universal Declaration of Human Rights. Di samping itu, SUHAKAM juga menegaskan bahawa Universal Declaration on Human Rights Defenders mengakui aktiviti-aktiviti pejuang-pejuang hak asasi untuk melindungi hak asasi manusia termasuklah penerimaan dana asing untuk meneruskan aktivit-aktivit hak asasi tersebut. SUHAKAM seterusnya menyatakan bahawa pejuang-pejuang hak asasi sepatutnya dibenarkan berfungsi dengan bebas dan beroperasi di dalam satu keadaan yang selamat dan harus mempunyai kebebasan dalam pembentukkan status, struktur dan aktiviti-aktivitinya.

 

Hak dan kebebasan asas rakyat Malaysia masih dihalang dengan penahanan tanpa bicara, kematian dalam tahanan polis, mangsa penembakan polis, ketidakadilan terhadap warganegara asing, penindasan kebebasan ekspresi dan maklumat dan pendakwaan selektif di bawah APA 2012. SUARAM berjanji akan terus memperjuangkan hak dan kebebasan asas rakyat Malaysia dalam melindungi hak dan kebebasan rakyat Malaysia untuk generasi-generasi akan datang.

 

Sekian, terima kasih.

 

 

SUARAM

 

Posted in Other Updates, Press Statements