Home > Media Statements > Press Statements > Executive Summary SUARAM Annual Human Rights Report 2016 – BM Version

Executive Summary SUARAM Annual Human Rights Report 2016 – BM Version

RINGKASAN EKSEKUTIF

Semasa kerajaan yang ditekan berusaha untuk menepis kritikan-kritikan antarabangsa mengenai skandal 1MDB sepanjang tahun 2016, pelanggaran hak asasi manusia berterusan. Isu penahanan tanpa perbicaraan masih membimbangkan sementara kejadian penembakan polis meningkat secara mendadak. Kebebasan bersuara amat tersekat manakala kebebasan berhimpun telah dirampas oleh kumpulan neo-fasis yang tidak dihalang oleh kerajaan. Kebebasan bergerak bagi sekalangan rakyat Malaysia telah ditarik menurut perintah kerajaan persekutuan dan negeri sementara kebebasan beragama diancam oleh rang undang-undang ahli persendirian mengenai hudud di parlimen. Sementara itu, pilihanraya yang bebas dan adil terancam oleh suatu proses penyempadanan semula yang sedang berjalan, yang tampak seperti suatu tindakan penentuan sempadan dan penyalahbahagian. Komuniti LGBTIQ masih ditentang dan diganggu oleh pihak berkuasa agama negeri, tanah adat orang asli masih dicerobohi oleh pembalak yang diberikan kebenaran oleh pihak berkuasa negeri manakala golongan pelarian dan pencari suaka masih dibebankan oleh ancaman gangguan dari agensi penguatkuasaan.

Kes-kes penahanan di bawah SOSMA dan POCA yang direkodkan masih bertambah pada tahun 2016. Sepanjang tahun 2016, SUARAM telah merekodkan 189 kes penahanan di bawah SOSMA. Berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2015, SUARAM merekodkan kurang daripada 50 kes penahanan di bawah SOSMA. Beberapa kes yang melibatkan penggunaan POCA yang didedahkan pada tahun 2016 membangkitkan kerisauan mengenai penggunaan POCA terhadap penjenayah kali pertama. Walaupun POCA sering digunakan terhadap ‘jenayah terancang’, dalam beberapa kes yang dilaporkan, ia telah digunakan terhadap jenayah-jenayah yang tidak berkaitan dengan jenayah terancang atau sindiket. Melalui suatu persidangan mengenai Akta Majlis Keselamatan Negara di Kuala Lumpur, penggunaan POTA pada tahun 2016 turut didedahkan. Walaupun jumlah penahanan di bawah POTA agak rendah, perlu diingati bahawa suspek pengganas boleh dan masih ditahan di bawah POCA.

Walaupun terdapat sedikit pengurangan dari segi jumlah kes-kes seksaan dan layanan buruk oleh Polis DiRaja Malaysia, beberapa kes berprofil tinggi yang didakwa melibatkan keganasan dan siksaan polis didedahkan pada tahun 2016. Tambahan pula, amalan ‘reman bersambung’ kekal berterusan, dengan kes-kes yang serius dilaporkan oleh SUARAM pada bulan Mac, April, Mei, Jun dan Julai 2016. Sebelum jawapan Parlimen diberikan pada Mac 2017, hanya terdapat dua kes kematian dalam tahanan polis yang diketahui umum. Jawapan Parlimen tersebut telah mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 15 individu telah meninggal dalam tahanan polis pada 2016. Sejurus dengan peningkatan mendadak kematian dalam tahanan polis, kejadian penembakan polis semakin bertambah dalam beberapa tahun kebelakangan dengan 57 kes kejadian penembakan polis di mana 54 kematian dilaporkan.

Kebebasan bersuara masih dikekang oleh kerajaan Malaysia. Perkembangan positif pada tahun 2016 adalah pada pengurangan mendadak dalam penggunaan Akta Hasutan 1948. Malangnya, pengurangan dalam penggunaan Akta Hasutan disusuli oleh beberapa sabitan dan kegagalan dalan cabaran perlembagaan. Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah menjadi senjata utama Kerajaan untuk menyekat ketidakpersetujuan dan kritikan pada tahun 2016 dengan lebih daripada 30 kes dilaporkan dan lebih daripada 60 penyiasatan dilaksanakan pada separuh pertama tahun 2016 sahaja. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) tetap menjadi halangan kepada kebebasan bersuara dengan penambahan buku-buku ke dalam senarai penerbitan yang diharamkan. Pada tahun 2016, penerbitan agama yang ‘sesat’ adalah mangsa-mangsa utama PPPA. Gerakan sosial Bersih sekali lagi menjadi mangsa kepada PPPA pada tahun 2016 apabila penganjur konvoi Bersih ditangkap di Sabah pada tahun 2016.

Terdapat lebih kebebasan berhimpun di Malaysia pada tahun 2016 dengan jumlah penahanan yang amat berkurang dalam perhimpunan aman. Walaupun gangguan kerajaan tidak seteruk tahun-tahun sebelumnya, penganjur dan peserta masih diganggu oleh siasatan polis terhadap jenayah yang tidak wujud. Kebangkitan kumpulan neo-fasis ‘Baju Merah’ menimbulkan kerisauan baru berkenaan kebebasan berhimpun di Malaysia. Kerajaan nampaknya telah menyumberluarkan gangguannya kepada pihak-pihak bukan kerajaan seperti ‘Baju Merah’ yang telah bertindak ganas untuk menyebabkan kekacauan kepada konvoi Bersih dan membuat ancaman terhadap Bersih dan kakitangan media.

Sekatan terhadap kebebasan bergerak di Malaysia amat ketara semasa pilihanraya negeri Sarawak pada tahun 2016 apabila satu senarai panjang ahli-ahli politik pembangkang dan aktivis-aktivis hak asasi manusia telah dihalang dari memasuki Sarawak semasa tempoh berkempen. Beberapa individu sayap kanan yang mengundang kontroversi dari Semenanjung Malaysia juga dihalang daripada memasuki Sarawak. Maria Chin telah dihalang daripada bergerak semasa beliau mencuba untuk berangkat dari Malaysia untuk menerima Anugerah Gwangju bagi Hak Asasi Manusia 2016. Beliau dilaporkan telah dihalang daripada bergerak kerana ‘merendah-rendahkan’ kerajaan di luar negara. Seorang menteri mencuba untuk menjustifikasikan tindakan kerajaan dengan mendakwa bahawa kebebasan bergerak adalah keistimewaan dan bukan hak.

Bagi kebebasan beragama, isu penukaran agama oleh seorang ibu atau bapa sahaja kekal sebagai suatu isu tanpa sebarang penyelesaian dalam masa terdekat di Malaysia. Pindaan undang undang yang dijanjikan oleh kerajaan Malaysia yang sepatutnya membantu keluarga-keluarga yang terperangkap dalam pertikaian undang-undang mengenai penukaran agama oleh seorang ibu atau bapa sahaja masih belum dibentangkan setakat pada 31 Oktober 2016. Kumpulan agama minoriti yang dianggap ‘sesat’ masih terancam sepanjang tahun 2016 dengan pengharaman penerbitan oleh PPPA dan penahanan individu-individu yang dituduh merupakan pengamal syiah. Isu rang undang-undang pindaan Hudud yang mengundang kontroversi kembali menjadi berita utama di Malaysia selepas Kerajaan Malaysia menyokong pembentangan rang undang-undang ahli persendirian Parti SeIslam Malaysia. Walaupun parti komponen dalam pakatan pemerintah sendiri terang-terang mengkritik tindakan oleh kerajaan tersebut, tiada sebarang tindakan nyata yang telah dilaksanakan untuk menangguhkan rang-undang-undang itu. Walaupun pakatan pembangkang tampaknya menolak pindaan yang dicadangkan, parti komponen AMANAH turut mencadangkan deraf pindaan terhadap rang undang-undang PAS yang penuh kontroversi.

Pilihanraya bebas dan adil sekali lagi menghadapi ancaman serius pada tahun 2016. Semasa pilihanraya kecil yang diadakan pada tahun itu, kesalahan pilihanraya oleh ahli-ahli politik dari pihak kerajaan dan pembangkang adalah yang tertinggi dalam rekod. Setakat pada 31 Oktober 2016, Bersih telah mengutarakan kebimbangan mengenai tindakan penentuan sempadan dan penyalahbahagian di banyak kawasan pilihanraya.

Bagi Undang-Undang dan Kehakiman di Malaysia, beberapa cabaran perlembagaan yang mampu membawa kesan besar di Malaysia kekal tidak terjawab pada tahun 2016. Undang-undang seperti Akta Perhimpunan Umum 2012 masih belum diselesaikan dengan keputusan-keputusan mahkamah rayuan yang bertentangan. Usaha terakhir Anwar Ibrahim untuk membuat rayuan terhadap hukumannya di Mahkamah Persekutuan telah didengari pada Oktober 2016 dan ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 14 Disember 2016.

Isu-isu Jantina dan Seksualiti kekal bermasalah pada 2016. Terdapat sedikit peningkatan bagi kesamarataan jantina di Malaysia. Komen-komen bersifat seksis masih dibuat sewenang-wenangnya oleh ahli politik dari pihak kerajaan dan pembangkang. Komuniti LGBTIQ masih ditentang pada tahun 2016 dengan peningkatan dalam kes-kes penahanan dan gangguan yang dilaporkan. Penganiayaan komuniti tersebut oleh pihak berkuasa agama di negeri-negeri di seluruh Malaysia berterusan dengan ruang yang sangat sedikit atau tiada ruang bagi perbincangan atau interaksi yang bermakna.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) tidak mampu bertindak sehingga Jun 2016 selepas terma pesuruhjaya-pesuruhjaya SUHAKAM yang sebelumnya tamat pada April 2016. Kelambatan dalam pelantikan pesuruhjaya-pesuruhjaya baru dan pengurangan dana pada tahun 2015 memberi tanggapan bahawa kerajaan menghukum SUHAKAM atas pembelaan hak asasi manusia pada tahun 2015. Walaupun begitu, bajet baru bagi tahun 2017 membolehkan bajet SUHAKAM dikembalikan kepada peruntukan terdahulu iaitu sebanyak RM10 juta. Sejurus selepas pelantikan, pengerusi yang baru telah mengeluarkan penyataan yang melanggar nilai-nilai hak asasi manusia yang diiktiraf dan mengundang kritikan dari masyarakat sivil. Setelah itu, pengerusi yang baru dilantik telah mengambil pendirian baru yang lebih bersesuaian dengan hak asasi manusia dan memberikan sokongan jelas dalam banyak isu yang selaras dengan nilai-nilai hak asasi manusia antarabangsa.

Kesusahan orang asli di Malaysia bertambah teruk pada tahun 2016 dengan cabaran baru yang dihadapi oleh komuniti di Kelantan sementara pembalak yang dibenarkan oleh kerajaan mengancam untuk memusnahkan kediaman dan cara hidup mereka. Dalam suatu usaha terdesak, komuniti orang asli di situ telah membina sekatan dan meminta agar kerajaan negeri membuat perundingan bagi mendapatkan penyelesaian yang dikehendaki oleh pihak komuniti. Selain itu, warga orang asli mendapat kejayaan apabila mahkamah membuat pemutusan mengenai hak mereka atas tanah adat. Suatu kemenangan penting bagi orang asli dikecapi dengan pembatalan Empangan Baram di Sarawak pada Mac 2016.

Bagi golongan pelarian dan pencari suaka, keengganan kerajaan Malaysia untuk mengiktiraf hak mereka bermaksud bahawa mereka kekal di bawah ancaman berterusan dan didedahkan kepada eksploitasi sistemik. Dalam beberapa kes, ancaman yang dihadapi oleh golongan pelarian dan pencari suaka adalah daripada kerajaan Malaysia sendiri. Layanan yang ketara berbeza diberikan terhadap pelarian Syria pada tahun 2016 apabila seorang menteri menyatakan bahawa pelarian dari Syria diterima di Malaysia bukan sebagai pelarian tetapi sebagai migran.

Hukuman Mati masih merupakan pelanggaran hak asasi manusia yang serius di Malaysia pada tahun 2016 dengan 9 kes pelaksanaan hukuman mati dilaporkan oleh Menteri Undang-Undang di Parliman. Daripada 9 kes ini, hanya empat kes diketahui umum. Setakat pada tahun 2016, terdapat lebih dari 1,000 banduan yang mendapat hukuman mati dengan tiada sebarang harapan pengampunan.

You may also like
Kenyataan media SUARAM – Pelancaran Laporan Hak Asasi Manusia Malaysia SUARAM 2016
SUARAM Human Rights Report Overview 2015
Suaram: Heightened intolerance towards dissent (The SUN- 21 july 2010)
Press release: 21 July 2010