Malam Dari Rakyat Untuk Rakyat
1. Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dalam rangka tindakannya untuk terus meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan mendesak Kerajaan supaya memansuhkan akta tersebut dan membebaskan semua tahanan, ingin memaklumkan satu lagi usaha terkininya mencapai masyarakat.
2. GMI mengalu-alukan kelahiran album terbaru Dari Rakyat Untuk Rakyat (DRUR) yang berkonsep didikan mengenai kemanusiaan, keadilan, demokrasi dan hak asasi. Objektif menerbitkan album ini ialah untuk menyajikan masyarakat dengan lagu-lagu yang mempunyai mesej yang baik sejajar dengan perjuangan untuk mewujudkan Masyarakat Madani di Malaysia.
3. Penerbit Album ialah Sdr Meor Yusof Aziddin Meor Hassan, seorang aktivis kesenian yang telah menerbitkan 6 buah album sekitar tahun 2001-2008. Album ini melibatkan lirik-lirik lagu yang ditulis oleh Hishamuddin Rais, Pyanhabib, Zunar, Amer Hamzah Arshad, Rahmat Haron, Amin Iskandar, Abdullah Jones dan lain-lain lagi. Di antara lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini ialah Membenarkan Kebodohan, Ke Jalan Lagi, Syuhada Memali, Awas API Perempuan Ini, Rakyat Bersatu, Bapaku Seorang YB, Dia Yang Terluka, I.S.A dan lain-lain lagi.
4. Sempena pelancaran album tersebut dan meluaskan lagi pemahaman rakyat terhadap mesej-mesej kemanusiaan, keadilan dan ketelusan melalui kaedah hiburan alternatif, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hulu Kelang dengan kerjasama GMI akan menganjurkan Malam Dari Rakyat Untuk Rakyat pada hari Sabtu, 17 Oktober 2009 dari jam 8.30 malam hingga 12.00 tengah malam di Dewan MPAJ AU2, Taman Keramat, Hulu Klang, Selangor. Dijangka seramai 500 orang akan hadir pada malam tersebut termasuk jemputan khas, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.
5. Antara program Malam DRUR ialah :
1. Pelancaran Album “DRUR” dan Sumbangan Amal
2. Persembahan Puisi (Datuk A.Samad Said, Rahmat Haron)
3. Persembahan Lagu (Meor Yusof Aziddin, Amin Iskandar,Nik Jidan)
4. Tayangan Filem Pendek “Al-Fatehah Memali”
5. Jualan CD “Dari Rakyat Untuk Rakyat”
6. Klip video lagu D Palang Ini
6. GMI juga mengalu-alukan mana-mana pihak, NGO, Wakil Rakyat, Persatuan Penduduk dan lain-lain yang menyokong perjuangan ini untuk menganjurkan program serupa secara bersiri di tempat masing-masing. GMI akan bekerjasama dengan pihak tersebut untuk menjayakan program berkenaan. Sebahagian hasil jualan album DRUR akan disumbangkan kepada GMI untuk meneruskan kempen anti-ISA.
7. GMI mengajak rakyat dari seluruh lapisan masyarakat untuk mengambil kesempatan bersama Malam DRUR bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran tentang isu-isu berkisar tentang kemanusiaan, keadilan dan ketelusan dengan kaedah hiburan alternatif dan santai.
Mansuhkan ISA!
Bebaskan Tahanan!
Tutup Kemta!
Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi
Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)




