Di mana Kecekapan PDRM Dalam Menyelesaikan Isu Kalimah ‘Allah’?

                         Kenyataan Akhbar

SUARA RAKYAT MALAYSIA (SUARAM) mengutuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) di atas kegagalannya menyelesaikan kes serangan bom api terhadap 8 buah gereja bermula pada 8 Januari 2010 yang berlanjutan sehingga hari ini.

SUARAM mengutuk PDRM yang sehingga hari ini masih tidak dapat mengesan pihak-yang terlibat dalam tindakan keganasan terhadap gereja dan tempat beribadat serta kawasan persekolahan. Tiada sebarang tindakan susulan walaupun Ketua Polis Kuala Lumpur Muhammad Sabtu Osman menyatakan terdapat  lebih daripada dua orang suspek terlibat di dalam kes kebakaran gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati. Sehingga hari ini,  selepas tiga hari  insiden pertama berlaku,  tidak ada suspek yang telah dikenalpasti dan ditangkap.

Pihak Polis hanya menyeru rakyat supaya bertenang di dalam isu kontrovesi penggunaan kalimah ‘Allah’ tetapi tidak mengambil sebarang tindakan serius seperti  mengumumkan langkah-langkah penyelesaian atau pencegahan bagi  menghentikan kes-kes  keganasan yang berlaku di tempat beribadat dan sekolah .

SUARAM tidak berpuas hati terhadap pendirian PDRM apabila memberikan alasan pihak gereja perlu mencari langkah keselamatan secara persendirian kerana  kekurangan pengawai Polis untuk berkawal. Persoalannya disini, adakah masalah keselamatan rakyat Malaysia bukan tanggungjawab pihak Polis dengan memberikan alasan rakyat perlu mengambil langkah keselamatan secara sendirian untuk mendapatkan perlindungan? 

Di samping itu, , SUARAM mengutuk sikap pihak Polis yang sekali lagi mengamalkan sikap  “berat sebelah” di dalam menangani isu perhimpunan aman di mana Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar  memberikan amaran kepada orang ramai supaya tidak menyertai sebarang demonstrasi di Gereja Assumption, Petaling Jaya  pada 13 Jan yang  bakal dianjurkan oleh pertubuhan HINDRAF.  Pihak Polis sebaliknya membenarkan perhimpunan aman yang diadakan di beberapa buah Masjid mengenai isu kalimah ‘Allah’ pada 8 Januari 2010.

SUARAM berpendirian tegas bahawa rakyat mempunyai hak asasi untuk berhimpun secara aman bagi menyuarakan pendirian mereka seperti yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan Artikel 10 1(b).

SUARAM turut  meragui Petunjuk Prestasi Utama (KPI) PDRM yang mencatatkan  113.8% pada tahun lepas walaupun pihak Polis tidak dapat menjaga keselamatan negara secara berkesan. Kes kebakaran gereja dan kaedah  pengendalian pihak Polis di dalam kes ini menjadi contoh terbaru kegagalan pihak Polis bertindak secara berkesan.

SUARAM menyeru supaya pihak Polis segera bertindak serius untuk memastikan keselamatan rakyat, gereja dan sekolah terjamin. SUARAM sekali lagi menegaskan bahawa undang-undang sedia ada mampu untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab di atas kesalahan keganasan dan juga kerosakan harta benda, tanpa menggunakan undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan dan Akta Polis.

Akhir sekali, SUARAM menyeru Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan supaya meletakkan jawatannya  kerana  kegagalan menjalankan tugas untuk menjaga keselamatan negara sehingga  hari ini dan juga masalah penyelewengan kuasa yang wujud di kalangan  anggota Polis yang tidak pernah diselesaikan sehingga ke hari ini.