Hormati Keputusan Mahkamah dan Segera Berikan Pampasan Kepada Puan Suzana !

Kenyataan Media: 9 Julai 2010

SUARAM menggesa Peguam Negara supaya membayar  pampasan ganti rugi yang berjumlah 1.4 juta kepada kepada Puan Suzana yang telah  kematian suami semasa dalam tahanan polis.  Pembayaran pampasan tersebut merupakan satu kemenangan rakyat dalam memperjuangkan hak asasi manusia dalam kes kematian dalam tahanan  polis.

Puan Suzana merupakan isteri kepada mangsa Mohd Anuar Sharip (31 tahun) yang telah meninggal dunia dalam tahanan polis di Balai Polis Rawang pada 19 Ogos 1999. Pada 1 Julai 2010, Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Swee Seng telah memerintahkan  bekas Ketua Polis Negara, iaitu Tan Sri Norian Mai dan  kerajaan perlu bertanggungjawab membayar ganti rugi sebanyak RM1.4 juta kepada Puan Suzana ke atas kecuaian dan kegagalan pihak polis yang menyebabkan suaminya Mohd Anuar Sharip meninggal dunia dalam tahanan lokap.

Isu kematian dalam tahanan selalu menjadi isu yang hangat sejak dahulu lagi dan kami memandang amat serius terhadap isu ini kerana  perbuatan membunuh seseorang semasa dalam tahanan polis adalah perbuatan yang menyalahi undang-undang dan hak asasi manusia.  Malah, ia turut menyalahi dan memncabuli Artikel 5(1) seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu menghormati hak bernyawa setiap manusia terutamanya dalam menjalankan tugas tanpa mengira sama ada penjenayah atau orang biasa.

Mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri di Parlimen baru-baru ini yang menyatakan bahawa terdapat sebanyak 153 kes kematian dalam tahanan polis antara tahun 1999 hingga 20081.  Kami berpendapat bahawa pihak polis perlu bertanggungjawab terhadap segala kes kematian dalam tahanan kerana adalah tanggugjawab polis untuk menjaga OKT (orang kena tahan) dalam keadaan sihat seperti yang dinyatakan dalam Akta Kaedah-Kaedah Lokap(L.N.3289/1958)(4).

Oleh itu, kami berpendapat bahawa amat penting wujudkan Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC) yang bersifat bebas ,telus dan adil untuk menyelesaikan masalah sedemikian serta mengawal  tindakan polis memandangkan terlalu banyak kes kematian dalam tahanan berlaku sekian hari.

SUARAM menyeru sekali lagi agar Peguam Negara menghormati keputusan mahkamah dan segera membayar pampasan kepada Puan Suzana kerana segala bukti dalam kes Encik Mohd Anuar Sharip adalah jelas dan  kini tiba masanya keluarga mangsa untuk mendapatkan keadilan!

_________________________________
[1] Parliamentary reply to Manogaran A/L Marimuthu (Teluk Intan) at the Dewan Rakyat, 3 March 2009, Question 60, Reference Number 1540.