Memorandum SUHAKAM

SUARA RAKYAT MALAYSIA(SUARAM) & GERAKAN MANSUHKAN ISA (GMI)
ADUAN SALAHGUNA KUASA POLIS DAN TUNTUTAN SATU PENYIASATAN TERBUKA TERHADAP PIHAK POLIS.

12 OGOS 2010

Kami dari SUARAM (Suara Rakyat Malaysia) bersama dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan para tahanan yang ditahan pada 1 Ogos 2010 lalu ingin membuat aduan pada hari ini terhadap pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang dipimpin oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan kerana telah menyalahgunakan pasukan polis dan Light Strike Force (LSF) pada 1 Ogos 2010 dalam satu program Vigil yang aman dan teratur.

1.0 ANTI ISA VIGIL SEMPENA 50 TAHUN ISA
Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) telah mengumumkan kepada media bahawa satu program Vigil Lilin serentak akan diadakan pada 1 Ogos 2010 sempena 50 tahun ISA[1]. GMI bersama dengan kumpulan NGO yang lain seperti SUARAM, Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Islam Semalaysia (PAS), Jamaah Islah Malaysia (JIM), Student Democratic Movement (DEMA) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) telah membuat perancangan untuk mengadakan program tersebut pada 1 Ogos 2010, pukul 8.00 malam serentak di beberapa tempat di Malaysia sejak bulan Jun yang lalu.

Vigil Anti ISA serentak yang diadakan di Petaling Jaya (Selangor), Pulau Pinang, Perak, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan Sarawak adalah untuk menuntut agar kerajaan mansuhkan ISA dengan segera, bukan hanya pinda, kerana ia adalah sebuah akta yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan ianya mencabuli hak asasi manusia untuk mendapat perbicaraan yang adil.

2.0 POLIS: PEMENANG ANUGERAH PENCABUL HAK ASASI RAKYAT
Sempena dengan 50 tahun ISA, GMI telah memaklumkan tentang program ini kepada Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Majlis Peguam Malaysia; Pusat Bantuan Guaman; SUHAKAM dan juga kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. (Sila Lihat Lampiran 1)
Pada 1 Ogos Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar telah memberi amaran kepada orang awam supaya jangan menyertai[2] Vigil aman ini walaupun notis pemberitahuan sudah diberikan kepada KPN pada 28 Julai 2010. Malah, semua tempat yang dirancang untuk diadakan Vigil telah disekat oleh pihak Polis dengan sepenuhnya walaupun kebanyakan tempat-tempat tersebut adalah tempat persendirian. Misalnya, di Padang Timur Petaling Jaya, pihak polis telah menutup keseluruhan padang tersebut walaupun pihak penganjur mempunyai permit yang diluluskan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) (Lihat lampiran 2). Amaran dan perbuatan menutup jalanraya dan tempat pertemuan adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan sekaligus melanggari hak asasi rakyat untuk berkumpul secara aman seperti yang termaktub dalam Artikel 10, Perlembagaan Persekutuan.

Pada jam 8.00 malam 1 Ogos, kebanyakan negeri telah menghadapi intimidasi yang tinggi daripada pihak Polis. Namun, ”Pemenang/Champion” sebenar pencabulan Hak Asasi pada hari tersebut adalah OCPD Petaling Jaya, ASP Arjunaidi Mohamed. Beliau telah menunjukkan sikap yang tidak profesional dalam menangani situasi pada hari tersebut. Beliau[3] langsung tidak memberikan masa yang mencukupi untuk memberikan laluan kepada pihak penganjur untuk beredar secara aman. Malah, beliau sebenarnya tidak tahu proses untuk menyuraikan para peserta. Beliau menggunakan LSF untuk menyuraikan para peserta yang berada dalam keadaan aman.

Walaupun Majlis Peguam Malaysia dan SUHAKAM berada di sana sebagai pemantau namun pihak Polis tidak mempunyai tanggungjawab dan kepekaan terhadap hak asasi manusia.

2.1 ANTARA KESALAHAN YANG DILAKUKAN OLEH PIHAK POLIS DAN SALAH DI SISI HAK ASASI MANUSIA ADALAH SEPERTI BERIKUT:

1. Kebanyakan rakyat yang hadir telah dikasari, ada yang dipukul, dicederakan dan kekerasan digunakan serta seramai 39 orang ditangkap di seluruh negara tanpa sebab yang munasabah. Insiden penangkapan ini berlaku di Petaling Jaya[4], Kelantan dan Pulau Pinang[5].

2. Ini termasuk dua juvana di bawah umur (di Petaling Jaya dan Kelantan) ditahan selama beberapa jam di balai Polis.

3. Membuat tangkapan yang berniat jahat seperti menahan mereka yang memakai baju t-shirt berwarna merah dan hitam.

4. Salahguna kuasa oleh pihak polis yang tidak memaklumkan kepada pihak peguam atau pun orang kena tahan bahawa mereka ditahan.

5. Penggunaan LSF yang sangat keterlaluan menyebabkan para peserta mempunyai kesukaran untuk bergerak serta mengganggu orang awam yang berada di sekitar tempat perhimpunan

6. Pihak polis turut menyukarkan orang awam dengan membuat sekatan jalan di semua kawasan di seluruh negara yang menganjurkan vigil Anti ISA

7. Pihak polis turut mengancam mengambil kenyataan daripada para peguam yang mewakili orang kena tahan. Ini adalah satu pencabulan hak asasi yang serius dan initimidasi polis yang keterlaluan.

8. Wartawan Harakah suami dan isteri serta anak mereka yang berumur 16 tahun turut ditahan semasa menjalankan tugas mereka sebagai wartawan yang membuat liputan di Kelantan.

2. 2 BERIKUT ADALAH INFOMASI TEMPAT-TEMPAT YANG MENGANJURKAN VIGIL DAN MENGALAMI PENANGKAPAN:

Bilangan ditahan/initimidasi polis Lapor balik kepada polis
Selangor
Dataran MBPJ, Padang Timur [6]
• Seramai 400 orang hadir di PJ
• Seramai 29 orang ditahan termasuk juvana bawah umur
• Ramai yang dikasari dan dipukul oleh polis (Lampiran 3: Disertakan Video) Perlu lapor di Mahkamah pada 16hb Ogos 2010

Penang Speakers Square[7]
• Seramai 5 orang ditahan
• Terpaksa menukar tempat lain kerana intimidasi polis yang tinggi
• Dikasari oleh polis Perlu lapor di Mahkamah pada 14 Ogos 2010

Perak Dataran Bandaraya Ipoh
• Seramai 200 orang hadir diIpoh
• Tiada tangkapan tapi initimidasi polis sangat teruk sehingga terpaksa menukar tempat lain untuk teruskan Vigil .Tiada

Kedah Dataran Zero KM, Sungai Petani • Tiada tangkapan tapi initimidasi polis sangat teruk sehingga terpaksa menukar tempat lain untuk teruskan Vigil. Tiada

Kelantan Taman Hijau, Jalan Sultanah Zainab, Kelantan
• Seramai 30 orang menyertai Vigil
• 5 orang ditahan termasuk dua wartawan Harakah dan kanak-kanak bawah umur yang 16 tahun. Lapor kepada polis pada 1 September 2010

Seremban Dataran Seremban
• Seramai 100 orang menyertai di Seremban
• Tiada tangkapan tapi initimidasi polis sangat teruk sehingga terpaksa menukar tempat lain untuk teruskan Vigil. Tiada

Johor Plaza Seni, Johor Bahru
• Tiada gangguan yang teruk melainkan beberapa amaran untuk bersurai dengan awal
• Vigil dijalankan tanpa sebarang gangguan yang teruk dan di tempat yang dirancang, Tiada

Sibu No. 25, Pusat Tanah Wang, Jalan Perdada, 96000 Sibu, Sarawak • Tiada gangguan yang teruk melainkan beberapa amaran untuk bersurai dengan awal
• Vigil dijalankan tanpa sebarang gangguan yang teruk dan di tempat yang dirancang Tiada

Kuching Lots 468-469, Bangunan Al Idrus Commercial Centre, Jalan Satok, 93400Kuching.
• Tiada gangguan yang teruk melainkan beberapa amaran untuk bersurai dengan awal
• Vigil dijalankan tanpa sebarang gangguan yang teruk dan di tempat yang dirancang, Tiada

2.3 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN VS AKTA POLIS
Pihak Polis sekali lagi telah melanggar hak asasi dan juga menyalahguna kuasa dengan menggunakan keganasan dan kekasaran terhadap para peserta Vigil Anti ISA. Kerajaan gagal untuk melihat kepentingan dan kebebasan rakyat Malaysia yang menggunakan ruang demokrasi mereka untuk berkumpul secara aman seperti yang termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan Negara. Malah penggunaan Akta Polis khasnya seksyen 27 (Perhimpunan Haram) adalah amat bertentangan dengan perlembagaan Persekutuan.
Kami ingin imbas ke
mbali pendirian yang diambil oleh SUHAKAM semasa kejadian Lebuhraya Kesas (2001), Bloody Sunday di KLCC (2006), serta insiden Bandar Mahkota Cheras (2008). Salah satu pendirian dan cadangan yang disarankan oleh SUHAKAM semasa penyiasatan umum kejadian Bloody Sunday di KLCC[8] adalah pihak penganjur hanya perlu memberikan notis awal kepada pihak polis berkenaan dengan sebarang perhimpunan aman seperti yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Sejagat Manusia (UDHR).

Penggunaan LSF secara rambang adalah satu tindakan yang tidak releven dan seharusnya boleh dielakkan sekiranya pegawai polis bersedia untuk berunding dengan pihak penganjur. Pihak polis melakukan pelbagai kesalahan atas nama ketenteraman awam dan menurut arahan. Antara kesalahan yang mereka sering lakukan adalah menghalang perhimpunan awam, hak untuk mendapatkan khidmat peguam, menahan juvana dan kanak-kanak, dan penyeksaan terhadap tahanan. Namun mereka tidak sekalipun berubah selepas setiap kesalahan yang dilakukan oleh mereka sentiasa dikritik secara nasional dan antarabangsa.

3.0 PERKARA YANG PERLUKAN PERHATIAN
SUARAM dan GMI amat mengalu-alukan inisiatif SUHAKAM yang telah turun sebagai pemantau semasa program Vigil Anti ISA di Petaling Jaya. Ini adalah suatu langkah yang amat progresif dan perlu diteruskan. Malah kami juga menyokong kenyataan akhbar yang bertarikh 3 Ogos 2010[9] yang dikeluarkan oleh SUHAKAM sejurus selepas insiden tersebut bahawa pihak polis tidak memberikan masa yang secukupnya untuk bersurai dan menyifatkan tindakan polis sebagai pencabulan Hak Asasi.
Sehubungan itu, kami ingin membawa perhatian SUHAKAM kepada beberapa isu yang memerlukan tindakan segera:

1. Penyalahgunaan kuasa oleh Polis semasa menyuraikan para peserta semasa perhimpunan Vigil:

a. Menggunakan LSF (khasnya di Petaling Jaya) secara ganas dan kasar semasa menyuraikan para peserta
b. Penangkapan dibuat secara ganas dan kasar
c. Wartawan Harakah ditahan di Kelantan adalah mala fide
d. Sesiapa yang memakai baju warna merah dan hitam menjadi sasaran
e. Semua penahanan di Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Kelantan adalah tidak releven dan mala fide

2. Kebebasan untuk Berhimpun dirampas
a. Polis menutup jalan ke arah semua kawasan yang dirancang untuk mengadakan vigil
b. Amaran daripada Timbalan Ketua Polis Negara yang melarang orang awam menyertai Vigil adalah tindakan yang melampau dan melambangkan pihak polis tidak mendukung prinsip Hak Asasi dan Demokrasi.
c. Penangkapan orang awam dan penganjur Vigil sebelum program bermula.

3. Peguam diinitimidasi oleh Polis
a. Sekumpulan peguam daripada Majlis Peguam Malaysia, Pusat Bantuan Guaman dan Lawyers for Liberty (LFL) yang mahu mewakili anak guam mereka diganggu pihak Polis dengan pihak peguam juga diminta memberikan keterangan.

4. Hak Kanak-kanak dirampas
a. Dua juvana di bawah umur di tahan selama beberapa jam di balai Polis (di Petaling Jaya dan Kelantan). Pihak Polis telah melanggari peruntukan dalam Akta Kanak-kanak seksyen 19(5) dengan tidak memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat tentang penahanan kanak-kanak bawah umur.
b. Malaysia telah menandatangani Konvensyen Hak Kanak-kanak (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) yang bertanggungjawab dalam memastikan bahawa hak kanak-kanak yang ditahan atau berada dalam penahanan polis harus dijaga dengan rapi. Namun, ianya dilanggari oleh Polis apabila mereka tidak mengambil inisiatif untuk maklumkan kepada ibu bapa atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.

4.0 TUNTUTAN KAMI
SUARAM dan GMI berpendirian bahawa penindasan, penyalahgunaan kuasa dan keganasan Polis semasa Vigil di seluruh negara adalah kesalahan Hak Asasi yang teruk dan mereka harus dibawa ke muka pengadilan.
Oleh itu, kami ingin menggesa SUHAKAM agar:

1. Melaksanakan Penyiasatan Umum dan terbuka terhadap kesalahan dan tindakan Polis yang melampau pada 1 Ogos 2010.
2. Memberikan laporan akhir kepada Kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pihak Polis yang melakukan kesalahan dan tindakan melampau mereka ke atas para peserta.
3. Memberikam tekanan kepada Kerajaan Malaysia untuk mengkaji kembali Kanun Keseksaan (Penal Code) dan Akta Polis 1967 dan mencadangkan kepada mereka agar membuang semua bahagian yang menghadkan kebebasan berhimpun dan bersuara.
4. Meneruskan kerja pemantauan dalam setiap perhimpunan aman. Malah pada masa yang sama, kami juga ingin menggesa SUHAKAM untuk lebih proaktif dengan cuba menjadi orang tengah antara pihak penganjur dan pihak Polis sebelum sebarang perhimpunan supaya boleh mengurangkan tekanan antara Polis dan pihak penganjur.
5. Mengambil inisiatif untuk mengaktifkan Bahagian Human Rights Defenders dalam SUHAKAM dan melindungi semua aktivis dan pendukung Hak Asasi daripada seringkali menjadi mangsa keganasan, kekasaran dan intimidasi polis dan kerajaan.
Diserahkan Oleh,
Nalini Elumalai, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)

________________________________________
[1] http://www.malaysiakini.com/news/138332
[2] http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/8/1/nation/6776657&sec=nation
[3] http://www.klik4malaysia.com/index.php?option=com_content&view=article&id=3660%3Anationwide-anti-isa-rally-in-conjuction-with-50-years-of-isa-success-despite-of-police-brutality&catid=94%3Asuaram&Itemid=195〈=en
[4] http://www.malaysiakini.com/news/138896
[5] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/Police-break-up-anti-ISA-vigils-arrest-30-in-PJ-3-in-Penang/
[6] http://www.aliran.com/index.php?option=com_content&view=article&id=1435:anti-isa-vigils-held-across-the-nation&catid=63:gmi&Itemid=48
[7] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/Police-break-up-anti-ISA-vigils-arrest-30-in-PJ-3-in-Penang/
[8] Suhakam (2006) ‘Report of Suhakam Public Inquiry Into the Incident at KLCC on 28 May 2006’.
[9] http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/8/3/nation/20100803145014&sec=nation