Kematian dalam tahanan: Kakak Gunasegaran menunggu satu jawapan

Ong Vic Kee | Sep 03, 2010 06:29:13 pm

“Kami tertanya-tanya, adakah satu jawapan, satu keadilan begitu susah?” Demikianlah luahan Teoh Lee Lan, adik kepada mendiang Teoh Beng Hock pada saat-saat ketika Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-53.

Jelas, Teoh Lee Lan bersama keluarganya masih belum terkeluar dari penderitaan yang dialami, lebih-lebih lagi apabila inkues yang berlangsung hampir setahun secara tiba-tiba “menemui bahan bukti baru”, pada peringkat akhir perbicaraan. Bagaimanapun, keluarga Teoh tidak bersendirian. Tragedi Teoh Beng Hock menjadi tumpuan media. Pemimpin politik, aktivis badan bukan kerajaan (NGO), malah orang awam menunjukkan sokongan padu dalam usaha menegakkan keadilan untuk mendiang Teoh Beng Hock.

Menghembus nafas terakhir pada usia 31 tahun

Namun demikian, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pada hari yang sama ketika mayat Teoh ditemui, seorang tahanan bernama R.Gunasegaran yang ditangkap polis dengan tuduhan menyalahgunakan dadah, menemui ajal di dalam lokap Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur. Dalam masa dua jam sahaja selepas ditangkap, R.Gunasegaran menghembus nafas terakhirnya pada usia 31 tahun. (baca lanjut: http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=11065)