Kes Tukar Gari lagi Oleh Polis: Anak Penternak Kambing ditahan Polis Selama 45 hari!

Kenyataan akhbar : 22 June 2011
Kes Tukar Gari lagi Oleh Polis: Anak Penternak Kambing ditahan Polis Selama 45 hari!

Hari ini SUARAM dan ADUN Teja,Perak YB Chang Lih Kang serta anggota PKR Perak telah membuat aduan serta menghantarkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia(SUHAKAM) terhadap kes tahanan polis secara road show atau tukar gari dan keganasan terhadap seorang OKT (Orang Kena Tahan)bernama Manivanan A/L Poonga yang berumur lebih kurang 20 tahun. Memorandum tersebut diterima oleh Persurujaya Encik Detta Samen.

Kronologi
1. Pada 7.05.2011, pada pukul 4.30 pagi Manivanan A/L Poonga dan seorang kawannya telah ditangkap oleh beberapa anggota polis di rumah sewa yang bertempat di Tanjung Malim. Anggota polis telah memasuki rumah dan membawa keluar Manivanan dan seorang kawannya tanpa diketahui apa sebab penangkapan tersebut. Mereka ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Slim River.

2. Selepas 1 minggu penanhanan itu, pihak polis menelefon ibu Manivanan dan memberitahu ibunya bahawa anaknya telah dibawa ke Balai Polis Jelapang.

3. Pada 23.05.2011, Manivanan telah dibawa ke Mahkamah Ipoh. Ibu bapanya yang turut hadir ke mahkamah diberitahu bahawa anaknya ditahan kerana terlibat dalam kes bunuh dibawah Seksyen 302. Pada hari yang sama Ibu bapa Manivanan telah pergi ke IPD Ipoh untuk berjumpa dengan Inspektor Nirmala dari B Team. Apabila sampai di pejabat, ibu bapa Manivanan ternampak Ins. Nirmala memukul Manivanan melalui kaca tingkap bilik. Bapa Manivanan mengetuk pintu dengan kuat supaya Ins.Nirmala berhenti memukul anaknya tetapi Ins.Nirmala mengarah ibu bapa Manivanan turun ke bawah. Pada masa itu ibu Manivanan telah pengsan akibat terkejut dengan melihat keadaan anaknya yang dipukul oleh polis depan matanya.

4. Pada 25.05.2011 ibu dan bapa Manivanan pergi ke IPD Ipoh untuk berjumpa dengan Ins.Nirmala. Namun, menurut Ins. Nirmala, mereka tidak dibenarkan berjumpa dengan Manivanan kerana didakwa bawah Seksyen 302.

5. Selepas 1 minggu,iaitu 1Jun 2011, bapa Manivanan iaitu Encik Poonga mendapat panggilan telefon daripada polis bahawa anaknya telah dihantar ke Balai Polis Bercham.

6. 2 hari kemudian,iaitu 4 Jun 2011, polis telah menelefon ibu Manivanan dan memberitahu bahawa anaknya akan dihantar ke Melaka Tengah kerana dia dipercayai terlibat dalam kes samun di kawasan tersebut.

7. Pada 13.06.2011, bapanya pergi ke Balai Melaka Tengah untuk berjumpa dengan Manivanan. Manivanan memberitahu bahawa dia tidak bersalah namun akibat paksaan dan seksaan pihak polis, Manivanan telah mengaku sebanyak 7 tuduhan ke atasnya. Manivanan dimaklumkan akan dihadap ke mahkamah pada 19.06.2011.

8. Namun demikiian, pada 19 Jun 2011, seorang pengawai polis telah memaklumkan kepada bapanya bahawa Manivanan telah dihantar dan ditahan di balai Polis Karai,Sungai Siput sehingga hari ini.

SUARAM mengecam tindakan polis yang melakukan tukar gari terhadap saudara Manivanan. Isu tukar gari telah bukan kali pertama yang berlaku namun ia kerap berlaku sebelumnya.
Menurut seksyen 117 Kanun Acara Jenayah (Akta 593), tidak kira apapun kes jenayah yang terlibat, seseorang suspek tidak boleh ditahan lebih daripada 14 hari untuk hukuman kes jenayah yang lebih daripada 14 tahun penjara dan 7 hari untuk hukuman jenayah yang kurang daripada 14 hari.

Polis jelas menyalahgunakan kuasa dengan menahan saudara Manivanan selama 45 hari.Sekiranya Manivanan didakwa terlibat dalam kes jenayah maka dia seharusnya dibawa hadap ke mahkamah ,namun ia tidak berlaku.

Dalam Pekara 5,Universal Diklarasi Hak Asasi Manusia (UDHR) telah menyatakan bahawa ‘‘Tiada sesiapa pun yang boleh dikenakan seksaan atau layanan atau hukuman yang zalim ,tidak berperikemanusiaan atau menghinakan ’ ’.

YB Chang Lih Kang dalam aduan terhadap SUHAKAM menyatakan tuntutannya mendesak pihak polis untuk membebaskannya atau mendakwanya di mahkamah sekiranya dia bersalah. Beliau juga menggesa SUHAKAM menyiasat dan mengambil tindakan terhadap anggota polis yang terlibat dalam kes ini termasuk pengawai polis yang melakukan keganasan terhadapnya.

SUARAM menggesa SUHAKAM untuk mengadakan inkuiri terhadap kes-kes keganasan dan penyalahgunaan kuasa polis yang diterima olehnya termasuk kes ini. Kami perlu menghentikan situasi rakyat biasa yang sentiasa menjadi mangsa penganiayaian dan seksaan polis ,selalunya kes sebegini terdiri daripada keluarga yang miskin dan kurang berpendidikan.
Bapa kepada Manivanan terpaksa menjualkan kambing ternakannya untuk mendapatkan wang untuk melawat anaknya yang ditahan di Melaka pada masa itu.

Kami amat mengecewa sikap dan kelakuan polis yang buruk terutamanya dari segi penyalahgunaan kuasa yang tidak pernah berubah baik. SUARAM tidak akan berhenti perjuangan untuk mereformasi institusi polis sehingga wujudnya Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC) yang bebas dan adil serta menuntut kerajaan meratifikasikan ‘‘Convention against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment’’(CAT) bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

‘‘Memperjuangkan Hak Asasi Manusia!’’

Yap Heng Lung
Penyelaras SUARAM