Kenyataan Akhbar 27 Jun: Tindakan Polis Melampau

Kenyataan akhbar : 27 Jun 2011

Tindakan Polis Melampau Dengan Menyalahgunakan Kuasa!
Rakyat Berhak Untuk Bebas Bersuara!

SUARAM mengecam tindakan pihak polis yang sekian hari menyalahgunakan kuasa dengan menangkap orang yang memakai baju kuning kemeja T ‘Bersih’. Kami berpendapat bahawa polis telah menyalahgunakan kuasa sehingga melakukan tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjaminkan kebebasan bersuara rakyat.

Sejak 24 Jun 2011, polis telah membuat beberapa penangkapan dan mengganggu ceramah Bersih di sekitar Selangor termasuk Shah Alam ,Gombak dan Kapar, Penang dan Johor serta menangkap aktivis yang menyokong perhimpunan Besih. Antara jumlah aktivis yang pernah dan masih ditangkap kira-kira berjumlah 70 orang.

Kami tidak menerima alasan polis bahawa perhimpunan Bersih akan mengganggu keamanan masyarakat. Tindakan polis sekian hari ini adalah tidak profesional dan langsung tidak beretika. Polis tidak berkuasa mengeluarkan permit perhimpunan kerana ia adalah hak asasi semua rakyat Malaysia.

Selain itu, polis langsung tidak berkuasa untuk menangkap sesiapa disebabkan memakai baju kuning ‘Bersih’.Ia merupakan satu tindakan penyalahgunaan kuasa untuk menakutkan orang awam. Kebebasan bersuara rakyat telah dijamin bawah Perlembagaan Persekutuan.

Kami menuntut polis berhenti menjadi ‘alat mainan’ kerajaan Barisan Nasional(BN). Kredibiliti dan maruah polis akan jatuh di kalangan masyarakat dan masyarakat akan menolak penguatkuasa yang tidak berorientasi rakyat .Secara jelasnya, kerajaan yang sanggup menggunakan institusi-institusinya untuk menindas rakyat supaya ia dapat kekalkan kuasanya, tidak akan kekal lama disebabkan rakyatnya yang cekal dan tidak mudah terpengaruh.

Kami menuntut polis membebaskan semua aktivis yang ditahan dengan segera dan semua polis yang terlibat perlu diambil tindakan atas sebab penyalahgunaan kuasa.

Kempen ‘Bersih’ yang menuntut pilihanraya yang adil dan bebas adalah kempen dianjurkan oleh rakyat dan ia meupakan suara dan tuntutan rakyat. Kami percaya rakyat akan meneruskan perjuangan untuk sistem demokrasi yang adil dan bebas. Universal Diklarasi Hak Asasi Manusia (UDHR) dan Perlembagaan Persekutuan telah menjaminkan himpunan Bersih perlu dijalankan secara aman.

Yap Heng Lung
Penyelaras SUARAM