ADAKAH ”ISA” BENAR-BENAR AKAN DIMANSUHKAN? ADAKAH TAHAN TANPA BICARA JUGA DIHAPUSKAN?

GERAKAN MASUHKAN ISA
 
PRESS STATEMENT: 9 MARCH 2012
 
ADAKAH ”ISA” BENAR-BENAR AKAN DIMANSUHKAN?
ADAKAH TAHAN TANPA BICARA JUGA DIHAPUSKAN?
 
 
1.            Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) ingin memulakan dengan mengimbau beberapa mesej penting oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak tentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960:
1.      ISA akan dihapuskan terus, kata PM dalam perutusan khas Hari Malaysia pada 15 September 2011.
2.      Beliau memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.
3.      Beliau juga memberi komitmen untuk memelihara hak dan kebebasan asasi dalam mana-mana undang-undang manakala apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah (kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri). (nota:bagaimanakah ini melindungi hak asasi dan keadilan?)
4.      Beliau mengatakan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan untuk memelihara ketenteraman dan keselamatan awam. (nota: Perkara 149, 150 dan 151 sebenarnya bercanggah dengan peruntukan perlembagaan)
2.            Dalam perutusan yang sama, PM mengumumkan hasrat Kerajaan untuk membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya. Beliau mengaitkannya dengan realiti Malaysia yang telah berubah dan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya, di mana, pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian,
3.            Semasa sidang Parlimen pada 3 Oktober 2011, PM menyatakan bahawa Usul untuk mansuhkan ISA dan Ordinan Darurat (EO) hanya akan dibentang pada Mac 2012. Alasannya ialah untuk memberi masa bagi menderaf dua akta pengganti ISA dan kajian serta rundingan dapat dibuat dengan pihak yang berkenaan. Sidang Parlimen seterusnya akan bermula pada 12 March 2012 dan berlangsung sehingga 12 April 2012.
4.            Soalan UTAMA di sini ialah, adakah usul mansuhkan ISA akan dibentang di Parlimen sebagaimana yang dijanjikan oleh PM dalam perutusan khas beliau enam bulan yang lalu? Soalan UTAMA seterusnya, adakah dua undang-undang baru pengganti ISA akan digubal? Dan apakah ia akan menghapuskan tahan tanpa bicara, kuasa wewenangan polis dan Menteri Dalam Negeri dan penahanan lanjutan yang wewenangan, yang dianggap elemen paling bermasalah dalam ISA? Soalan selanjutnya, adakah rundingan tentang dua akta baru telah dibuat?
5.            Setakat ini, keadaan menunjukkan ’cakap tak serupa bikin’ kerana tiada tanda-tanda menggambarkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan tiada rundingan dijalankan untuk dua akta baru berkenaan. Malah, kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri-menteri menunjuk kepada arah songsang. Kesemua isu-isu berduri dalam ISA adalah sah dikekalkan dalam dua akta baru melainkan beberapa pindaan kecil berkaitan dengan tempoh penahanan, notis kepada keluarga tahanan dan membuat rayuan.
6.            Ini disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 21 November 2011 seperti dilaporkan Bernama, di mana beliau mengatakan bahawa undang-undang baru yang menggantikan ISA akan tetap ada peruntukan tahan tanpa bicara.
7.            Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pada 3 Oktober 2011 seperti dilaporkan Bernama juga, bahawa dua akta baru yang dicadangkan untuk keselamatan awam akan berkuatkuasa dahulu sebelum ISA boleh dimansuhkan. Katanya, Kerajaan mahu memastikan kedua-dua akta baru tersebut telah tersedia sebelum pemansuhan ISA. Dengan lain perkataan, untuk memastikan elemen-elemen asal ISA dipelihara dalam dua akta baru tersebut.
8.            Mengekalkan penahanan tanpa bicara dan kuasa wewenangan Polis dan Menteri adalah bercanggah dengan pemeliharaan keadilan, hak asasi, kebebasan dan demokrasi yang terbuka lagi dinamik.
9.            Tambah buruk lagi, hampir dua bulan selepas perutusan khas PM tentang pemansuhan ISA, terdapat penahanan terbaru berlaku di bawah ISA. Pada 14 dan 15 November 2011, 13 orang dari Tawau, Sabah telah ditahan atas dakwaan tidak terbukti. Pada Januari 2012, dua daripada mereka telah dibebaskan tetapi 11 orang lagi telah dihantar ke Kem Kamunting untuk penahanan lanjutan sehingga dua tahun tertakluk kepada tambahan tempoh mengikut budi bicara Menteri Dalam Negeri. Tuduhan terhadap mereka berterusan kabur. Apa yang jelas ialah mereka adalah insan biasa, dengan keluarga dan anak-anak, yang telah dinafikan hak asasi untuk perbicaraan, keadilan dan kebebasan. Adakah ini caranya Kerajaan membuktikan hasrat baik mereka untuk transformasi politik dan sosial? Untuk maklumat lebih terperinci tentang tahanan dan ahli keluarga mereka, sila lihat lampiran berdasarkan lawatan GMI dalam bulan Februari 2012.
10.        Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang mewakili lebih 80 organisasi terdiri daripada Badan Bukan Kerajaan, Parti Politik, Badan hak asasi manusia, Badan peguam, Wanita, Mahasiswa dan Kesatuan Sekerja dengan ini mendesak perkara-perkara berikut:
1.      PM untuk mematuhi janjinya dan memansuhkan ISA dalam sidang Parlimen bermula pada 12 Mac 2012. Pemansuhan ISA telah lama tertunda. Apa-apa perubahan atau lencongan daripada janji tersebut akan memberi kesan serius kepada wibawa PM;
2.      Semua akta yang memperuntukkan tahan tanpa bicara seperti Akta Ordinan Darurat (EO) dan Akta Dadah Merbahaya mesti juga dimansuhkan;
3.      Tidak ada keperluan untuk menggubal akta baru bagi menggantikan ISA kerana terdapat banyak  peruntukan dalam undang-undang sedia ada untuk mengekang apa yang dikatakan sebagai kesalahan pengganas. Parlimen Malaysia telah menambah undang-undang termasuk kesalahan berkaitan keganasan dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah pada tahun 2006. Menurut Kanun Keseksaan (Pindaan) 2003, Bab baru VIIA yang bertajuk “Kesalahan yang Berkaitan Keganasan” telah dimasukkan dan ini berkuatkuasa sejak 6 Mac 2007. Begitu juga, menurut Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2006, Bab XIIA baru yang bertajuk “Kuasa menyiasat Sampingan Dalam Perhubungan Untuk Kesalahan Keganasan” telah dimasukkan dan berkuatkuasa sejak 6 Mac 2007. Malaysia juga meluluskan undang-undang yang berkaitan dengan pembiayaan anti-keganasan dalam bentuk Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613);
4.      Jika sekiranya dua akta baru tetap digubal, elemen drakonian yang dominan dalam ISA seperti tahan tanpa bicara, penahanan dan kuasa wewenangan polis dan Menteri mestilah tidak wujud;
5.      Rundingan awam mesti dilaksanakan sebelum Kerajaan memulakan atau membentangkan apa-apa undang-undang baru dalam Parlimen;
6.      Kem Tahanan Kamunting mestilah ditutup dan diiktiraf sebagai Warisan Dunia atau Muzium seperti Pulau Robben, Afrika Selatan sebagai simbol ketidakadilan dan kezaliman ISA;
7.      Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi atas ISA perlu diwujudkan untuk menegakkan keadilan bagi semua mangsa penyeksaan dan penganiayaan di bawah ISA dan pemangsa mereka dibawa ke muka pengadilan;
8.      Semua mangsa ISA perlu dibayar pampasan setara dengan penyeksaan dan penderitaan yang dialami oleh tahanan dan ahli keluarga;
9.      Kerajaan untuk patuh kepada piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan dengan aktiviti anti-pengganas dan melakar pelan jangkamasa panjang untuk negara dalam membangun mekanisme untuk menangani keganasan tanpa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan; dan
10.  Kerajaan untuk menandatangani dan meratifikasi International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan Convention Against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT)
GMI akan terus mendesak untuk perkara di atas dengan PM, Menteri Dalam Negeri dan Parlimen dalam minggu-minggu yang akan datang. GMI mengajak sokongan dan solidariti daripada rakyat, NGO, Suhakam, NGI, parti politik, MP, ADUN, media dan masyarakat antarabangsa untuk menuntut perkara di atas demi keadilan, kebenaran dan kebebasan.
Dikeluarkan oleh
Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi GMI
Nalini Elumalai
Setiausaha GMI
SUARAM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *