MENUNTUT PEMANSUHAN SEGERA AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA)

GERAKAN MANSUHKAN ISA

 
 
MEMORANDUM 6 APRIL 2012
 
KEPADA
SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA (SUHAKAM)
 
MENUNTUT PEMANSUHAN SEGERA
 AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA)
 
 
Memorandum ini GMI mulakan dengan mengimbas beberapa fakta penting yang diperoleh terus daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak semasa membacakan ucapan rasmi sambutan Hari Malaysia pada 15 September 2011.
1.     Beliau memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.
2.     Beliau juga memberi komitmen untuk memelihara hak dan kebebasan asasi dalam mana-mana undang-undang manakala apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah (kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri). (nota:bagaimanakah ini melindungi hak asasi dan keadilan?)
3.     Beliau mengatakan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan untuk memelihara ketenteraman dan keselamatan awam.(nota: Perkara 149, 150 dan 151 sebenarnya bercanggah dengan peruntukan perlembagaan)
4.     Dalam perutusan yang sama, PM mengumumkan hasrat Kerajaan untuk membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya. Beliau mengaitkannya dengan realiti Malaysia yang telah berubah dan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya, di mana, pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian,
5.     Semasa sidang Parlimen pada 3 Oktober 2011, PM menyatakan bahawa Usul untuk mansuhkan ISA dan Ordinan Darurat (EO) hanya akan dibentang pada Mac 2012. Alasannya ialah untuk memberi masa bagi menderaf dua akta pengganti ISA dan kajian serta rundingan dapat dibuat dengan pihak yang berkenaan. Sidang Parlimen seterusnya akan bermula pada 12 March 2012 dan berlangsung sehingga 12 April 2012.
Namun GMI berasa amat dukacita kerana Parlimen sehingga ke hari ini masih belum membuat sebarang pengumuman mengenai pemansuhan ISA. Perkara ini memperlihatkan sifat tidak konsisten Kerajaan Malaysia dalam melaksanakan tuntutan rakyat. Hal ini menjadi lebih parah apabila PM sendiri telah menjanjijkan bahawa ISA akan dimansuhkan seawal bulan Mac 2012 apabila Parlimen bersidang. Jelasnya tidak ada sebarang perkembangan mengenai Akta Zalim ISA walaupun bulan Mac sudah berlalu.
Oleh itu hari ini GMI tampil ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bagi menyerahkan memorandum  bantahan terhadap Kerajaan Malaysia yang masih melengah-lengahkan pemansuhan ISA. Memorandum ini juga memohon pihak Suhakam untuk menimbangtara beberapa tuntutan GMI seterusnya dipanjangkan kepada pihak Kerajaan Malaysia khususnya Menteri di Kementerian Dalam Negeri.
TUNTUTAN GMI DALAM MEMORANDUM INI ADALAH :
1.     GMI menuntut agar Kerajaan Malaysia segera memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat 1968 (EO)
2.     GMI menuntut Kerajaan Malaysia tidak mewujudkan sebarang undang-undang baru yang mempertahankan konsep tahan tanpa bicara
3.     GMI membantah kewujudan undang-undang baru tanpa konsultasi awam yang melibatkan semua pihak.
4.     GMI menuntut ditubuhkan satu Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi bagi menegakkan keadilan untuk setiap tahanan ISA dan membolehkan pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan
5.     GMI menuntut agar Kem Tahanan Kamunting (KEMTA) segera ditutup dan diwartakan sebagai Warisan Negara atau Muzium seperti mana Pulau Robben, Afrika Selatan
6.     GMI menuntut agar semua mangsa ISA perlu dibayar pampasan setara dengan penyeksaan dan penderitaan yang dialami oleh tahanan dan ahli keluarga;
7.     GMI menggesa Kerajaan untuk patuh kepada piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan dengan aktiviti anti-keganasan dan membentk mekanisme baru menangani keganasan tanpa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan. Oleh itu Kerajaan Malaysia seharusnya bersedia untuk menandatangani dan meratifikasi International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan Convention Against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT)
GMI akan meneruskan desakan sehinggalah Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri mengotakan janji untuk memansuhkan ISA dalam sidang Parlimen yang sedang  berlangsung.
Sebagai langkah membantah sifat tidak konsisten Perdana Menteri ini, GMI akan mengadakan Protes menuntut pemansuhan ISA pada 9 April 2012 , 11 pagi bertempat di Parlimen.
Melalui Protes ini juga GMI akan menyerahkan memorandum menuntut Perdana Menteri mengotakan janji bagi memastikan ISA segera dimansuhkan. GMI menyeru sokongan dan solidariti daripada rakyat, NGO, Suhakam, NGI, parti politik, MP, ADUN, media dan masyarakat antarabangsa untuk menuntut perkara di atas demi keadilan semua pihak,
Dikeluarkan oleh
SYED IBRAHIM SYED NOH
Pengerusi GMI
NALINI ELUMALAI
Setiausaha GMI
SUARAM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *