“BEBASKAN ISA 45”

GERAKAN MANSUHKAN ISA

KENYATAAN MEDIA : 20 JUN 2012

“BEBASKAN ISA 45”

KENAPA KEMPEN INI PERLU DIADAKAN

1.       Masih Ada Yang Ditahan di Kamunting Selepas ISA Dimansuhkan

Walaupun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dimansuhkan (menanti akta baru digazetkan sahaja), namun sehingga kini 45 orang masih ditahan di Kem Tahanan Kamunting (Kemta) tanpa mengetahui secara jelas mengenai nasib yang akan mereka hadapi.

Berdasarkan pemerhatian yang dibuat oleh pihak Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) melalui lawatan peguam dan keluarga tahanan ke Kemta, rata-rata tahanan masih kabur tentang nasib masing-masing samada mereka akan dibebaskan atau tidak selain meletakkan harapan besar kepada tarikh tamat tempoh tahanan.

Tahanan juga ada memaklumkan kepada keluarga bahawa mereka pernah mendapat khabar gembira daripada pihak Kemta bahawa mereka akan dibebaskan segera setelah Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan ISA pada hari Malaysia yang lalu. Namun sehingga ke hari ini mereka masih ditahan tanpa sebarang tanda-tanda pembebasan awal.

Kekecewaan mereka membuatkan beberapa orang tahanan melancarkan mogok lapar selama 7 hari bermula 12 Mei 2012 dan berakhir pada 18 Mei 2012. Mogok lapar itu berakhir setelah pihak SUHAKAM bertemu dengan tahanan dan berjanji akan membawa tuntutan mereka kepada pihak yang bertanggungjawab. Namun tahanan ISA memberi amaran bahawa mogok lapar itu akan berlaku lagi sekiranya tuntutan mereka masih tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.

Mogok lapar tersebut boleh dimulakan semula pada bila-bila masa sekiranya tuntutan tahanan tidak diendahkan oleh KDN.

 

2.       Penderaan Mental Dan Fizikal Masih Berlaku Terhadap Tahanan

Rata-rata tahanan mendakwa mereka diseksa dan didera secara fizikal dan mental semasa dalam tahanan 60 hari pertama di Bukit Aman. Ada kalangan tahanan yang dibelasah begitu teruk semata-mata ingin memaksa mereka membuat pengakuan. Penyeksaan ini diceritakan sendiri oleh tahanan yang menulis surat dan diserahkan secara sembunyi kepada keluarga.

Laporan Malaysiakini bertarikh 19 Jun 2012 menguatkan lagi luahan tahanan ini yang menyifatkan penyeksaan yang mereka alami adalah di luar batas kemanusiaan. Apa yang lebih teruk, sekiranya dakwaan penyeksaan ini benar, ia berlaku dalam pada Perdana Menteri menjanjikan pengkajian semula terhadap ISA pada tahun 2009 dan pemansuhan ISA pada tahun 2011.

Pihak GMI juga mendapat makluman bahawa salah seorang tahanan iaitu Mohamad Fadzullah Abdul Razak, sedang dikurung secara sendirian (Self Confinement) sejak dua bulan yang lalu. Beliau diasingkan daripada tahanan lain dan ditempatkan dalam satu bilik di blok wanita yang kosong. Sebab beliau diperlakukan sedemikian masih tidak dapat dipastikan.

 

3.       Penahanan Tanpa Bukti dan Mengelirukan

GMI juga ingin membangkitkan penahanan Mustawan Ahbab yang menimbulkan banyak persoalan yang tidak diperjelaskan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri. Beliau ditahan atas tuduhan terlibat dengan pergerakan Kumpulan Ansarut Tauhid yang berpusat di Indonesia. Namun 2 minggu selepas ditahan, media di Indonesia menyiarkan penafian ketua kumpulan berkenaan yang mengatakan Mustawan tidak pernah terlibat dengan pergerakan tersebut.

Lebih menarik apabila pihak Polis Indonesia sendiri belum mengesahkan keterlibatan Mustawan dengan pergerakan tersebut semasa dia ditahan. Ini dijelaskan melalui kenyataan jurucakap Polis Indonesia, Inspektor General Indonesia yang disiarkan The Jakarta Post bertarikh 13 Ogos 2010, “National Police spokesman Insp. Gen. Edward Aritonang said Mustawan was not included in the list of terrorist fugitives drawn up by Detachment 88”

 

4.       Penafian Akses Guaman dan Ugutan Terhadap Keluarga

Kebanyakan tahanan yang ditemui memaklumkan kepada keluarga bahawa mereka dinasihatkan oleh pihak Polis agar tidak mendapatkan khidmat peguam kerana peguam akan mengenakan caj yang tinggi sehingga mencecah RM10,000. Isteri tahanan juga memberitahu kepada pihak GMI bahawa semasa suami mereka ditahan, pihak Polis memberi amaran agar mereka tidak berhubung dengan mana-mana NGO jika mahu suami mereka dibebaskan segera.

Ini merupakan satu hasutan jahat dan pencabulan kepada hak tahanan dan keluarga yang tidak sepatutnya berlaku. ISA bukan sahaja menghukum tahanan tanpa bukti bersalah, tetapi turut menghukum seluruh anggota keluarga tahanan dengan ugutan dan ancaman.

 

5.       ISA Telah Dimansuhkan, Bukti Suara Rakyat Benar

Pada pandangan GMI, tindakan Kerajaan memansuhkan ISA menjadi bukti betapa ISA selama ini bercanggah dengan prinsip keadilan sejagat yang termaktub dalam Artikel 5, 9, 10 dan 11 Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948. Pemansuhan ini juga menjadi dalil yang membuktikan bahawa semua penganiayaan yang diceritakan tahanan adalah benar.

Oleh itu semua hujah yang mempertahankan ISA sudah tidak relevan, begitu juga hujah yang mengatakan undang-undang seperti ISA perlu diadakan, Menteri Dalam Negeri perlu bersifat terbuka dalam memperjelaskan status semasa tahanan ISA. Jika benar siasatan rapi dibuat ke atas tahanan, maka semestinya tidak menjadi masalah untuk mereka didakwa di Mahkamah. Namun sekiranya tidak ada bukti untuk tahanan di dakwa, mengapa Menteri Dalam Negeri masih tidak mahu membebaskan mereka? Hanya semata-mata untuk menanti tamat perintah tahanan? Ada yang hingga 2014, dua tahun setelah ISA dimansuhkan!

 

TUNTUTAN GMI:

1.       BEBASKAN ISA 45

GMI mengulangi tuntutan agar Menteri Dalam Negeri segera membebaskan kesemua tahanan atau dakwa mereka di Mahkamah. Berdasarkan Klausa 32 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), Menteri Dalam Negeri iaitu Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein masih memiliki kuasa untuk membatalkan sebarang perintah tahanan. Perdana Menteri sendiri semasa pembacaan kali kedua Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan menjelaskan bahawa pembebasan tahanan bergantung kepada keputusan Menteri Dalam Negeri. Sementara menanti pembebasan, GMI ingin mendesak Kemta dan Kerajaan menghentikan sebarang pengasingan, pengurungan atau hukuman ke atas tahanan hanya kerana tahanan ingin membela dirinya.

 

2.       KERAJAAN PERLU TUBUHKAN SURUHANJAYA KEBENARAN DAN REKONSILIASI

Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi ini perlu diadakan bagi mengembalikan keadilan kepada tahanan ISA. Kerajaan perlu memberi pampasan setimpal dengan penganiayaan yang telah dialami  oleh tahanan dan keluarga tahanan.  Kerajaan juga perlu menghadapkan mereka yang terbabit dengan penganiayaan tersebut ke muka pengadilan. Hanya dengan cara ini segala salah laku yang pernah berlaku dalam ISA dapat diperbetulkan.

 

3.       TUTUP KEM TAHANAN KAMUNTING

Kemta mestilah ditutup dan diiktiraf sebagai Warisan Negara atau Muzium seperti Pulau Robben, Afrika Selatan sebagai simbol ketidakadilan dan kezaliman ISA. Perkara ini perlu sebagai amaran kepada mana-mana juga pemerintah negara agar tidak menggunapakai akta zalim seperti ISA.  Penutupan Kemta juga akan menjadi simbolik kepada peralihan sistem keadilan Malaysia yang menitik beratkan peradaban dan nilai sosial yang tinggi.

GMI akan bekerjasama dengan peguam tahanan dan keluarga untuk berkempen membebaskan semua tahanan ISA. GMI mengajak rakyat yang prihatin untuk mendesak Menteri Dalam Negeri membebaskan semua tahanan atau dakwa mereka di Mahkamah.

 

BEBASKAN ISA 45!

 

Terima Kasih

 

Syed Ibrahim Syed Noh

Pengerusi GMI

 

Syukri Razab

Penyelaras SUARAM

2 thoughts on ““BEBASKAN ISA 45””

  1. T.kasih d atas komitmen tuan memperjuangkan nasib tahanan ISA. Kami sekeluarga merakamkan penghargaan yg tak terhingga. Syukran Jazilan.

Leave a Reply to Hafidzah Bt Dollah Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *