TAHANAN ISA, SAMI HAMMOOD MOGOK LAPAR 22 HARI MENUNTUT PEMBEBASAN SEGERA.

GERAKAN MANSUHKAN ISA

KENYATAAN MEDIA: 29 OKTOBER 2012

TAHANAN ISA, SAMI HAMMOOD MOGOK LAPAR 22 HARI MENUNTUT PEMBEBASAN SEGERA.

Pada Jun 2012, GMI mendedahkan penderaan yang dialami oleh seorang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) warga Iraq yang didera sepanjang 60 hari pertama di bawah penanhanan ISA. Kini, Sami Hammood Yaseen Al Kashish telah melancarkan mogok lapar sejak 7 Oktober lalu. Beliau tekad bermogok lapar kerana ingin bertemu dengan pegawai KDN bagi menuntut pembebasan segera. Maklumat ini diperolehi daripada Peguam GMI yang membuat lawatan ke Kem Tahanan Kamunting 16 Oktober yang lepas.

Menurut pihak peguam, hasil pertemuan dengan Sami, beliau mula bermogok lapar pada 8.10.2012. Sami memaklumkan pihak Kem Tahanan memaksa beliau untuk berjumpa dengan Doktor Psikiatri dan menyatakan akan menghantar beliau ke hospital sakit jiwa. Sami juga sering berada dalam keadaan tidak stabil setiap kali selepas berbual dengan ibunya yang telah uzur. Ibunya tidak berhenti-henti menangis dan ini menyebabkan keadaan Sami lebih sengsara.

Baru-baru ini, Sami telah cuba untuk membunuh diri dengan menelan ubat tidur secara berlebihan. Oleh sebab itu, pihak kem terpaksa menjaga Sami pada setiap masa mahupun semasa Sami tidur. Berat badan Sami telah menurun dengan mendadak, sebanyak 6 kilogram dalam masa 10 hari.

Sami telah berkahwin dan mempunyai 4 orang anak, yang sulung berumur 16 tahun dan yang bongsu berumur 8 tahun. Isteri beliau tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada pertolongan daripada keluarga Sami.

Sami juga memaklumkan sepanjang ditahan, beliau telah banyak bekerjasama dengan pihak Polis malah pernah mengambil ujian “LIE DETECTOR” sebanyak 6 kali dan keputusan tersebut menunjukkan beliau telah bercakap benar. Namun, beliau masih ditahan oleh Polis.

GMI melihat perkembangan terbaru ini sebagai kezaliman ISA yang masih berterusan. Selagi Menteri Dalam Negeri terus mempertahan ego dan enggan membebaskan kesemua tahanan ISA, kezaliman ISA ini tidak akan berakhir. Kejadian protes dari dalam tahanan ini juga akan menjadi penyebab untuk masyarakat malaysia sentiasa mengingati kezaliman ISA yang telah menzalimi ribuan mangsanya sejak digubal.

GMI Khuatir sekiranya Sami meneruskan mogok lapar, tindakan tersebut boleh membahayakan nyawanya. Oleh itu GMI mendesak agar pihak Kemta membenarkan Peguam GMI hadir bersama Doktor bagi membolehkan keadaan kesihatan Sami diperiksa.

GMI juga mengulangi desakan agar Kerajaan Malaysia segera membebaskan kesemua baki tahanan ISA seramai 29 orang. Kerajaan juga perlu menubuhkan Suruhanjaya Rekonsiliasi bagi menyiasat semua penderaan yang berlaku terhadap tahanan ISA. Kesemua individu yang menyebabkan penderaan dan seksaan ke atas tahanan ISA perlu dihadapkan ke muka pengadilan. Pampasan yang setimpal juga perlu diberikan kepada mangsa ISA dan keluarga mangsa. Hanya dengan cara ini segala kezaliman yang berlaku akibat akta zalim ISA dapat diperbetulkan.

Sekian.

Syed Ibrahim Syed Noh,
Pengerusi GMI

Syukri Razab,
Penyelaras Suaram,
Sekretariat GMI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *