GMI Konsisten Bela Mangsa ISA: Anjur Lawatan Untuk Bawa Isteri Tahanan ISA Ke Kem Tahanan Kamunting

 

 

GERAKAN MANSUHKAN ISA

KENYATAAN MEDIA : 11 JUN 2013

GMI KONSISTEN BELA MANGSA ISA : ANJUR LAWATAN UNTUK BAWA ISTERI TAHANAN ISA KE KEM TAHANAN KAMUNTING

 

 

 

22 Jun ni, genap setahun ISA dimansuhkan secara rasminya. Pemansuhan ISA itu berlaku serentak dengan pewartaan Akta Kesalahan Kesalamatan (Langkah-langkah Khas 2012) atau dikenali juga dengan ringkasan SOSMA.

 

SOSMA dikuatkuasakan dalam keadaan Kerajaan masih belum memperbetulkan segala kesilapan sepanjang ISA digunakan. 15 orang tahanan ISA masih mendekam di Kem Tahanan Kamunting, Daripada jumlah itu, 8 orang merupakan warga tempatan, 3 Sri Lanka, 3 Filipina dan seorang Indonesia. Di Tawau Sabah, ada 6 orang isteri masih terpisah daripada suami  dan 20 orang anak kecil masih terpisah daripada ayah mereka. Lebih perit, Sehingga ke hari ini masih tidak ada alasan jelas mengapa tahanan ISA terus dikurung sedangkan akta  yang digunakan untuk menahan mereka telahpun dimansuhkan.

 

Tahanan ISA yang paling akhir akan dibebaskan ialah tahanan dari Tawau Sabah. Mengikut perintah tahanan, mereka hanya akan dibebaskan pada Januari tahun depan setelah genap 2 tahun tempoh tahanan. Biarpun masa penahanan tinggal  kurang lebih 7 bulan, SUARAM dan GMI tetap konsisten mendesak pembebasan awal kesemua tahanan ISA.

 

SUARAM dan GMI ingin mendesak Menteri KDN yang baru, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar segera membebaskan kesemua tahanan ISA. Menteri KDN yang baru tidak wajar meneruskan kegagalan yang lama kerana tidak wujud istilah terlambat untuk membetulkan segala kesalahan yang berlaku.  Bekas Menteri KDN Dato’ Seri Seri Hishammuddin Hussein semasa mengetuai Kementerian Dalam Negeri tidak langsung menunjukkan kesungguhan untuk memperbetulkan kezaliman ISA walaupun banyak kali menerima tuntutan dan protes dari rakyat.

 

Oleh itu, sebagai usaha untuk membela keluarga mangsa ISA, GMI akan mengadakan lawatan ke Kem Tahanan Kamunting bersama 5 orang isteri tahanan ISA dari Tawau Sabah. Lawatan akan berlangsung pada 15 dan 16 Jun ini. Turut hadir dalam rombongan lawatan tersebut ialah dua orang anak kecil yang belum pernah bertemu dengan ayah mereka kerana semasa ayah mereka ditahan, mereka masih di dalam kandungan.

 

Lawatan ini juga bertujuan ingin mendedahkan kepada masyarakat umum mengenai sandiwara pemansuhan ISA yang masih menzalimi rakyat walaupun setelah setahun dimansuhkan. GMI konsisten dengan tuntutan agar kesemua tahanan ISA dibebaskan segera dan Kerajaan perlu mewujudkan Suruhanjaya Rekonsiliasi bagi menyiasat semua salah laku di bawah ISA dan mengheret individu terlibat ke muka pengadilan serta memberi pampasan yang setimpal kepada mangsa ISA dan keluarga mangsa.

 

Sekian.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *