Teater Bilik Sulit: Manifestasi Undang-Undang Tahan Tanpa Bicara

SUARAM melihat terdapat usaha daripada pihak tertentu yang ingin mempromosikan kembali undang-undang konservatif seperti Ordinan Darurat (EO) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dengan menjadikan keadaan jenayah terkini sebagai alasan, pemansuhan EO  dan ISA dikatakan sebagai punca jenayah gagal dikawal secara berkesan.

UTAMAKAN PEMERKASAAN POLIS DAN BUKANNYA MEMBUAT UNDANG-UNDANG BARU.

Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar  menjadikan alasan ketiadaan undang-undang pencegahan seperti EO menjadi punca kepada meningkatnya kejadian jenayah. Tetapi kenyataan ini bercanggah dengan kenyataan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang mencadangkan agar pihak Polis memperbanyakkan jumlah anggota di kawasan-kawasan tertentu disamping memperkasa aktiviti risikan. Kenyataan yang sama juga dikeluarkan oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Fauzi Shari yang menyifatkan kekurangan anggota yang bertugas di bahagian jenayah menjadi punca kejadian jenayah sukar dikawal.

SUARAM juga berpandangan penggubalan undang-undang baru yang memberi kuasa besar kepada Polis hanya akan mendatangkan risiko berlakunya penyalahgunaan kuasa. Undang-undang baru yang digubal tanpa reformasi besar-besaran dalam institusi kepolisan dilihat sebagai usaha tidak lengkap yang akan memberi kesan yang sangat minima.

UNDANG-UNDANG SEDIA ADA ADALAH KOMPREHENSIF DAN MEMADAI UNTUK TANGANI JENAYAH.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak akan mewujudkan sebarang undang-undang pencegahan seperti EO. Beliau juga menyifatkan undang-undang sedia ada seperti Kanun Acara Jenayah dan Kanun Keseksaan sudah memadai untuk menangani jenayah. Kanun Acara Jenayah misalnya telah memberi ruang kepada pihak Polis untuk mereman suspek bagi satu kesalahan sehingga 14 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan. Sistem ini adalah persis seperti sistem yang digunakan oleh Negara maju seperti Australia.

Kerajaan Australia telah menetapkan undang-undang yang hanya membenarkan sesorang itu ditahan tidak melebihi 14 hari bagi tujuan siasatan.  Bagi undang-undang anti-keganasan, Kerajaan Australia juga hanya membenarkan sesorang suspek pengganas ditahan tanpa bicara tidak melebihi 14 hari. Jumlah 14 hari dianggap tempoh yang memadai untuk pihak Polis melakukan siasatan yang secukupnya.

TEATER BILIK SULIT, PERKONGSIAN PENGALAMAN NGERI BERSAMA RAKYAT.

Banyak bekas mangsa ISA merekodkan pengalaman ngeri mereka sepanjang ditahan di bawah ISA. Tempoh 60 hari dalam tahanan Polis tanpa berpeluang dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan menjadi satu peristiwa hitam dalam hidup bekas tahanan. Didera secara mental dan fizikal menyebabkan ramai tahanan mengalami trauma yang dasyat biarpun setelah dibebaskan.

Oleh itu, SUARAM dengan kerjasama Gerakan Mansuhkan ISA dan Teater Bukan Teater, akan menganjurkan pementasan teater Bilik Sulit sebagai usaha untuk berkongsi dengan rakyat mengenai implikasi undang-undang tahan tanpa bicara. Teater ini akan dipentaskan di Dewan Theatrette Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) selama 3 hari iaitu pada 19, 20 dan 22 September 2013 bermula 8.30 malam. Teater yang diadaptasi daripada pengalaman sebenar bekas tahanan ISA ini akan memberi gambaran mengenai cara pihak Polis menjalankan soal siasat terhadap tahanan di dalam bilik soal siasat.

SUARAM percaya pementasan teater ini akan memberi mesej secara langsung kepada Kerajaan Malaysia agar tidak melangkah ke belakang dengan menggubal undang-undang seperti ISA dan EO. Kerajaan Malaysia juga perlu sedar sehingga kini masih terdapat 7 orang tahanan ISA yang belum dibebaskan dan masih dikurung di Kem Tahanan Kamunting.

SUARAM juga berhasrat untuk membawa pementasan teater ini ke kawasan luar Lembah Klang bagi membolehkan mesej teater ini menjejaki masyarakat terbanyak. Buat masa ini, teater Bilik Sulit sudah mendapat persetujuan daripada Ahli Parlimen Shah Alam untuk dipentaskan di Shah Alam pada 25, 26 dan 27 Oktober. Mana-mana pihak yang berminat untuk mementaskan teater ini ditempat masing-masing boleh terus menghubungi SUARAM ditalian 03-7784 3525 atau menghantarkan permohonan ke alamat emel [email protected]. SUARAM meletakkan tempoh masa dua bulan iaitu sepanjang Oktober dan November untuk mementaskan teater ini ke tempat-tempat yang bakal ditetapkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *