Hari Ini, Cukup Setahun SOSMA Bernyawa

SUARAM: 7 FEBUARI 2014

HARI INI, CUKUP SETAHUN SOSMA BERNYAWA

7 Febuari 2014, cukup setahun Yazid Sufaat dan Hilmi Hasim mendekam dalam penjara akibat Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) SOSMA.  Yazid, Hilmi dan Halimah Hussein merupakan tiga orang mangsa pertama SOSMA yang ditahan pada 7 Febuari 2013. Mereka dituduh mengikut Seksyen 130 G(a) Kanun Keseksaan, iaitu cuba untuk membangkit ideologi atau perbuatan yang boleh mengancam keselamatan orang awam di Syria.

Walaubagaimanapun, Mahkamah TInggi Kuala Lumpur membebaskan ketiga-tiga mereka pada 20 Mei 2013. Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan tersebut berdasarkan alasan teknikal, iaitu SOSMA hanya boleh digunakan bagi kesalahan keselamatan yang dibuat terhadap Malaysia.

Namun, selepas genap seminggu mereka dibebaskan, Yazid dan Hilmi ditahan semula pada 27 Mei 2013. Kali ini mereka ditahan dibawah pertuduhan Seksyen 130K(a) Kanun Keseksaan, iaitu dituduh menjadi ahli kumpulan pengganas Al Qaeda. Halimah Hussein pula masih diburu oleh pihak Polis. Satu perkara penting yang perlu diketahui, pertuduhan di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan adalah kesalahan yang tidak boleh diikat jamin. Oleh itu mereka akan terus kekal dalam penjara sehinggalah proses perbicaraan selesai.

Selain Yazid, Hilmi dan Halimah, 30 orang di Sabah juga mengalami nasib yang sama. 30 orang tersebut merupakan mereka yang ditahan dalam Ops Daulat Lahad Datu. Tiga orang daripada mereka adalah warga tempatan dimana seorang daripada mereka merupakan satu-satunya wanita yang ditahan dalam Ops Daulat tersebut.

 

Pendirian SUARAM mudah, setiap yang bersalah perlu dihukum. Tapi hukuman itu mestilah menepati prinsip keadilan. Hak-hak orang yang dituduh perlu ditunaikan termasuklah hak untuk mendapatkan pembelaan dalam sebuah perbicaraan yang adil. Hak ini termaktub dalam Perkara 10 dan 11 Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa.

 

Hak inilah yang dicabuli oleh SOSMA. SOSMA memberi kuasa kepada Polis untuk menahan orang yang dituduh selama 28 hari tanpa perlu memohon perintah reman daripada mahkamah. Perbicaraan dibawah SOSMA juga tidak adil apabila pihak pendakwa memiliki banyak kelebihan. Pihak pendakwa boleh memanggil mana-mana saksi tanpa perlu mendedahkan identiti saksi tersebut kepada pihak pembela. Pihak pendakwa juga boleh mendapatkan kenyataan saksi secara rakaman tanpa perlu saksi tersebut hadir ke mahkamah. Segala bukti atau bahan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa perlu diterima oleh mahkamah termasuk keterangan kanak-kanak. Perkara ini terkandung dalam Bahagian IV,V,VI dan VII SOSMA iaitu Bahagian Maklumat Sensitif, Perbicaraan, Saksi terlindung dan keterangan.

Dalam bahasa mudah, SOSMA memberi banyak kelebihan kepada pihak pendakwa sehingga perbicaraan menjadi berat sebelah. Dalam kes SOSMA di Sabah contohnya, perbicaraan tidak dijalankan di Mahkamah, sebaliknya diadakan di Penjara Kepayan. Hal ini menyebabkan perbicaraan tersebut tidak dijalankan secara terbuka untuk dinilai oleh orang awam. Perkara ini bercanggah dengan Perkara 14 Perjanjian Antarabangsa Hak Sivil dan Politik iaitu semua orang berhak mendapatkan perbicaraan terbuka, bebas, dan tidak berat sebelah.

Oleh itu, berdasarkan trend semasa pihak polis yang gemar mengugut rakyat menggunakan SOSMA dan juga kaedah perbicaraan yang berat sebelah, SUARAM mengulangi tuntutan agar Kerajaan Malaysia memansuhkan SOSMA dan akta lain yang mencabuli hak asasi manusia seperti Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) (PCA) serta Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (DDA).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *