Memorandom Membantah Tangkapan Di Bawah SOSMA

SUARAM telah menyerahkan sebuah memorandum bagi membantah tangkapan 11 orang di bawah SOSMA kerana disyaki terlibat dengan aktiviti militan. Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi melalui satu kenyataan yang disiarkan Utusan Online bertarikh 2 Mei mengatakan tangkapan dibuat berdasarkan bukti kukuh yang diperolehi hasil daripada maklumat risikan pihak Polis.

Memorandum telah diserahkan pada jam 11.30 pagi dan diterima oleh Pesuruhjaya James Nayagam selaku pengerusi biro aduan Suhakam. Turut hadir dalam serahan memorandum tadi ialah wakil Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, wakil daripada Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Sdra Najib Abdul Rahim, dan peguam bagi mereka yang ditahan iaitu Farhana Abdul Halim, Farida Mohd dan Fadiah Nadwa Fikri. Serahan memorandum diketuai oleh Penyelaras SUARAM sdra Syukri Razab.

SUARAM telah mengemukakan lima tuntutan kepada pihak SUHAKAM. Antaranya ialah mencadangkan agar pihak SUHAKAM membuat pendirian rasmi samada SOSMA mematuhi prinsip hak asasi manusia atau tidak.

SUARAM juga menggesa pihak Polis supaya menghentikan siasatan dan tangkapan di bawah SOSMA. Hal ini bagi memastikan orang yang disyaki mendapat hak yang adil sepanjang proses siasatan dan perbicaraan.

Selain itu, SUARAM juga mencadangkan agar SUHAKAM menuntut hak akses kepada tahanan bagi memastikan tahanan berada dalam keadaan baik.

SUARAM juga mendesak agar pihak Kerajaan Malaysia memansuhkan SOSMA atas dasar akta ini membelakangi Prinsip Hak Asasi Manusia dan bercanggah dengan Fundamental Rights yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pesuruhjaya James Nayagam dalam respon beliau terhadap memorandum yang diserahkan telah berjanji akan segera menghubungi pihak Polis untuk mendapat kebenaran bagi memboleh SUHAKAM melawat mereka yang ditahan. Beliau juga berjanji akan mendapatkan maklum balas segera daripada pihak polis mengenai semua perkara yang dibangkitkan dalam memorandum.

James juga berjanji akan membawa isu SOSMA ke mesyuarat pesuruhjaya SUHAKAM dalam masa terdekat bagi membincangkan pendirian rasmi SUHAKAM mengenai SOSMA.

Dalam memorandum ini juga, SUARAM telah menyatakan beberapa fakta kes berkaitan penahanan terbaru SOSMA yang jelas mencabuli hak asasi manusia. Antara yang dibangkitkan ialah, rata-rata keluarga mangsa tidak dimaklumkan oleh pihak Polis mengenai sebab-sebab penahanan.

Terdapat juga ahli keluarga yang hanya dapat bertemu tahanan selepas 8 hari mereka ditahan. Bahkan ada yang hanya dapat menemui tahanan selepas 18 hari. Sedangkan mengikut Seksyen 5(2) SOSMA, pihak Polis hanya boleh menangguhkan akses keluarga selama 48 jam bermula dari waktu seseorang itu ditahan.

Turut hadir dalam serahan memorandum pagi tadi ialah salah seorang ahli keluarga yang ditahan iaitu En Hamid Suleiman. Ibu dan adik En Hamid ditahan pada 28 April tanpa En Hamid mengetahui dengan jelas sebab mereka ditahan. Ibu En Hamid berusia 56 tahun manakala adiknya pula berumur 30 tahun.

SUARAM juga membangkitkan isu penahanan berpanjangan yang terdapat di bawah SOSMA. Dalam kes tangkapan SOSMA yang pertama melibatkan Yazid Sufaat dan Hilmi Hasim, mereka telah ditahan pada 7 Febuari 2013 dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 21 Mei 2013. Namun mereka ditahan semula di bawah SOSMA pada 27 Mei 2013 atas tuduhan yang berbeza. Perbicaraan bagi tangkapan kedua mereka masih ditangguhkan kerana mahkamah mahu menunggu proses rayuan bagi kes pertama selesai. Oleh kerana SOSMA tidak membenarkan ikat jamin kepada tertuduh, maka Yazid dan Hilmi sudah ditahan selama setahun tiga bulan di Penjara Sg Buloh.

Perbicaraan berat sebelah yang wujud di bawah SOSMA juga menjadi salah satu intipati penting yang terkandung dalam memorandum. Perbicaraan di bawah SOSMA memberi banyak kelebihan kepada pihak pendakwaraya. Sebagai contohnya seksyen 14 SOSMA memberi kebenaran kepada pihak Pendakwaraya untuk melindungi identiti saksi daripada diketahui oleh tertuduh termasuk peguam pembela. Perkara ini memungkinkan wujudnya saksi palsu bagi memberi kelebihan kepada pihak Pendakwaraya.

SUARAM secara keseluruhan berpuas hati terhadap respon segera yang diberikan oleh Pesuruhjaya James Nayagam. SUARAM juga mengharapkan memorandum ini akan mendapat perhatian daripada pihak-pihak berwajib seterusnya memberi keadilan yang sewajarnya kepada mereka yang ditahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *