Memorandum Mansuhkan Auku Dan Akta 174 – 5 Jun 2014

MANSUHKAN AUKU DAN AKTA 174

MEMORANDUM

KEPADA:

SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA MALAYSIA

SUHAKAM

5 JUN 201

1.0 PENDAHULUAN.

Sepanjang enam bulan dalam tahun 2014, 25 orang mahasiswa sudah dikenakan tindakan prosiding tatatertib oleh pihak Universiti masing-masing. Rata-rata mahasiswa yang dikenakan prosiding ini hanya mempraktikkan hak mereka sebagai rakyat Malaysia yang dijamin dalam Perlembagaan Persukutuan iaitu hak untuk berhimpun secara aman, hak untuk bersuara dan hak untuk beraktiviti dan berorganisasi.

Daripada 25 mahasiswa tersebut, 24 orang dituduh di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) iaitu akta yang mengawal seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Manakala seorang lagi di tuduh di bawah Akta Institusi-Institusi Pelajaran 1976 (Akta 174) iaitu akta yang mengawal Universiti Teknologi Mara (UITM), Kolej Matrikulasi, Institusi Pendidikan Guru (IPG), Kolej Komuniti , dan Politeknik.

Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 Auku, memberi kuasa kepada pihak Universiti untuk membuat Kaedah-kaedah tatatertib mahasiswa seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 16 C Auku. Di dalam Auku sendiri tidak memiliki peruntukan mengenai kaedah tatatertib mahasiswa, tetapi Auku memberi kuasa kepada pihak Universiti untuk membuat regulasi tatatertib mengikut pertimbangan masing-masing. Namun kebanyakan IPTA menggunapakai kaedah tatatertib yang sama.

Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174) pula merupakan satu akta yang memiliki peruntukan lengkap termasuk Kaedah-kaedah Tatatertib seperti yang diperuntukkan dalam Jadual Kedua Kaedah-kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1976, Akta 174. Jadual kedua ini mengandungi 26 sekyen yang memperuntukkan kesalahan tatatertib termasuk beberapa sekyen yang menghalang hak asasi mahasiswa seperti hak untuk berhimpun secara aman, hak untuk berekspresi dan hak untuk bebas berorganisasi. Kebanyakkan IPTA telah mengadaptasi Jadual Kedua, Akta 174 ini untuk dijadikan Kaedah tatatertib Universiti.

Berikut merupakan senarai 25 mahasiswa yang telah dikenakan prosiding tatatertib oleh pihak universiti masing-masing sepanjang tahun 2014.

 

NAMA UNIVERSITI PERTUDUHAN TARIKH TINDAKAN/ HUKUMAN
Khairol Najib Hashim

Safwan Shamsuddin

Adam Wilfrid

Bukhairy SufianUniversiti Malaya (UM)

Menyertai perhimpunan tanpa kebenaran pihak berkuasa dihadapan Parlimen pada 8 April 2014.18 April 2014Diberikan surat tunjuk sebab Lee Jin Yang

Fahmi Zainol

Leong Yu Sheng

Anis Nabihah AliasUniversiti Malaya (UM)

Melanggar dan menjejaskan nama baik universiti kerana mempamerkan plakad bertulis ‘No TPPA’ dan logo mengenai membantah hukuman mati di Mesir.9 Mei 2014Diberikan surat tunjuk sebab Jamhuri Mohammed

Muhd Muizzuddin Yusof

Nur Husna

Liyana Zafirah

Muhd Fadhil Abdul

Azrul azizi

Munira Abdul Mutalib

Junaidah

Jafar Darma

Hasnur Faridah

Rahimah Mansur

Aisyah Naser

Irwan Amir

Mimi shalina

Husna Adilah

Muhammad AzhariUniversiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL)

Mengadakan perhimpunan dan perarakan dalam Universiti yang tidak mendapat kebenaran pihan Universiti.26 Mei 2014

Dibicarakan. 3 orang digantung pengajian satu semester, 8 orang dihukum dengan diberi amaran dan dibuang dari kolej kediaman, dan 5 orang masih dalam proses prosiding.

Mohd Fathihie DaiminUnivertsiti Teknologi Mara Kota Kinabalu (UITM KK)Membuat kenyataan di Facebook yang menggugat kepentingan UITM

 

Menyertai perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran UITM28 April 2014Selesai bicara. Disabitkan bersalah dan dihukum dengan diberi amaran.

2.0 FAKTA KES.

Berikut merupakan fakta kes mengenai prosiding tatatertib yang dikenakan terhadap 25 mahasiswa yang berkenaan.

Kes 1: Empat orang mahasiswa Universiti Malaya yang dikenakan surat tunjuk sebab kerana menyertai pehimpunan membantah penurunan harga getah di hadapan parlimen 8 April 2014. Pihak Universiti Malaya menggunakan peruntukan Kaedah 13 (1) Kaedah-aedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1999, Akta Universiti dan Kolej Universiti,  yang menetapkan tiada seorang pun pelajar boleh menyertai apa-apa kegiatan di luar Kampus yang mendatangkan kesan buruk secara langsung kepada Universiti atau yang memudaratkan kepentingan Universiti.

Kes 2: Empat orang mahasiswa universiti Malaya yang dikenakan surat tunjuk sebab kerana mengangkat sepanduk membantah TPPA dan hukuman mati di Mesir semasa Presiden Obama berucap dalam Dewan Tunku Canselor UM pada 27 April 2014. Pihak Universiti Malaya menggunakan peruntukan Kaedah 11 Kaedah-kaedah Universiti (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1999, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 iaitu tiada seorang pun pelajar, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar, boleh membuat, mengibar, atau memiliki apa-apa bendera, sepanduk, plakad, poster, lambang atau alat lain yang menimbulkan keadaan tidak berdisiplin, kekacauan, keingkaran atau pelanggaran Kaedah-kaedah ini.

Kes 3: 16 mahasiswa Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dikenakan prosiding tatatertib kerana mengadakan perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran pihak Universiti di hadapan Menara Pentabiran UMSKAL pada 21 Febuari 2014. Daripada 16 orang ini, 3 orang digantung pengajian satu semester, 8 orang dibuang dari Kolej Kediaman dan 5 orang masih dalam proses prosiding. Pihak Universiti menggunakan Kaedah 9 (3) Kaedah-kaedah Universiti Malaysia Sabah, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 iaitu tiada seorang pun pelajar boleh menghadiri atau menyertai sesuatu perhimpunan yang diadakan yang berlanggaran dengan Kaedah-kaedah universiti.

Kes 4: Seorang mahasiswa Universiti Teknologi Mara Cawangan Kota Kinabalu (UITM) dikenakan 11 pertuduhan dan dibawa ke prosiding tatatertib oleh pihak pentadbiran UITM kerana beliau membuat kenyataan terbuka di laman sosial sosial facebook yang dianggap menggugat kepentingan UITM. Beliau juga dituduh menyertai protes yang tidak mendapat kebenaran UITM. Beliau disabitkan bersalah dan dikenakan hukuman amaran. Pihak universiti menggunakan tiga peruntukan berikut untuk mensabitkan mahasiswa berkenaan:

  1. Kaedah 11,  Kaedah-kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1976, Akta 174 iaitu tiada seseorang pelajar, dan tiada sesuatu pertubuhan, badan atau kumpulanpelajar boleh membuat, mengibar, mempunyai bendera, panji, pelekat, poster, lambang atau alat lain yang boleh menggalakkan perbuatan melanggar tatatertib, kekacauan, keengkaran atau pelanggaran terhadap Kaedah-kaedah ini.
  2. Kaedah 13, Kaedah-kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1976, Akta 174 iaitu tiada seseorang pelajar, dan tiada sesuatu pertubuhan, badan atau kumpulanpelajar, boleh mengatur, menjalankan atau menyertai sesuatu aktiviti di luarkampus, kecuali dengan mendapat kebenaran bertulis Ketua Eksekutif terlebihdahulu dan dengan mematuhi dengan sewajarnya apa-apa sekatan, terma atau syaratyang difikirkan oleh Ketua Eksekutif perlu atau suai manfaat dikenakan.
  3. Kaedah 15, Kaedah-kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1976, Akta 174, Tiada seseorang pelajar, dan tiada sesuatu pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar, boleh kecuali mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Eksekutif membuat, berhubung dengan apa-apa perkara berkaitan dengan Institusi atau dengan kakitangan atau pelajar Institusi itu, atas sifat mereka sebagai demikian,atau berkaitan dengan dirinya atas sifatnya sebagai seorang pelajar Institusi itu, apa-apa representasi atau apa-apa perhubungan lain, sama ada secara lisan atau secara bertulis atau dengan apa-apa cara lain, kepada seseorang pegawai awam, atau kepada akhbar, atau kepada orang ramai dalam masa sesuatu syarahan, ucapan atau pernyataan awam atau dalam masa sesuatu penyiaran dengan suara atau gambar.

3.0 KAEDAH-KAEDAH TATATERTIB UNIVERSITI MENCABULI HAK ASASI MAHASISWA.

Hasil penilitian yang dibuat oleh pihak GMMA/174,  terdapat beberapa peruntukan dalam Kaedah-kaedah tatatertib yang sering digunakan oleh pihak Universiti untuk menyekat mahasiswa daripada kebebasan bersuara, berhimpun dan berorganisasi.

Penelitian ini kami buat dengan menyemak Kaedah-kaedah Tatatertib beberapa buah universiti iaitu Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Malaya (UM), dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Rata-rata universiti ini menggunakan Kaedah-kaedah tatatertib yang sama dan Kaedah-kaedah ini seperti diulang salin daripada Kaedah-kaedah Tatatertib yang terkandung dalam Akta Institusi Pelajaran 1976 (Akta 174).

 Sekatan terhadap kebebasan berhimpun.

(a)    Kaedah 9 (1) Kaedah-kaedah Universiti, Auku . Tiada seorang pun pelajar, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar boleh, tanpa kebenaran Naib Canselor terlebih dahulu, mengadakan, menganjurkan atau memanggil, atau menyebabkan supaya diadakan, dianjurkan atau dipanggil atau dengan apa-apa cara, terlibat dalam mengadakan, menganjurkan atau memanggil, atau menyebabkan supaya diadakan, dianjurkan atau dipanggil atau, dengan apa-apa cara terlibat dalam melakukan apa-apa perbuatan untuk mengadakan, menganjurkan atau memanggil, apa-apa perhimpunan yang terdiri lebih daripada lima orang dalam mana-mana bahagian Kampus atau atas mana-mana tanah atau dalam mana-mana bangunan yang dipunyai oleh atau di bawah milikan atau kawalan Universiti atau yang digunakan bagi maksud Universiti.

(b)   Kaedah 9 (2) Kaedah-kaedah Universiti, Auku. Dalam memberikan kebenaran yang disebut dalam subkaedah (1), Naib Canselor boleh mengenakan apa-apa sekatan, terma atau syarat sebagaimana yang difikirkannya perlu atau suai manfaat.

(c)    Kaedah 9 (3) Kaedah-kaedah Universiti, Auku. Tiada seorang pun pelajar boleh menghadiri atau menyertai sesuatu perhimpunan yang diadakan yang berlanggaran dengan subkaedah (1) atau (2).

 

Sekatan terhadap kebebasan bersuara

(a)    Larangan untuk memiliki atau menggunakan pembesar suara

i.      Kaedah 10 (1) Kaedah-kaedah Universiti, Auku. Tiada seorang pun pelajar, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar boleh memiliki, atau menggunakan, atau mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud ucapan awam, apa-apa pembesar suara, pelaung suara, penguat suara atau alat seumpamanya yang lain tanpa kelulusan Naib Canselor terlebih dahulu.

ii.      Kaedah 10 (2) Kaedah-kaedah Universiti, Auku. Dalam memberikan kelulusan di bawah subkaedah (1), Naib Canselor boleh mengenakan apa-apa sekatan, terma atau syarat sebagaimana yang difikirkannya perlu atau suai manfaat.

(b)   Larangan terhadap membuat atau mempamerkan sepanduk atau logo

i.      Kaedah 11 Kaedah-kaedah Universiti, Auku. Tiada seorang pun pelajar, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar, boleh—

  1. membuat atau menyebabkan supaya dibuat atau melakukan apa-apa perbuatan untuk membuat atau menyebabkan supaya dibuat;
  2. mengibar, mempamer, menunjukkan atau dengan apa-apa cara menggunakan, atau menyebabkan supaya dikibar, dipamer, ditunjukkan atau dengan apa-apa cara menggunakan; atau
  3. memiliki atau mempunyai dalam milikannya, jagaannya atau kawalannya,

apa-apa bendera, sepanduk, plakad, poster, lambang atau alat lain yang menimbulkan keadaan tidak berdisiplin, kekacauan, keingkaran atau pelanggaran Kaedah-kaedah ini.

(c)    Larangan untuk menerbitkan dan mengedarkan risalah.

i.      Kaedah 12 (1) Kaedah-kaedah Universiti, Auku. Tiada seorang pun pelajar, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar, tanpa kebenaran Naib Canselor terlebih dahulu, boleh menerbitkan, membahagibahagikan atau mengedarkan apa-apa dokumen di dalam Kampus atau di luar Kampus.

ii.      Kaedah 12 (2) Kaedah-kaedah Universiti, Auku. Dalam memberikan kebenaran di bawah subkaedah (1), Naib Canselor boleh mengenakan apa-apa sekatan, terma atau syarat sebagaimana yang difikirkannya perlu atau suai manfaat.

iii.      Kaedah 12(3) Kaedah-kaedah Universiti, Auku. Kebenaran yang dikehendaki di bawah kaedah ini hendaklah sebagai tambahan kepada apa-apa lesen, permit atau apa-apa bentuk pemberikuasaan yang lain yang dikehendaki di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain.

(d)   Larangan untuk membuat kenyataan media.

i.      Kaedah 15 Kaedah-kaedah Universiti, Auku. Tiada seorang pun pelajar, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar boleh,tanpa kelulusan Naib Canselor terlebih dahulu, membuat apa-apa representasi atau perhubungan lain, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain, kepada mana-mana pegawai awam atau kepada akhbar atau kepada orang ramai semasa memberikan apa-apa kuliah, ucapan atau pernyataan awam atau semasa membuat apa-apa penyiaran melalui bunyi atau gambar, berhubung dengan apa-apa perkara berkaitan dengan Universiti atau berkaitan dengan kakitangan atau pelajar Universiti, atas sifat mereka sebagai kakitangan atau pelajar Universiti atau berkaitan dengan dirinya atas sifatnya sebagai seorang pelajar Universiti.

 

Sekatan terhadap kebebasan berorganisasi

 

(a)    Kaedah 13 (1) Kaedah-kaedah Universiti, Auku. Tiada seorang pun pelajar, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar, boleh menganjurkan, menjalankan atau menyertai apa-apa kegiatan di luar Kampus yang mendatangkan kesan buruk secara langsung kepada Universiti atau yang memudaratkan kepentingan Universiti.

 

(b)   Kaedah 13 (2) Kaedah-kaedah Universiti, Auku. Naib Canselor boleh mengeluarkan garis panduan berkenaan dengan kegiatan yang memudaratkan kepentingan Universiti

 

 4.0 TUNTUTAN GMMA/174

 Bagi memulihkan semangat dan budaya demokrasi yang sihat dalam Universiti, serta menjulang semangat hak asasi manusia, maka Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku dan Akta 174 (GMMA/174) dengan ini menuntut agar:

1.       PIHAK PENTADBIRAN UNIVERSITI MALAYA (UM) PERLU MENGGUGURKAN SEGALA PERTUDUHAN DAN MENGHENTIKAN SEGALA PROSIDING TATATERTIB TERHADAP LAPAN MAHASISWA UM.

 2.       PIHAK PENTADBIRAN UNIVERSITI MALAYSIA SABAH (UMS) PERLU MENARIK BALIK HUKUMAN AMARAN DAN BUANG KOLEJ TERHADAP LAPAN MAHASISWA  UMS (KAMPUS ANTARABANGSA LABUAN) DAN  MEMBATALKAN PERTUDUHAN SERTA PROSIDING TATATERTIB TERHADAP 8 MAHASISWA YANG LAIN.

 3.       PIHAK UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA CAWANGAN KOTA KINABALU (UITM KK) PERLU MEMBATALKAN PERTUDUHAN DAN MENARIK SEMULA HUKUMAN AMARAN YANG DIKENAKAN TERHADAP SEORANG MAHASISWA UITM KK,  MOHD FATHIHIE DAIMIN.

 4.       PIHAK SUHAKAM PERLU MENUBUHKAN SATU JAWATANKUASA KHAS BAGI MENYEMAK SEMULA KAEDAH-KAEDAH TATATERTIB YANG DIGUNAPAKAI OLEH UNIVERSITI-UNIVERSITI DAN MENGELUARKAN PENDIRIAN RASMI SAMADA KAEDAH-KAEDAH TATATERTIB TERSEBUT PATUH ATAU MENCABULI HAK ASASI MANUSIA.

 5.       KERAJAAN MALAYSIA PERLU SEGERA MEMANSUHKAN AKTA UNIVERSITI DAN KOLEJ UNIVERSITI (AUKU) DAN AKTA INSTITUSI-INSTITUSI PELAJARAN 1976 (AKTA 174) DAN KEMBALIKAN AUTONOMI UNIVERSITI.

 

Sekian.

Safwan Samsuddin

Jurucakap

Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku/Akta 174

GMMA/174

 

Disokong Oleh:

 

1. Suara Rakyat Malaysia (Suaram)

2. Gabungan Menuntut Pilihanraya Adil dan Bersih (Bersih 2.0)

3. Global Movement Moderates (GMM)

4. Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

5. Pro Mahasiswa Nasional (Pro M)

6. Malaysian Youth and Student Democratic Movement (Dema)

7. Siswa Ikram Malaysia

8. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (Pkpim)

9. Gerakan Mahasiswa Maju (GMM), USM, UPM, UUM

10. Legasi Mahasiswa Progresif UPSI

11. Demi Mahasiswa Unisel (DMU)

12. Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (Pmium)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *