PENGGUNAAN PENAHANAN TANPA BICARA UNTUK TANGANI ISU SABAH ZALIM DAN TIDAK ADIL

KENYATAAN MEDIA: 11 SEPTEMBER 2014

PENGGUNAAN PENAHANAN TANPA BICARA UNTUK TANGANI ISU SABAH ZALIM DAN TIDAK ADIL

 RBTTB

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengecam tangkapan dan penahanan tanpa bicara tiga orang dari Sabah yang dikenakan perintah tahanan dua tahun di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (Poca) berkuatkuasa 10 September 2014. Daripada tiga orang tersebut, dua merupakan warganegara Malaysia, seorang warga Filipina. Mereka telah ditahan pada 22 Julai yang lepas kerana disyaki terlibat dengan usaha mengeluarkan Sabah daripada Persekutuan.

 

Suaram membantah penggunaan Poca terhadap tiga yang ditahan kerana penahanan di bawah Poca akan menyebabkan hak asasi mereka, terutamannya hak untuk dibicara secara adil dan terbuka dicabuli. Suaram berpendirian, hak asasi manusia seperti yang digariskan di dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Antaabangsa 1948 (UDHR) perlu sentiasa dipertahankan tanpa sebarang kompromi. Sehingga Mei 2014, dilaporkan seramai 116 orang telah ditahan di bawah Poca (Rujuk mstar.com.my 25 April 2014: 116 Tahanan POCA Sejak 2 April lalu – Wan Junaidi).

 

Penafian Hak Untuk Dibicarakan.

 

Seksyen 19A(1) Poca memberi kuasa kepada Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) yang terdiri daripada lima orang panel untuk menjatuhkan Perintah Tahanan dua tahun kepada tertuduh. Perintah Tahanan ini diputuskan oleh LPJ hanya berdasarkan kepada laporan Pegawai Penyiasat (IO) sebagai sumber keputusan.  Hal ini sekaligus menafikan hak tertuduh untuk mendapat pembelaan yang adil di mahkamah seperti yang dijamin dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 10 UDHR.

 

Hal ini juga menunjukkan Poca telah menghilangkan fungsi mahkamah dengan menyerahkan kuasa untuk menghukum kepada LPJ. Sedangkan sebagai sebuah Negara yang bertamadun dan menjulang Perlembagaan, institusi kehakiman atau mahkamah seharusnya menjadi satu-satunya badan yang berhak menentukan samada seseorang itu bersalah dan menjatuhkan hukuman yang setimpal seperti yang termaktub dalam Bahagian 9 Perlembagaan Persekutuan.

 

Akibat daripada penafian fungsi mahkamah ini, mereka yang dikenakan Perintah Tahanan di bawah Poca boleh dianggap telah dihukum tanpa dibuktikan bersalah. Keadaan ini bercanggah dengan prinsip Natural Justice yang menetapkan seseorang itu perlulah dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah oleh mahkamah (right to be presumed innocent until proven guilty by open court.)

 

Penafian Hak Untuk Diwakili Peguam Semasa Siasatan.

 

Tahanan Poca juga tidak dibenarkan untuk ditemani peguam semasa proses siasatan berlangsung seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 9(5) Poca. Ini bermaksud, semasa IO menjalankan siasatan, termasuk semasa sesi soal siasat dijalankan, tertuduh tidak boleh ditemani peguam.

 

Seskyen 9(5) Poca ini telah menafikan hak orang yang ditahan seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah. Sedangkan hak untuk mendapat khidmat nasihat peguam ini merupakan kebebasan asasi yang dijamin dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

 

Penafian hak untuk ditemani peguam ini juga dikhuatiri akan membuka ruang kepada pihak Polis untuk menjalankan siasatan secara arbitrari seperti yang pernah dilaporkan oleh media sebelum ini (Rujuk laporan Malaysiakini 20 Jun 2012:  Suhakam siasat dakwaan tahanan ISA ‘diseksa’). Tanpa ditemani peguam, dikhuatiri Polis akan berpeluang untuk membuat sebarang intimidasi bagi memaksa orang yang ditahan membuat pengakuan.

 

Proses Siasatan Tidak Transparen.

 

Menurut peruntukkan di bawah Seksyen 4(1) dan 4(2)a Poca, seseorang yang ditangkap boleh ditahan selama 38 hari bagi tujuan siasatan. Selepas tamat tempoh siasatan 38 hari ini, IO akan menyerahkan laporan siasatan kepada LPJ untuk menetapkan samada orang yang ditahan akan dikenakan Perintah Tahanan, Perintah Sekatan atau dibebaskan.

 

Tempoh siasatan 38 hari ini persis seperti peruntukan yang terkandung di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang juga memberi kuasa kepada pihak Polis untuk menahan sesorang selama 60 hari bagi tujuan siasatan. Walaubagaimanapun, bentuk siasatan yang dijalankan oleh pihak Polis dalam tempoh ini masih tidak jelas.

 

Bentuk siasatan yang tidak jelas ini menimbulkan kerisauan tentang bagaimana sebenarnya operasi standard pihak Polis dalam menjalankan siasatan. Kerisauan ini timbul ekoran fakta-fakta yang pernah direkodkan oleh seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang mendakwa dia telah diseksa semasa berada dalam tempoh siasatan 60 hari. (Rujuk laporan Malaysiakini 18 Jun 2012: Nota mengharukan dari Kamunting).

 

Antara bentuk seksaan yang didakwa oleh tahanan tersebut adalah seperti dibogelkan, dipukul beramai-ramai, badan dilumur cili boh dan kemaluan dicucuh api rokok.  Jika benar dakwaan ini, maka dikhuatiri perkara yang sama berlaku terhadap tahanan Poca kerana bentuk siasatan Polis tidak pernah didedahkan kepada umum.

 

Mengikut Konvensyen Menentang Penderaan dan Lain-lain kezaliman (CAT), apa juga bentuk tindakan yang menyebabkan kesakitan atau penderitaan samada dari segi fizikal mahupun mental yang dibuat dengan sengaja atas tujuan tertentu,  adalah satu bentuk penderaan yang mencabuli hak asasi manusia.

 

Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah Yang ‘Dirahsiakan’

 

Sehingga kini pihak Kerajaan Malaysia khususnya Menteri dalam Negeri masih tidak memaklumkan kepada umum mengenai siapakah yang telah dilantik untuk menjadi panel LPJ. Menerusi laporan Malaysiakini bertarikh 12 Jun 2014, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi enggan mendedahkan butiran ahli LPJ. Sebaliknya beliau hanya memberitahu secara umum bahawa anggota yang dilantik adalah berpengalaman luas dalam bidang keselamatan dan undang-undang.

 

Kerahsiaan keanggotaan LPJ ini juga menyebabkan ketelusan Poca boleh diragui. Bukan sahaja menafikan fungsi mahkamah, bahkan penel yang mengambil alih tugas mahkamah untuk menjatuhkan hukuman juga masih tidak diketahui umum. Hal ini berbeza dengan konsep mahkamah terbuka yang memberi ruang kepada publik untuk mengikuti proses perbicaraan malah identiti hakim juga terdedah kepada pengetahuan umum.  Konsep mahkamah terbuka ini merupakan salah satu mekanisme bagi memastikan proses kehakiman berjalan dengan penuh integriti.

 

Namun dengan tiadanya transparensi dalam Poca, maka integriti proses siasatan dan sebarang keputusan yang dibuat oleh LPJ adalah amat diragui.

 

Berdasarkan justifikasi yang telah dikemukakan, Suaram mengemukakan tuntutan berikut kepada pihak Kerajaan dan Polis Diraja Malaysia:

 

1. Mansuhkan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 dan akta-akta lain yang turut mencabuli hak asasi manusia seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

 

2. Hentikan siasatan dan tangkapan di bawah akta zalim. Pihak Polis sewajarnya menggunakan undang-undang sedia ada yang lebih mesra hak asasi seperti Akta 593 Kanun Prosedur Jenayah bagi mengendalikan kesalahan keselamatan. Selain itu, Akta 574 Kanun Keseksaan juga merupakan sebuah undang-undang yang cukup komprehensif untuk menangani sebarang bentuk kesalahan. Oleh itu Suaram melihat tindakan menggunakan undang-undang drakonian merupakan tindakan yang tidak boleh dipertahankan dalam mana-mana masyarakat yang demokrasi dan bertamadun.

 

3. Bebaskan segera orang yang telah ditahan di bawah Poca dan jika perlu, siasat mereka menggunakan undang-undang yang memberi mereka peluang untuk membela diri secara adil di mahkamah.

 

4. Suaram juga menuntut penjelasan mengenai tempoh tahanan siasatan yang telah dikenakan terhadap 3 orang dari Sabah yang telah ditangkap pada 22 Julai namun hanya dikenakan Perintah Tahanan pada 10 September iaitu selepas 50 hari merka ditahan. Sedangkan Poca 2014 menetapkan seseorang itu hanya boleh ditahan selama 38 hari untuk siasatan seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 4(1) dan 4(2)a.

 

Sekian. Terima kasih

 

 

Dikeluarkan oleh,

 

Syukri Razab

koordinator

Suara Rakyat Malaysia (Suaram)

 

*Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi saudara Ahmad Syukri Abdul Razab, tel: +6019 8013149 or emel [email protected]