MANSUHKAN PENAHANAN TANPA BICARA, JANGAN PERBAHARUI DDA 1985

RBTTB

KENYATAAN MEDIA BERSAMA: 19 SEPTEMBER 2014

MANSUHKAN PENAHANAN TANPA BICARA, JANGAN PERBAHARUI DDA 1985

 

Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 atau dikenali sebagai DDA 1985 digubal pada tahun 1985 dengan tujuan untuk menangani jenayah dadah berbahaya. DDA 1985 digubalkan di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan, iaitu kuasa yang membenarkan Parlimen membuat undang-undang tanpa perlu patuh kepada prinsip kebebasan asasi yang terkandung dalam Perkara 5,9,10 dan 13 demi menjaga keselamatan awam.

Menurut laporan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, pada tahun 2013, seramai 813 orang telah ditahan di bawah DDA 1985.

 

Seksyen 1(3) DDA 1985 menyatakan akta ini memiliki tamat tempoh (Sunset Clause) iaitu setiap lima tahun sekali. Bermula daripada tarikh akta ini diwartakan, ia perlu diperbaharui setiap lima tahun sekali. Seksyen 1(4) pula menyatakan Parlimen perlu memutuskan samada ingin meneruskan atau membiarkan akta ini terluput dengan sendirinya.

 

Jun 2015 akan menjadi tarikh luput bagi DDA 1985 setelah akta tersebut diperbaharui pada tahun 2010. Oleh itu Suaram berharap Kerajaan Malaysia dan Ahli Parlimen dapat membuat penilaian yang sewajarnya bagi memastikan akta ini tidak lagi disambung hayat sekaligus berhenti mencabuli hak asasi manusia.

 

MENGAPA DDA 1985 PERLU DIMANSUHKAN?

 

1. DDA 1985 Mencabuli Hak Asasi Manusia.

 

Hak Asasi Manusia merupakan tonggak penting dalam Perlembagaan Persekutuan. Hak-hak ini diperuntukan dalam bahagian Kebebasan Asasi iaitu Perkara 5 hingga 13.

 

Penafian Perkara-perkara ini menyebabkan individu yang ditangkap dibawah DDA 1985 boleh ditahan tanpa dibicarakan. Malah seseorang itu boleh ditangkap secara arbitrari tanpa waran dan tanpa diberitahu sebab-sebab tangkapan. Setelah ditangkap, individu tersebut boleh ditahan sehingga 60 hari mengikut Seksyen 3(2) DDA 1985 tanpa perlu mendapatkan reman mahkamah terlebih dahulu.

 

Apa yang lebih penting ialah, individu yang ditahan di bawah DDA 1985 akan hilang hak untuk mendapat pembelaan yang adil di Mahkamah. Seksyen 6 DDA 1985 memberi kuasa kepada Menteri untuk mengeluarkan Perintah Tahanan atau Perintah Sekatan tanpa perlu orang yang ditahan dibicarakan di Mahkamah. Ini bermaksud, DDA 1985 telah mematikan fungsi mahkamah dan fungsi tersebut telah diambil alih oleh Menteri.

 

Oleh itu, boleh dikatakan DDA 1985 telah menyebabkan seseorang itu dihukum tanpa dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Perkara seperti ini sepatutnya tidak boleh berlaku lagi dalam sebuah Negara yang menjulang Perlembangaan dan demokrasi.

 

2. DDA 1985 Tidak Mengurangkan Kesalahan Dadah Berbahaya Di Malaysia.

 

Sejak tahun 2008 sehingga 2013, statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan bilangan yang ditangkap di bawah kesalahan dadah berbahaya terus meningkat.

 

Pada tahun 2011, jumlah pesalah yang ditangkap bagi kesalahan Dadah Berbahaya adalah seramai 111, 719 orang. Manakala jumlah tangkapan meningkat  pada tahun 2012 menjadi 116, 740 orang. Pada tahun 2013, Jumlah tangkapan terus meningkat dengan menyaksikan seramai 129, 250 ditangkap.

 

Peningkatan secara berterusan ini menunjukkan DDA 1985 gagal menjadi mekanisme yang berkesan dalam menangani kesalahan dadah berbahaya di Malaysia.

 

3. Tidak Wujud Transparensi Cara Siasatan Polis Dalam Tempoh Siasatan.

 

Menurut peruntukkan di bawah DDA 1985, seseorang yang ditangkap boleh ditahan selama 60 hari bagi tujuan siasatan. Walaubagaimanapun, bentuk siasatan yang dijalankan oleh pihak Polis dalam tempoh ini masih tidak jelas.

 

Bentuk siasatan yang tidak jelas ini menimbulkan kerisauan tentang bagaimana sebenarnya operasi standard pihak Polis dalam menjalankan siasatan. Kerisauan ini timbul ekoran fakta-fakta yang pernah direkodkan oleh bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Seperti DDA 1985, ISA juga memberi kuasa kepada pihak Polis untuk menahan seseorang selama 60 bagi tujuan siasatan. Berdasarkan testimoni yang diperolehi daripada bekas tahanan ISA, dalam tempoh 60 hari tersebut terdapat dalam kalangan mereka yang diseksa oleh pihak Polis bagi memaksa mereka membuat pengakuan.

 

Menurut laporan Malaysiakini bertarikh 18 Jun 2012 yang bertajuk ‘Nota Mengharukan dari Kamunting’,  antara bentuk seksaan yang pernah dialami tahanan ISA termasuklah dibogelkan, dipukul beramai-ramai, kemaluan dicucuh api rokok dan seluruh bada dilumur dengan cili boh.

 

Oleh itu adalah dikhuatiri jika perkara yang sama berlaku terhadap tahanan DDA 1985 kerana bentuk siasatan Polis tidak pernah didedahkan kepada umum.

 

4.  Wujud Undang-Undang Lain Yang Lebih Komprehensif

 

Pihak Polis sering beralasan bahawa sukar untuk mendapatkan bukti untuk mensabitkan seseorang itu dengan jenayah dadah berbahaya kerana pesalah licik untuk menyelamatkan diri. Oleh itu undang-undang tahan tanpa bicara perlu digunakan.

 

Namun alasan ini tidak wajar digunakan untuk merasionalkan pencabulan hak asasi kerana sudah menjadi tanggungjawab pihak Polis untuk melakukan siasatan terperinci. Apakah pihak Polis cuba mengatakan institusi Polis di Malaysia tidak mampu menjalankan siasatan walaupun sudah memiliki kelengkapan yang cukup baik?

 

Dalam masa yang sama, wujud undang-undang lain yang lebih komprehensif dalam menangani kesalahan dadah yang mengguna pakai Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. Hal ini menyebabkan hak-hak orang yang ditahan akan sentiasa terjaga seperti hak untuk tidak ditahan melebihi tempoh reman 14 hari

 

Apa yang lebih penting ialah, orang yang ditangkap di bawah undang-undang yang lain akan berpeluang untuk membela diri di Mahkamah.

 

TUNTUTAN

 

Berdasarkan justifikasi yang telah diberikan di atas, maka kami mengusulkan tuntutan berikut:

 

1. Mansuhkan DDA 1985.

 

Kerajaan Malaysia perlu memansuhkan DDA 1985 dengan cara tidak membentangkan usul pelanjutan akta tersebut di Parlimen. Dengan cara ini DDA 1985 akan secara automatik termansuh dengan sendirinya.

 

Sekiranya Kerajaan tetap ingin membentang usul pelanjutan DDA 1985, maka kami menuntut seluruh Ahli Parlimen tidak bersetuju dengan usul tersebut.

 

2. Bebaskan Tahanan DDA 1985.

 

Semua tahanan DDA 1985 perlu dibebaskan dan disiasat menggunakan undang-undang yang lebih adil dan patuh hak asasi manusia.

 

Disokong oleh:

 

  1. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
  2. Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall Youth Section (KLSCAH Youth)
  3. Persatuan Komuniti Prihatin Selangor & KL
  4. Lawyer For Liberty (LFL)
  5. Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)
  6. Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA)
  7. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
  8. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
  9. Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
  10. Kelab Bangsar Utama (KBU)
  11. Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)
  12. Malaysia Youth and Student Democratic Movement (DEMA)