IGP CUBA PESONGKAN FAKTA MENGENAI DDA 1985

RBTTB

SUARAM

KENYATAAN MEDIA: 22 SEPTEMBER 2014

IGP CUBA PESONGKAN FAKTA MENGENAI DDA 1985

Suaram mengecam kenyataan balas yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar terhadap kenyataan media Suaram yang menuntut agar Akta Dadah Berbahaya (langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, (DDA 1985) dimansuhkan.

 

Portal The Malaysian Insider bertarikh 19 September telah memetik tulisan Khalid di laman sosial Twiter beliau yang cuba menggambarkan pemansuhkan DDA 1985 akan menyebabkan jenayah dadah berbahaya berleluasa. Beliau juga cuba menggambarkan penjenayah akan bergembira apabila DDA 1985 dimansuhkan.

 

Suaram menganggap kenyataan yang dikeluarkan Khalid ini sebagai kenyataan kosong, tidak ilmiah dan menunjukkan sifat sombong Ketua Polis Negara. Kenyataan Khalid ini juga menunjukkan beliau merupakan seorang yang tidak perihatin terhadap hak asasi manusia.

 

Suaram menegaskan bahawa Suaram menyokong sebarang usaha dalam membanteras jenayah dadah demi keselamatan awam, namun usaha tersebut mestilah selari dengan prinsip hak asasi manusia.

 

Terdapat perkara-perkara fundamental yang dibangkitkan Suaram langsung tidak disentuh oleh Khalid. Sebagai contohnya, beliau tidak menjawab persoalan mengenai DDA 1985 mencabuli hak asasi manusia dengan menghalalkan penahanan tanpa perbicaraan. Seksyen 6 DDA 1985 memberi kuasa kepada Menteri untuk menahan seseorang selama dua tahun tanpa dibuktikan bersalah oleh Mahkamah. Bukankah ini menyanggahi prinsip ‘Natural Justice’ yang menetapkan seseorang itu perlu dianggap tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah oleh mahkamah?

 

Khalid juga tidak menjawab fakta yang menunjukkan DDA 1985 gagal menangani jenayah dadah berbahaya apabila jumlah tahanan yang ditangkap dibawah kesalahan dadah berbahaya terus meningkat dari tahun ke tahun. Pada tahun 2011, jumlah pesalah yang ditangkap adalah seramai 111, 719 orang dan jumlah ini meningkat kepada 116, 740 orang pada tahun 2012. Pada tahun 2013, Jumlah ini terus meningkat apabila 129, 250 ditangkap.  Apakah Khalid tidak sedar mengenai angka-angka ini atau beliau sengaja ingin menyembunyikan fakta demi mengekalkan kuasa arbitrari  Polis dalam DDA 1985.

 

Khalid juga tidak menjawab apabila Suaram mempersoalkan mengenai proses siasatan Polis yang dijalankan ke atas tahanan DDA 1985. Suaram membangkitkan kerisauan mengenai kemungkinan berlaku penderaan terhadap tahanan DDA 1985,memandangkan DDA 1985 juga memiliki peruntukan seperti ISA  yang membenarkan Polis menahan seseorang selama 60 hari untuk tujuan siasatan. Berdasarkan testimoni bekas tahanan ISA, dalam tempoh 60 hari ini terdapat dalam kalangan mereka yang diseksa bagi memaksa mereka membuat pengakuan.

 

Suaram juga mempertikai kejujuran Khalid apabila beliau seolah-olah cuba menggambarkan hanya DDA 1985 mampu membanteras jenayah dadah berbahaya di Negara ini. Sedangkan Negara kita sudah memiliki undang-undang lain seperti Akta Dadah Berbahaya 1952 (DDA 1952) yang mampu menangani jenayah dadah berbahaya. Apa yang lebih penting ialah, DDA 1952 tidak memiliki peruntukan tahan tanpa bicara sekaligus memberi peluang orang yang dituduh membela diri di Mahkamah.

 

Oleh itu, Suaram menyeru agar Ketua Polis Negara bersikap jujur terhadap rakyat Malaysia dan bersikap lebih perihatin dalam memastikan hak asasi manusia terus dipelihara.

 

Sekian.

 

Syukri Razab