Mahkamah Majistret Perlu Ambil Kira Hak Keluarga Dalam Inkues Kematian Cheah Chin Lee

Suaram menyeru pihak Mahkamah Majistret Georgetown agar menyemak dan menilai semula keputusannya menolak permohonan keluarga Cheah Chin Lee untuk mendapat salinan nota keterangan ataupun rakaman CRT berkenaan inkues kematian Cheah Chin Lee dalam lokap polis.

Kami juga ingin mensyorkan kepada Mahkamah Majistret Georgetwon supaya membenarkan peguam keluarga si-mati untuk membuat penghujahan pada penghujung perbicaraan kes inkues Cheah Chin Lee sebelum mahkamah membuat keputusan dalam inkues ini.

Keputusan Mahkamah Majistret 1, Georgetown pada 26 September 2014 lalu berkaitan kematian Cheah Chin Lee pada Ogos 2012 adalah satu tindakan yang tidak munasabah, tidak telus dan juga tidak adil kepada keluarga si-mati.

Keluarga si-mati dan peguam mereka dapat membantu pihak mahkamah untuk mencari punca sebenar kematian Cheah Chin Lee. Adalah juga menjadi hak keluarga Cheah Chin Lee untuk mendapat salinan nota keterangan ataupun rakaman CRT inkues. Kepentingan keluarga juga perlu diwakili melalui peguam mereka kerana ahli keluarga mereka yang mati dalam kes ini. Pihak mahkamah sewajarnya memikirkan keadaan keluarga yang telah ditimpa musibah yang menyedihkan akibat kematian.

Sebagai seorang individu yang bertanggungjawab menguruskan perbicaraan, hakim mempunyai tanggungjawab yang amat penting dan berat dan beliau perlu bertindak dengan telus supaya tidak timbul perkara yang boleh diragukan. Dalam setiap pengadilan yang adil, setiap pihak dalam perbicaraan berhak mendapat informasi penuh tentang prosiding inkues dan pembelaan yang adil dan telus tanpa apa-apa prejudis.

Keputusan Mahkamah Majistret Georgetown menolak permohonan keluarga si-mati telah menimbulkan tanda-tanda tanya kerana tiada apa-apa batasan undang-undang yang menghalang atau tidak membolehkan daripada permohonan itu dipenuhi. Persoalannya apakah masalah salinan nota prosiding inkues diberikan kepada keluarga si-mati dan peguam mereka diberi peluang terakhir untuk membuat penghujahan bagi pihak keluarga dan membantu pihak mahkamah mencari kebenaran? Adakah keputusan ini adil dari segi undang-undang?

Perbicaraan inkues Cheah Chin Lee akan diteruskan pada 18 dan 19 November 2014 di Mahkamah Majistret 1, Georgetown, Pulau Pinang. Suaram akan terus memantau prosiding kes ini dan turut hadir bersolidariti menyatakan sokongan kepada keluarga si mati.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan hubungi:

1.       Mr. Yap Swee Seng, Pengarah Eksekutif, +60122015272 atau [email protected]

2.       Mr. Tarmizi Anuwar, Koordinator Program Hak kepada Keadilan, +60136848313 atau [email protected]