BERI HAK KELUARGA MELAKUKAN BEDAH SIASAT KEDUA KE ATAS SEBASTIAN JOSEPH

Suaram menggesa supaya mahkamah memberikan kebenaran kepada keluarga lewat Dr. Sebastian Joseph hak untuk melakukan bedah siasat kali kedua. Dr. Joseph Sebastian yang berumur 30 tahun (ketika mati) merupakan seorang pegawai perubatan di Langkawi yang telah mati pada 15 November 2010 di dalam rumahnya dengan klasifikasi dalam sijil kematian “unascertained” atau tidak diketahui.

Suaram amat kesal bahawa walaupun kematian telah berlaku pada bulan November 2010 dan bedah siasat dilakukan sehari selepasnya, laporan bedah siasat hanya dikeluarkan selepas lima bulan iaitu bertarikh 8 Mac 2011 oleh Hospital Langkawi. Bagaimanapun, Kalliegan Anthony yang merupakan adik si mati mengatakan bahawa hanya pada bulan April 2011 barulah mereka mendapat laporan bedah siasat berkaitan kematian abangnya. Kelewatan dalam pengeluaran laopran bedah siasat ini hanya mengundang kecurigaan orang ramai samada terdapat usaha menutup sebab kematian Dr. Sebastian Joseph yang sebenar.

Adakah juga menakjubkan bahawa pihak keluarga Dr. Sebastian Joseph belum lagi diberitahu status siasatan ke atas kes ini walaupun 4 tahun sudah berlalu. Setiap kali pihak keluarga bertanyakan perkembangan terkini kepada pihak polis setiap kali itu mereka menyatakan memerlukan masa. Berkali-kali pihak keluarga hanya mendapat alasan yang sama seperti tiada apa-apa tindakan yang diambil oleh pihak polis.

Berdasarkan perjumpaan dan perbincangan Suaram bersama ahli keluarga si mati, mereka menyatakan bahawa terdapat perkara yang menimbulkan syahwasangka dengan sebab kematian seperti dinyatakan dalam sijil kematian. Ahli keluarga juga percaya bahawa kematian yang berlaku tidak terjadi dengan tiba-tiba kerana si mati dijumpai dalam keadaan melutut dan kedua-dua tangannya tergenggam.

Si ibu menyatakan bahawa anaknya tidak mempunyai sebarang rekod masalah kesihatan dan merupakan seorang yang sihat. Laporan Jabatan Kimia Malaysia (Pulau Pinang) bertarikh 7 Januari 2011 menunjukkan bahawa si mati bebas daripada sebarang pengaruh dadah. Ahli keluarga juga mempersoalkan mengapa bedah siasat itu dilakukan oleh Dr. Muhamad Arif Mohamad Rasat yang merupakan bukan seorang pakar bedah tetapi hanya salah seorang pegawai perubatan biasa di Hospital Langkawi.

Peguam Visvanathan akan mewakili keluarga si mati di mahkamah bagi memohon kebenaran untuk bedah siasat kali kedua dilakukan oleh pakar bedah dari Australia bernama Dr. Richard Byron Collins. Perbicaraan akan dilakukan pada 2 Disember 2014 di Mahkamah Tinggi Alor Star, Kedah pada jam 9.00 pagi.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan hubungi:

1.       Mr. Yap Swee Seng, Pengarah Eksekutif, +60122015272 atau [email protected]

2.       Mr. Tarmizi Anuwar, Koordinator Program Hak kepada Keadilan, +60136848313 atau [email protected]