Bawa Ke Muka Pengadilan Polis Yang Terlibat Dalam Kematian Dalam Tahanan Syed Mohd Azlan

Pada 4 November 2014 yang lepas, seorang lagi mangsa telah mati dalam tahanan iaitu Syed Mohd Azlan. Sejak awal tahun sehingga bulan November 2014, kematian dalam tahanan polis sudah mencatatkan seramai 13 orang kesemuanya.

Tindakan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan mengatakan bahawa kematian ini berlaku secara tiba-tiba adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak berintegriti. Dalam sijil kematian yang dikeluarkan oleh Hospital Sultan Ismail tertulis si mati mati disebabkan oleh hentakan benda tumpul di dada dan bukan mati secara tiba-tiba.

Tindakan pihak polis menyembunyikan kematian Syed Mohd Azlan daripada pengetahuan keluarganya telah menunjukkan seperti ada sesuatu perkara yang ingin disembunyikan. Ayah si mati telah dihalang oleh pihak polis untuk beliau berjumpa dengan anaknya. Si mati diumumkan mati oleh pihak hospital pada 7.30 am dan ayahnya, Syed Mohamad Nur hanya dimaklumkan kematian anaknya pada jam 1.00 pm.

Syed Mohd Azlan telah ditahan kerana dikatakan memiliki senjata api tetapi bagaimanapun pihak polis tidak menjumpai sebarang senjata api di dalam rumah si mati. Semasa penangkapan berlaku pihak polis mengesahkan berlaku pergelutan antara pihak polis dengan si mati dan mereka telah mengalami kecederaan. Tertanya pihak polis sungguh tidak bertanggungjawab apabila tidak menyediakan hak perubatan terhadap si mati walaupun mangsa telah mengalami kecederaan semasa penahanan dilakukan.

Tindakan pihak polis yang mengugut ayah si mati dengan menghempas pistol dan gari semasa soal siasat dijalankan di Balai Polis Sungai Renggit, Pengerang, Johor dan mengugut beliau mengaku memiliki senjata api secara haram adalah sesuatu tindakan yang tidak beretika dan salah dari segi undang-undang. Pihak polis sewajarnya melakukan siasatan beradasarkan bukti-bukti dengan penuh integriti dan bukan dengan memaksa yang disoal siasat mengaku perkara yang tidak dilakukannya.

SUARAM menggesa pihak yang bertanggungjawab ke atas kematian ini dibawa ke muka pengadilan. Pihak polis juga perlu menjawab dengan telus terhadap kesan lebam dan tanda tusukan yang ada pada badan di si mati. Ini menunjukkan mungkin berlakunya kekerasan pihak polis terhadap si mati. Pihak polis tidak boleh melarikan diri dengan mengklasifikasikan kematian ini sebagai kematian yang mengejut tetapi perlu bersedia membawa anggotanya yang terlibat ke muka pengadilan. Bagaimana seseorang yang muda dan sihat tiba-tiba mati selepas ditangkap oleh polis?

Kes kematian dalam penahanan polis telah banyak berlaku setiap tahun tetapi tiada tindakan tegas daripada kerajaan untuk mencegah ia berlaku lagi. Salah satu masalah yang paling besar adalah tiada satu badan yang bebas untuk memantau tugas polis dan mengambil tindakan terhadap polis yang menyalahguna kuasa mereka. Setelah 9 tahun Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis ianya masih tidak dilaksanakan. SUARAM menggesa kerajaan agar IPCMC dilaksanakan supaya setiap kes kematian dalam tahanan dapat diuruskan dengan telus dan adil.

Suaram mengesa satu inkues dijalankan dengan segera ke atas kes kematian Syed Mohd Azlan untuk menentukan sebab kematian beliau. Jikalau didapati terdapat pegawai-pegawai polis yang telah menggunakan kekerasan untuk menyeksa beliau semasa dalam tahanan polis, maka pegawai-pegawai polis yang terlibat perlu dituduh dan dihukum ke atas jenayah yang mereka lakukan.

Kami menyeru pihak kerajaan meratifikasikan Konvensi Antarabangsa Menentang Penyeksaan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu dengan segera dan menggubal undang-undang untuk mengharamkan penyeksaan.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan hubungi:

1.       Mr. Yap Swee Seng, Pengarah Eksekutif, +60122015272 atau [email protected]

2.       Mr. Tarmizi Anuwar, Koordinator Program Hak kepada Keadilan, +60136848313 atau [email protected]