Suaram Kesal Universiti Malaya Menjadi Alat Penindasan Kerajaan

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) merasa kesal dan mengecam sekeras-kerasnya keputusan yang dibuat oleh panel displin Universiti Malaya, Profesor Dr. Zanariah Abdullah terhadap lapan orang mahasiswanya (UM8) yang terlibat dalam penganjuran forum dimana ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diundang sebagai salah seorang penceramah. 

Fahmi Zainol, bekas presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya 2013/2014 digantung dua semester dan denda sebanyak RM600. Manakala Safwan Shamsudin yang merupakan Pengerusi Pro Mahasiswa Universiti Malaya dikenakan tindakan gantung satu semester dan denda RM300. Empat mahasiswa yang lain iaitu Adam Fistival Wilfried, Muhammad Khairul Anwar Kamaruddin, Haw Yu Hong, dan Syamimi Munirah, didenda RM150 dan diberi amaran keras. Dua lagi mahasiswa iaitu Khairol Najib diberikan amaran keras manakala Abraham Au digugurkan tuduhan ke atasnya dan dibebaskan.

Tuduhan yang dikenakan kepada UM8 antaranya ialah menganjurkan pidato di kampus utama UM tanpa kebenaran naib canselor, menyertai pidato di kampus utama tanpa kebenaran Naib Canselor, merosakkan dan memudaratkan kepentingan, kesejahteraan ‎serta nama baik universiti apabila menganjurkan pidato Anwar, dan menggunakan mikrofon tanpa kebenaran naib canselor bagi maksud membuat ucapan awam dalam perhimpunan pidato umum Anwar yang berlangsung di kawasan kampus utama UM.

Tuduhan-tuduhan di atas dibuat berdasarkan Akta Universiti dan Kolej Universiti dan secara jelas bertentangan dengan perlembagaan Malaysia. Mahasiswa yang berkumpul pada malam itu tidak membawa senjata dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Ini menunjukkan pihak universiti mengambil sikap dwipiawai terhadap pihak oposisi politik apabila pihak kerajaan diberikan ruang dan kebenaran berceramah dalam universiti tetapi berkelakuan sebaliknya terhadap pembangkang.

Suaram berpendapat bahawa tindakan mahasiswa menganjurkan program “Pidato Umum Anwar Ibrahim 40 Tahun: Dari UM ke Penjara” adalah sesuatu yang tidak bertentangan dengan perlembagaan Malaysia. Dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 10 membenarkan kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman dan tanpa senjata. Malangnya pada hari program dijalankan pihak universiti telah menghalang mahasiswa daripada menganjurkan program tersebut.

Sebagai sebuah institusi akademik yang paling pretij dan bersejarah di dalam negara, Universiti Malaya sepatutnya memberi ruang untuk semua idea dibentang dan diperdebatkan secara rasional. Kebebasan berpendapat dan bersuara merupakan asas kepada kebebasan akademik. Universiti Malaysa sepatutnya berbangga dengan mahasiswa-mahasiswinya yang dilahirnya mempunyai pemikiran yang mandiri,  kritikal dan prihatin terhadap isu-isu semasa yang menggugat masa depan negara. Tindakan universiti yang menindas mahasiswa-mahasiswi yang prihatin dan ingin mendengar pendapat daripada semua pihak amat memalukan. Ini menunjukkan mutu kebebasan akademik dan kebebasan bersuara di Universiti Malaya telah semakin kehilangan. Perkembangan ini amat membimbangkan.

Suaram menggesa pihak Universiti Malaya menarik semula keputusan yang telah dibuat kerana ianya bertentangan dengan roh kebebasan akademik yang sepatutnya dijunjung oleh semua universiti di Malaysia ini. Suaram juga menyatakan sokongan penuh kepada UM8 yang dikenakan tindakan dan menyeru rakyat supaya bersolidariti bersama. Institusi pengajian tinggi adalah merupakan hak rakyat dan pihak universiti mesti menjadi sebuah institusi yang mempertahankan kebebasan bersuara, kebebasan akademik, adil dan telus serta tidak berat menyebelahi mana-mana parti politik.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan hubungi:

1.       Mr. Yap Swee Seng, Pengarah Eksekutif, +60122015272 atau [email protected]

2.       Mr. Tarmizi Anuwar, Koordinator Program Hak kepada Keadilan, +60136848313 atau [email protected]