Siapa bunuh Dharmendran selepas 4 orang suspek dilepaskan?

Keputusan mahkamah membebaskan empat orang pegawai-pegawai polis dalam kes kematian dalam penahanan N Dharmendran, iaitu Sarjan Jafri Jaafar, Koperal Mohd Nahar Abdul Rahman, Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari dan Inspektor S Hare Krishnan, adalah amat menghampakan dan menimbul pelbagai persoalan yang tidak terjawab, termasuk keadilan kepada pihak keluarga si mati. Siapa yang menyebabkan kesan kecederaan sebanyak 52 tempat di seluruh badan Dharmendran semasa ditahan di lokap polis sehingga beliau mati dalam lokap? Bukankah tanggungjawab polis untuk memastikan keselamatan dan kesihatan tahanan semasa mereka di bawah penjagaan mereka? Adakah keputusan sebegini adil kepada si mati dan keluarganya?   

Dhamendran telah ditahan pada 11 Mei 2013 dan telah mati dalam tahanan polis sepuluh hari selepas itu iaitu pada 21 Mei 2013. Berdasarkan laporan pakar bedah Dr Siew Sheue Feng daripada Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur, Dharmendran diklasifikasikan mati dipukul objek tumpul. Dalam laporan bedah siasat yang disediakan oleh Dr. Siew Sheue Feng, beliau menyatakan “Pada pendapat saya, punca kematian adalah disebabkan kecederaan tisu lembut akibat pelbagai trauma benda tumpul”.

Keputusan bedah siasat juga menunjukkan mangsa mengalami sebanyak 52 kesan kecederaan di seluruh badannya. Juga kecederaan di bahagian telinga yang terdapat kesan stapler. Suaram mempersoalkan setelah empat pegawai polis ini dibebaskan siapakah yang akan menjadi suspek untuk menggantikan pihak polis tersebut?

Untuk membiarkan tiada seorang pun disabitkan kesalahan adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak boleh diterima kerana terdapat bukti yang jelas Dharmendran mati dibunuh dalam tahanan polis. Isteri Dharmendran menyatakan beliau sempat melawat suaminya pada 19 Mei 2013 iaitu dua hari sebelum mangsa mati dan keadaan Dharmendran ketika itu masih sihat.

Pada 5 Jun 2013, ketua eksekutif Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Nor Afizah Hanum menyatkan bahawa EAIC akan menyiasat kematian Dharmendran dan R Jamesh Ramesh yang juga mati di bawah tahanan polis di Pulau Pinang. Suaram menyokong kenyataan Christopher Leong, Presiden Majlis Peguam Malaysia dan menggesa agar Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengeluarkan laporan siasatan terhadap kematian Dharmendran dan R Jamesh Ramesh. Setelah satu tahun setengah pihak EAIC masih tidak lagi mengeluarkan apa-apa laporan berkaitan ke kematian ini.

Ini sudah agak jelas menunjukkan bahawa EAIC tidak efektif dalam menanggani masalah salahguna kuasa oleh pihak polis. Suaram mengesa kerajaan jangan melengah-lengah lagi dalam penubuhan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang telah dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja pada tahun 2005.

Sejak tahun 2011 tidak kurang daripada 11 orang mati dalam tahanan setiap tahun. Berdasarkan rekod Suaram kematian dalam tahanan pada tahun 2011 adalah seramai 11 orang, 2012 seramai 19 orang, 2013 sebanyak 13 orang dan tahun 2014 sebanyak 13 orang. Statistik menunjukkan bilangan yang mati dalam tahanan masih tiada sebarang tanda-tanda akan berkurangan.

Perkara ini menunjukkan pihak kerajaan dan polis tidak serius dalam membanteras kematian dalam tahanan. Secara tidak langsung telah menunjukkan tingkah laku yang tidak berintegriti dalam menguruskan hal-hal berkaitan hak asasi manusia. Suaram menyokong agar kes ini dibawa ke mahkamah rayuan agar kematian Dharmendran ini dibela dan empat orang suspek yang dilepaskan diadili dengan adil.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan hubungi:

1.        En. Yap Swee Seng, Pengarah Eksekutif, +60122015272 atau [email protected]

2.  En. Tarmizi Anuwar, Penyelaras Projek Hak kepada Keadilan, +60136848313 atau [email protected]