Tahun 2015: Kematian Dalam Tahanan Polis Terus Berlaku

Tidak sampai setengah bulan masuk tahun baru 2015, telah berlaku satu kes terbaru kematian dalam tahanan di Malaysia. Pada 8 Januari 2015, pada jam 20.10 malam, seorang lelaki India berumur 31 tahun telah mati dalam tahanan polis di lokap Ayer Molek.

Berdasarkan maklumat yang Suaram dapati, mangsa telah ditahan reman sejak 4 Januari 2015 hingga 18 Januari 2015 dan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983. Mengikut rekod, mangsa mempunyai 10 rekod jenayah lampau yang berkaitan dadah.

Pada 7 Januari 2015, mangsa telah mengadu sakit perut dan telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru untuk dapatkan rawatan. Si mati dirawat di bahagian pesakit luar dan selepas itu dimasukkan semula ke dalam tahanan lokap.

Keesokkannya, sekali lagi mangsa mengadu sakit perut dan dihantar ke hospital tetapi apabila tiba, pihak paramedik Hospital Sultanah Aminah telah mengesahkan pesakit telah mati. SAC Dato’ Hasnan Hassan yang merupakan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Bahru mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati secara tiba-tiba.

Pihak koroner dan doktor pathologi dipanggil untuk pemeriksaan mayat di tempat kejadian dan mereka nyatakan tiada kecederaan luaran yang dialami oleh mangsa. Walaubagaimanapun, Suaram tetap memandang serius kejadian kematian dalam tahanan ini.

Suaram menggesa pihak polis mendedahkan apakah sebab sebenar atau punca kematian yang berlaku. Alasan mati secara tiba-tiba adalah tidak logik apabila si mati telah mengaku bahawa dia mengalami kesakitan perut.

Alasan kematian secara tiba-tiba bukan hanya sekali digunakan oleh pihak polis tetapi kerap kali digunakan untuk menutup punca sebenar kematian tahanan. Contoh baru-baru ini kematian Syed Mohd Azlan pada 4 November 2014 di Pengerang turut menggunakan alasan yang sama walaupun terdapat bukti kesan kecederaan teruk pada tubuh mangsa. Bahkan, pihak hospital sendiri telah mengesahkan sebab kematian adalah disebabkan hentakan benda tumpul di dada.

Sepanjang tahun 2014 sebanyak 14 kes kematian dalam tahanan polis telah direkodkan oleh Suaram. Kematian dalam tahanan merupakan satu kejadian yang sangat serius kerana ianya melibatkan integriti pihak polis. Polis bertanggungjawab penuh untuk menjamin keselamatan dan kesihatan setiap tahanan mereka. Kekerasan dan kecederaan dalam apa jua bentuk tidak harus dibenarkan sementara tahanan berada di bawah jagaan polis.

Sejak tahun 2005 sehingga 2014, sebanyak 111 kes kematian dalam tahanan direkodkan oleh Suaram. Sehingga hari ini pihak kerajaan masih belum menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Ini menunjukkan pihak kerajaan tidak serius dalam membanteras salah guna kuasa pihak polis. Suaram menggesa agar satu badan bebas yang tidak berkepentingan diwujudkan agar siasatan kes kematian dalam tahanan dapat dijalankan dengan telus dan berintegriti.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan hubungi:

Tarmizi Anuwar
Koordinator Program Hak kepada Keadilan,
+60136848313
[email protected]