Awal Suku Tahun 2015 Kematian Dalam Tahanan Menunjukkan Angka Amat Membimbangkan

AWAL SUKU TAHUN 2015, KEMATIAN DALAM TAHANAN MENUNJUKKAN ANGKA AMAT MEMBIMBANGKAN

Tidak sampai suku tahun 2015, kes kematian dalam tahanan menunjukkan statistik yang serius dan amat membimbangkan. Kes pertama yang berlaku pada 9 Januari 2015 di Lokap Ayer Molek, Johor seperti “pemecah ruyung” kepada kes-kes seterusnya. Sehingga 5 Mac 2015 sebanyak 5 kes kematian dalam tahanan telah direkodkan oleh SUARAM.

Nama

Umur

Tarikh Kematian

Sebab Ditahan

Sebab Kematian

R Sivan

31

9 Januari 2015

Dadah

Ulser peptik berlubang

Phill Phot Fred

63

18 Januari 2015

Dadah

Komplikasi Jantung

Fahruz

28

22 Januari 2015

Dadah

Jangkitan Paru-paru

Sharam Hassan

45

26 Januari 2015

Dadah

Ulser Duodenum  Dengan Septik Kejutan

K Elumalai

43

18 Februari 2015

Dadah

Tidak diketahui

Jadual 1: Rekod kematian dalam tahanan sejak Januari 2015 sehingga kini.

Kematian dalam tahanan adalah kehilangan nyawa secara paksa bermaksud seseorang itu hilang hak untuk hidup dan merupakan antara pencabulan hak asasi manusia yang paling serius. Hak untuk hidup juga dijamin di bawah Perkara 5 Perlembagaan Malaysia.

Komitmen yang ditunjukkan oleh pihak kerajaan dan polis itu sendiri dilihat tidak serius dalam menyelesaikan isu ini. Pada tahun 2009, kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk memantau pelbagai agensi kerajaan termasuk polis tetapi badan ini tidak mampu untuk menyiasat kes kematian dalam tahanan kecuali dua kes iaitu N. Dharmendran dan R. Jamesh Ramesh.

Pada 5 Jun 2013, Ketua Eksekutif Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Nor Afizah Hanum menyatakan bahawa EAIC akan menyiasat kematian Dharmendran dan R Jamesh Ramesh yang juga mati di bawah tahanan polis di Pulau Pinang. Bagaimanapun hanya R. Jamesh Ramesh sahaja laporan siasatan dikeluarkan oleh EAIC, itupun setelah lebih daripada setahun setengah.

Lebih mendukacitakan apabila keputusan mahkamah membebaskan empat orang pegawai polis yang menjadi suspek kes N. Dharmendran dilepaskan walaupun secara jelas terdapat kekerasan yang digunakan oleh pihak polis iaitu sehingga mengakibatkan 52 kesan kecederaan di badannya. Sehingga hari ini, pihak EAIC tidak mengeluarkan sebarang laporan terhadap kematian N. Dharmendran.

Jika diukur dalam bentuk peratusan sepanjang penubuhan EAIC hanya menyiasat sebanyak 2.86% kes sahaja dibandingkan dengan jumlah kes kematian dalam tahanan yang direkodkan oleh Suaram. Ini sudah agak jelas menunjukkan bahawa EAIC tidak efektif dalam menanggani masalah salahguna kuasa oleh pihak polis.

Pada 20 Oktober 2014 yang lepas, Panel Penasihat Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat semula cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Integriti Polis (IPIC) yang pernah dikemukakan pasukan itu sebelum ini semasa kunjungan rasmi di Bukit Aman.

Tan Sri Johan Jaafar yang juga merupakan Pengerusi PPPR turut mencadangkan agar Bahagian Displin dan Integriti Polis dikembangkan kepada Bahagian Hal Ehwal Dalaman yang fokus memainkan peranan dalam menangani rasuah. Tan Sri Johan juga percaya bahagian ini boleh memainkan peranan yang penting bagi mengawasi dan memantau sebarang bentuk salahlaku, penyalahgunaan kuasa dan rasuah di dalam pasukan polis.

Bagaimanapun di peringkat SUARAM, saranan seperti Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) di dalam pasukan polis ataupun Suruhanjaya Bebas Integriti Polis (IPIC) tidak akan efektif kerana amat sukar bagi polis menyiasat polis sendiri, terutamanya jikalau kes-kes salahguna kuasa atau rasuah melibatkan pegawai-pegawai polis atasan, termasuk Ketua Polis Negara. SUARAM percaya bahawa kewujudan JIPS hanya “indah khabar dari rupa” dan tidak efektif.

Ini disebabkan, kebarangkalian kes salah laku polis disenyapkan dan disembunyikan adalah tinggi.  Tan Sri Johan berpendapat Suruhanjaya Bebas Integriti Polis (IPIC) mampu memainkan peranan yang sama keberkesannya dengan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Persoalannya, IPIC adalah cadangan daripada pihak polis manakala IPCMC merupakan cadangan Suruhanjaya Diraja (RCI). Sekiranya benar IPIC memainkan peranan sama seperti IPCMC mengapa tidak ditubuhkan sahaja IPCMC?

Bagaimanapun terdapat dua kes yang mendapat maklum balas positif daripada pihak Mahkamah Koroner iaitu kematian P Chandran dan Karuna Nithi. Kedua-dua kes ini telah diputuskan bahawa terdapat kelemahan pihak polis sehingga menyebabkan kematian mangsa. SUARAM tidak berpandangan bahawa mesti pihak polis disalahkan barulah sesuatu kes itu dianggap adil tetapi bagaimanapun pihak SUARAM mengharapkan setiap kes perlu didedahkan kepada masyarakat awam supaya pengurusan kes lebih telus.

Apabila berlakunya kes kematian dalam tahanan kebiasaannya pihak polis akan melaporkan bahawa tidak terdapat kesan kecederaan fizikal dan mayat dihantar untuk bedah siasat. Bagaimanapun pihak polis tidak memberikan sebarang maklumat terbaru kepada masyarakat berkaitan dengan keputusan bedah siasat yang dijalankan. Ini adalah satu perkara yang sewajarnya tidak dipandang enteng oleh pihak polis.

Kes kematian dalam tahanan terus meningkat dengan pantas tetapi perubahan yang cuba dilakukan oleh pihak polis dan kerajaan nampaknya terlalu perlahan. Kita memerlukan satu mekanisme yang mandiri untuk memantau dan mengadili pihak polis supaya setiap kes yang berlaku tidak disenyapkan begitu sahaja. Mekanisme yang sepatutnya diwujudkan adalah IPCMC dan tidak sewajarnya pihak polis memberikan pelbagai alasan untuk menidakkan pentingnya wujud IPCMC.

Pada masa yang sama Mahkamah Koroner perlu terus diperkasa dan diperbaiki dari semasa ke semasa kerana ianya adalah satu mekanisme yang baik untuk mengadili kes kematian dalam tahanan. Perlu juga lebih ramai hakim dilatih untuk mengadili kes kematian dalam tahanan kerana kes seperti ini merupakan kes kepentingan awam dan memerlukan analisa yang kritikal daripada pihak yang mahu mengadili dengan adil dan saksama.

Untuk sebarang maklumat lanjut sila hubungi:

Tarmizi Anuwar

Koordinator Hak Untuk Keadilan

+60136848313

[email protected]