Kematian Ke-6 Tahun 2015, Hasil Bedah Siasat Perlu Didedahkan Kepada Orang Awam

Pada 13 Mac 2015 yang lepas, satu kes kematian dalam tahanan telah berlaku di Lokap Berpusat Ipoh. Mangsa bernama Mohd Zafari Mohd Yunus direman sejak 5 Mac 2015 (Khamis) sehingga perbicaraan selesai. Beliau ditahan atas tuduhan melakukan rompakan pada tahun 2013. Pada 12 Mac 2015 (Khamis), tahanan telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan tiga kali sebatan.

Selepas hukuman dijatuhkan tahanan telah dibawa semula ke lokap. Pada hari yang sama, pada jam 3.15 petang mangsa dikatakan telah jatuh semasa ke tandas dan mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala. Mangsa seterusnya dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk diberikan rawatan. Bagaimanapun pada keesokkannya iaitu 13 Mac 2015 (Jumaat) jam 1.25 pagi tahanan telah menghembuskan nafas terakhir.

Mengikut laporan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak (CID), Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim mengklasifisikan kematian ini sebagai kematian secara tiba-tiba sementara menunggu siasatan lanjut. Hasil siasatan awal menyatakan kecederaan disebabkan jatuh dan sirosis hati.

Ahli keluarga telah membuat satu laporan polis dan turut membuat permohonan untuk melihat kamera lingkaran tertutup (CCTV) di dalam lokap dan pihak polis mengakui terdapat kamera di dalamnya. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) berharap agar pihak polis menjadikan CCTV sebagai salah satu daripada prosedur siasatan dan pihak keluarga berhak untuk menonton rakaman tersebut.

Kebiasaannya apabila berlaku kes kematian dalam tahanan, pihak polis akan mengeluarkan kenyataan berkaitan hasil siasatan awal kes dan menyatakan bedah siasat akan dijalankan. Bagaimanapun, pihak polis tidak mengeluarkan kenyataan berkaitan hasil bedah siasat yang dilakukan kepada setiap mangsa kematian dalam tahanan.

Adalah sangat baik sekiranya pihak polis memaklumkan kepada orang awam berkaitan hasil siasatan terkini berkaitan kematian dalam tahanan, khususnya keputusan laporan bedah siasat. Ini demi mengelakkan daripada berlakunya penipuan dan kekaburan maklumat.

Ini pernah terjadi dalam kes yang berlaku kepada Syed Mohd Azlan, apabila Datuk Hasnan Hassan mengatakan kematian dalam tahanan adalah secara tiba-tiba tetapi dalam sijil kematian yang dikeluarkan pihak Hospital Sultan Ismail tertulis si mati mati disebabkan hentakan benda tumpul di dada dan bukan mati secara tiba-tiba.

SUARAM menggesa agar pihak polis berlaku telus dalam setiap kes kematian dalam tahan yang berlaku. Tindakan pihak polis tidak bercakap benar atau memberikan maklumat yang sahih adalah sesuatu yang tidak berintegriti dan tidak bertanggungjawab.

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut sila hubungi:

Tarmizi Anuwar – Koordinator Hak Untuk Keadilan, SUARAM melalui +60136848313 atau [email protected]