[GHAH] INSIDEN GEREJA TAMAN MEDAN: BUKAN ALASAN UNTUK GUNA AKTA HASUTAN

Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) merujuk kepada insiden protes yang berlaku baru-baru ini di sebuah gereja di Taman Medan dan memandang serius tindakan para himpunan sebagai cubaan membuli and menakut-nakutkan gereja tersebut.

Kebebasan untuk beragama dan menjalankan setiap amalan yang dituntut oleh agama masing-masing adalah hak asasi setiap warga negara seperti yang dijamin oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Toleransi antara ras, budaya termasuklah agama adalah elemen penting yang menjamin keharmonian sebuah negara demokrasi yang berbilang kaum seperti Malaysia.

Insiden yang berlaku di gereja yang terletak di Taman Medan tersebut harus dikecam oleh semua pihak dan harus ditangani dengan tegas dan adil.

Biarpun begitu, kita tidak seharusnya memberi ruang dan kesempatan kepada pihak berkuasa untuk menggunakan insiden ini sebagai satu lagi alasan untuk terus menggunakan Akta Hasutan kononnya bagi memelihara kepentingan dan ketenteraman awam.

GHAH tetap tegas dengan pendirian bahawa Akta Hasutan adalah akta drakonian yang mencabuli prinsip kemanusiaan serta tidak berpelembagaan. Kenyataan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa Akta Hasutan bakal dijadikan dasar kepada siasatan ke atas insiden tersebut sama sekali tidak boleh diterima dan harus dikecam. Penggunaan Akta Hasutan dalam kes ini tidak akan menyelesaikan sebarang masalah dan polemik yang telah timbul, sebaliknya hanya akan menambah lagi episod pencabulan hak asasi ke atas warganegara.

Insiden yang berlaku tersebut, biarpun telah dengan jelas menimbulkan ketidaktenteraman kepada masyarakat, boleh ditangani dengan banyak pendekatan lain seperti berdialog, kritikan dan tekanan dari pemimpin dan masyarakat.
Penggunaan Akta Hasutan adalah tidak perlu sama sekali, apabila kes seperti ini sekiranya ada unsur-unsur jenayah boleh disiasat dengan peruntukan undang-undang sedia ada didalam Kanun Keseksaan.

Kami turut menyeru beberapa pihak yang sebelum ini bersama dalam mengkritik Akta Hasutan tetapi kini menggesa pihak berkuasa untuk menggunakan akta drakonian ini ke atas pihak yang terlibat supaya kembali menentang akta ini dan terus berpegang pada prinsip bahawa akta hasutan ini sudah lapuk, zalim dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh digunakan sama sekali.

Kami dengan ini sekali lagi bertegas mengulangi tuntutan kami menggesa pihak kerajaan memansuhkan Akta Hasutan dengan serta merta, menggugurkan semua pertuduhan hasutan yang sedia ada, dan tidak ada akta gantian dengan peruntukan yang sama zalim.