Kenyataan Media: PDRM TIDAK SERIUS MENANGANI UGUTAN ROGOL MAISARAH

Suaram mengutuk tindakan pihak polis yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pegawainya yang melakukan ugutan hendak merogol salah seorang peserta BatalGST yang ditahan oleh pihak polis bernama Maisara Amira Mohamad Asmadi.

Datuk Tajuddin  Mohd Isa yang merupakan Ketua Polis Kuala Lumpur menyatakan bahawa anggota polis tersebut masih bertugas di balai polis yang sama, dimana anggota tersebut tidak akan dipindahkan dan tidak menjadi satu keperluan untuk memindahkan anggota tersebut.

Maisara telah ditahan pada 1 Mei 2015 dan direman selama empat hari di IPD Dang Wangi. Semasa soal siasat dilakukan pada 5 Mei 2015 beliau telah diugut untuk dirogol oleh pegawai polis yang tidak berpakaian seragam sekitar jam 1130 pagi sehingga 130 petang.   

Suaram melihat ini adalah sesuatu perkara yang serius apabila seorang pegawai polis yang bertanggungjawab menjaga keselamatan awam telah melakukan ugutan jenayah terhadap orang awam. Bahkan difahamkan oleh peguam mangsa bahawa mangsa mengalami masalah trauma.

Di bawah Kanun Keseksaan Akta 503 Kesalahan Menakutkan Secara Jenayah menyatakan:

Barang siapa mengugut hendak mendatangkan kepada seseorang apa-apa bencana kepada tubuh, nama baik atau harta orang itu, atau kepada tubuh atau nama baik seseorang yang orang itu ada kepentingan, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada orang itu, atau hendak menyebabkan orang itu melakukan apa-apa perbuatan yang ia tidak terpaksa di sisi undang-undang melakukan, atau meninggalkan daripada melakukan apa-apa perbuatan yang ia berhak di sisi undang-undang melakukan, sebagai jalan bagi mengelakkan perlaksanaan ugutan itu, adalah melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah.  

Hukuman bagi siapa yang melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Suaram  mengambil pendirian bahawa perkara seperti ini adalah merupakan satu salah guna kuasa pihak polis dimana sebagai seorang tahanan Maisarah berhak untuk berdiam diri dan menjawab di mahkamah. Mengikut Kanun Prosedur Jenayah Seksyen 112 (2) saksi itu boleh menolak daripada menjawab jika jawapan itu akan menyebabkan ia dibabitkan pada sesuatu tuduhan jenayah atau penalti atau perlucuthakan.  

Salah guna kuasa polis ini bukan sekali terjadi tetapi sudah banyak kali. Dalam kes demonstrasi anti salib di Taman Medan pada 19 April 2015 yang lepas pihak polis telah bersikap “double standard” semasa pengendalian kes. Ini disebabkan oleh, layanan yang diberikan kepada mereka seperti mendapat keistimewaan berbanding pihak yang lain sebagai contoh penganjur demonstrasi aman Kita Lawan pada 28 Mac 2015.

Mereka ini telah ditahan dan direman selama beberapa hari berbanding penganjur demonstrasi anti salib yang hanya dipanggil untuk tidak sampai 4 jam sekalipun. Bukan bermakna Suaram meminta agar penganjur anti salib ditahan dan direman tetapi hendak menunjukkan bagaimana layanan yang diberikan oleh pihak polis berbeza sedangkan kedua-dua penganjur sepatutnya dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan (Perkara 10) yang sama berkaitan kebebasan berhimpun.

Kes-kes seperti ini membuktikan lagi betapa pihak polis seperti berada di atas undang-undang apabila mereka boleh melakukan mengikut kehendak mereka tanpa perlu mengikuti prosedur dan undang-undang yang telah ditetapkan secara konsisten.

Suaram menggesa agar pihak kerajaan melihat semula cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) oleh suruhanjaya diraja yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah pada tahun 2005. Ini adalah penting untuk menangani dan mengadili kes salah laku polis dengan lebih adil dan telus tanpa campur tangan pihak polis.