Polis Yang Melakukan Aksi Lucah Perlu Disiasat

Pada 28 Mei 2015, satu laporan polis telah dibuat oleh penduduk Kg. Gatco berkaitan aksi tidak senonoh yang dilakukan oleh Sarjan Mejar Abu Bakar Ibrahim di ladang getah kampung tersebut. Salah seorang penduduk yang berada di tempat kejadian mengesahkan kepada Suaram bahawa Sarjan Mejar Abu Bakar tersebut telah menyatakan dan melakukan perkara-perkara yang lucah kepada penduduk kampung.

Seperti sedia maklum bahawa kes berkaitan Gatco ini masih berada dalam proses perbicaraan yang akan bersambung di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 18 Ogos 2015 nanti. Setakat ini keputusan di peringkat mahkamah rayuan, hakim memutuskan bahawa penduduk Kg. Gatco berhak membawa kes ini ke mahkamah untuk tujuan perbicaraan penuh.  Walaubagaimanapun di ladang getah tersebut masih berlaku kerja-kerja mengeluarkan kayu getah yang sepatutnya diberhentikan sehingga keputusan perbicaraan selesai.

Apabila peguam penduduk Kg. Gotca bertanya kepada pihak pemaju, mereka menyatakan bahawa mereka langsung tidak tahu menahu berkaitan dengan kerja-kerja pengeluaran kayu di ladang tersebut. Manakala apabila ditanyakan kepada pihak polis yang berada di tempat kejadian mereka menyatakan bahawa hanya mengikut arahan atas sahaja.

Berdasarkan kejadian ini pihak Suaram mempunyai tiga tuntutan iaitu:

  1. Siasatan yang telus, adil dan serius mesti dilakukan terhadap Mejar Sarjan Abu Bakar Ibrahim berkaitan laporan yang telah dibuat ke atasnya.
  2. Segala kerja-kerja pemaju di ladang getah perlu diberhentikan serta merta dan hendaklah menghormati keputusan mahkamah sehingga selesai perbicaraan.
  3. Pihak polis perlu menyiasat adakah terdapat unsur-unsur salah guna kuasa atau rasuah berkaitan dengan jawapan yang diberikan oleh polis iaitu ini adalah arahan orang atasan.

Pihak polis sepatutnya melakukan siasatan dengan rapi sebelum melakukan sebarang respon kepada pihak media seperti kenyataan Jaafar Mohd Yusof iaitu Ketua Polis Negeri Sembilan yang menafikan tindakan Sarjan Mejar Abu Bakar seakan-akan terburu-buru. Ini adalah disebabkan, laporan baru sahaja dibuat sehari dan langsung tiada memanggil penduduk kampung untuk membuat sebarang penerangan.

Ini adalah sesuatu kes yang serius yang perlu diberikan perhatian oleh pihak polis. Isu melakukan gangguan seksual kepada orang awam adalah merupakan sesuatu perkara yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tetapi sekiranya benar-benar berlaku ianya perlu dibawa ke muka pengadilan untuk diadili.