SUARAM TUNTUT POLIS JELASKAN STATUS TERKINI KES PEMBUNUHAN KEJAM 16 TIKAMAN S NALLAN

Kes pembunuhan kejam seorang pemandu teksi sambilan, belum diselesaikan lagi semenjak November 2012. Suspek utama kes tersebut telah dibebaskan selepas ditahan sepanjang 12 hari sejak 7 Disember 2012 dan selepas itu tidak ada sesiapa yang dituduh atau didakwa ke mahkamah mengenai pembunuhan tersebut.

Kes pembunuhan tersebut berlaku pada 4 November 2012 yang melibatkan seorang pemandu teksi sambilan yang berumur 26 tahun iaitu Nallan a/l Selvaraja. Si mati ditemui mati dengan badannya ditikam sebanyak 16 kali, lehernya dikelar, mulutnya disumbat dengan kain dan sebahagian badannya dibakar. Dompet dan telefon bimbit si mati tidak ditemui oleh polis tetapi polis mengatakan bahawa kes tersebut bukannya kes samun dan bunuh tetapi pembunuhan dengan motif dendam.

Selepas kes pembunuhan tersebut hanya seorang suspek yang telah ditahan tetapi bagaimanapun suspek tersebut telah dibebaskan dengan jaminan polis selama sebulan sementara menunggu keputusan forensik dan DNA. Namun demikian, polis telah gagal atau enggan untuk memberi status keputusan forensik dan DNA dalam tempoh yang dijanjikan.

Selepas itu pihak keluarga telah melakukan laporan polis sebanyak tiga kali iaitu di IPD Dang Wangi pada 15 Februari 2013, IPD Sentul pada 20 Februari 2014 dan IPD Cheras pada 9 Ogos 2014 tetapi sehingga hari ini masih tiada sebarang maklumat lanjut daripada pihak polis. Lebih mendukacitakan, selama hampir tiga tahun ini, pihak polis langsung tidak pernah berusaha untuk memanggil ahli keluarga atau memberikan sebarang penerangan berkaitan perjalanan siasatan kes ini secara terperinci.

Sikap polis, terutamanya tingkah laku ASP Sabri Yenteng iaitu pegawai penyiasat daripada IPD Dang Wangi bagi kes ini telah menimbulkan kehairanan kepada ahli keluarga si mati. Mengapakah polis membebaskan suspek tersebut tanpa sebarang tidanakan susulan kerana pada sehari sebelum itu pihak polis telah memberitahu ahli keluarga si mati bahawa suspek yang ditahan tersebut memberi kenyataan-kenyataan yang tidak benar dan bercanggah semasa dia disoal siasat oleh pihak polis.

Ahli keluarga juga akhirnya diberitahu bahawa suspek telah memberi pengakuan bahawa dia yang melakukan kes pembunuhan tersebut. Namun begitu, suspek telah dibebaskan pada 18 Disember 2012 atas jaminan polis dan semenjak hari itu, pegawai siasatan tersebut tidak dapat lagi dihubungi oleh ahli keluarga si mati.

Pihak Suaram, peguam dan ahli keluarga si mati mengadakan sidang media pada hari ini bagi menuntut pihak polis mengemukakan apakah status terkini kes tersebut dan nyatakan siapakah individu yang bertanggungjawab terhadap kematian mangsa.

Sekiranya pihak polis gagal memberikan sebarang maklum balas yang memuaskan dalam tempoh 14 hari, ahli keluarga melalui peguam akan memfailkan permohonan inkues di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.