ZULFAKRY mati disiksa dalam tahanan? Perlu penyisatan bebas! SUARAM

SUARAM mendapat laporan bahawa terdapat satu lagi kes kematian dalam tahanan yang berlaku di Sandakan, Sabah. Mangsa bernama Zulfakry bin Ibrahim berumur 43 tahun telah dilaporkan mati pada 9 Jun 2015 (Selasa) yang lepas.  Kes ini merupakan kes kesembilan yang dicatatkan bagi tahun 2015. Zulhusaini bin Ibrahim yang merupakan adik mangsa telah menghubungi SUARAM dan menyatakan bahawa abangnya telah mati dalam tahanan di Pusat Tahanan Sementara Sandakan.

Zulfakry telah menjalani hukuman penjara sejak September 2012 kerana disabitkan kesalahan mencuri besi. Bagaimanapun, keluarga mangsa menyatakan bahawa ini adalah kes penganiayaan kerana menurut ahli keluarga, Zulfakry tidak melakukan perkara tersebut. Zulfakry telah dipenjarakan selama tiga tahun, bermula di Penjara Tawau selama hampir setahun sebelum dipindahkan ke Penjara Sandakan pada 8 Ogos 2013.

Selepas Zulfakry menghabiskan tempoh penjaranya pada 3 Jun 2015, isterinya Herny Karnita binti Karnain telah pergi ke Penjara Sandakan untuk mengiringi suaminya pulang tetapi diberitahu bahawa suaminya telah dipindahkan ke Pusat Tahanan Sementara Sandakan disebabkan dia tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan.

Isteri mangsa dengan segera pergi ke Pusat Tahanan Sementara Sandakan tersebut dengan membawa kad pengenalan Zulfakry. Apabila tiba di pusat tahanan, pegawai yang bertugas hanya membuat satu fotokopi kad pengenalan. Isterinya juga telah dimaklumkan Zulfakry ditahan sementara waktu untuk proses pengecaman identiti dalam tempoh satu minggu.

Pada 8 Jun 2015, isteri mangsa telah menghubungi Puan Salina iaitu pegawai yang bertugas di Pusat Tahanan Sementara Sandakan untuk bertanyakan bila suaminya akan dibenarkan keluar. Bagaimanapun, Puan Salina menyatakan suaminya akan menjalani satu proses pengecaman identiti pada hari tersebut dan akan dimaklumkan sejurus selesai.

SUARAM dimaklumkan gambar dalam kad pengenalan mangsa secara terang-terangan menunjukkan ianya adalah gambar mangsa. Mangsa juga merupakan seorang yang fasih berbahasa Melayu berdialek Negeri Sembilan.

Namun demikian, pada jam 9.00 pagi bertarikh 9 Jun 2015, si isteri sekali lagi menghubungi Puan Salina tetapi dia tiada di pejabat. Keesokannya, 10 Jun 2015 lebih kurang jam 9.00 pagi, ketika isteri menghubungi pusat tahanan, beliau dimaklumkan bahawa Puan Salina sedang diambil kenyataan oleh pihak polis di Balai Polis Sandakan kerana ada terdapat tahanan yang mati dalam tahanan.

Sekitar jam 10 pagi, pada hari yang sama, isteri mangsa telah dihubungi oleh Puan Salina dan beliau telah dimaklumkan bahawa suaminya bernama Zulfakry bin Ibrahim telah meninggal dunia akibat jatuh dan tidak sedarkan diri di pusat tahanan. Manakala, berdasarkan bedah siasat yang dijalankan oleh pihak Dr. Chai Kean Chung dari Hospital Sandakan pula telah menyatakan bahawa mangsa mati disebabkan oleh jantung yang tersumbat.

Walau bagaimanapun, ahli keluarga mangsa berasa tidak berpuas hati dengan keputusan bedah siasatan tersebut kerana terdapat kesan-kesan lebam di badan mangsa seperti di bahagian tangan, bahu, telinga, tengkuk dan leher. Manakala, hidungnya telah patah tetapi tidak dijelaskan puncanya dalam laporan bedah siasat tersebut mahupun sebarang penjelasan daripada pihak pusat tahanan.

SUARAM mengutuk tindakan pihak Penjara Sandakan yang tidak melakukan proses dokumentasi untuk pihak mangsa dengan lebih awal semasa sesi hukuman dijalankan. Bahkan, tindakan menghantar mangsa ke Pusat Tahanan Sementara Sandakan telah menyebabkan si mangsa mati dalam tahanan. Ini menunjukkan ketidakprofesionalan sistem penjara dengan banyak kelemahan sehingga menyebabkan kematian dalam tahanan berlaku.

Pihak SUARAM menggesa pihak polis untuk melakukan siasatan dengan telus dan saksama berkaitan kes ini. SUARAM juga menggesa agar pihak polis melakukan siasatan dengan kadar yang segera terhadap pegawai yang bertugas di Pusat Tahanan Sementara Sandakan semasa tempoh penahanan mangsa. Ini disebabkan, kami percaya bahawa terdapat unsur-unsur menjurus kepada penyeksaan yang mungkin menyebabkan Zulfakry mati dalam tahanan akibat penyiksaan tersebut.