Fokus kepada kemerosotan kebebasan di Malaysia di Sesi ke-29 Majlis Hak Asasi Manusia

Geneva, 18 Jun 2015: Pembela-pembela dan aktivis-aktivis hak asasi manusia Malaysia telah menghadiri sesi ke-29 Majlis Hak Asasi PBBminggu ini untuk satu siri mesyuarat-mesyuarat sokongan yang member focus kepada rekod hak asasi manusia Malaysia yangmerosot dan tindakan keras terhadap kebebasan awam. Organisasi hak asasi manusia serantau, Forum Asia, telah menganjurkan satu acara sampingan berkaitan Malaysia pada 15 Jun di ibu pejabat PBB. Bertajuk “Malaysia – Kebebasan Dinafikan”, ia menekankan tindakan keras secara berterusan oleh pemerintah terhadap kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun serta berpersatuan dengan menggunakan undang-undang regresif seperti Akta Hasutan dan Akta Perhimpunan Awam. Adam Adli, seorang aktivis pelajar, yang menghadapi hukuman penjara satu tahun di bawah Akta Hasutan; Nurul Nuha Anwar, anak perempuan Anwar Ibrahim dan Penyelaras Utama Kempen Freedom 2 March; serta Wong Kar Fai, jurucakap mewakili Empower Malaysia menyertai forum tersebut sebagai ahli panel.

Adam Adli dan Nurul Nuha Anwar menyampaikan testimoni-testimoni peribadi dan pengalaman mereka menghadapi tindakan keras terhadap kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun serta berpersatuan di Malaysia. Adam, kini bebas dengan jaminan, akan merayu terhadap hukuman penjaranya di bawah Akta Hasutan pada 25 Jun 2015. Adam telah menerima hukuman yang paling keras di dalam tangkapan besar-besaran di bawah Akta Hasutan yang berterusan. Adam ditangkap oleh kerana ucapannya selepas PRU13 di mana dia didakwa  menggesa rakyat Malaysia untuk turun ke jalanraya untuk membantah keputusan pilihan raya yang dianggap tidak sah oleh orang ramai. Pihak pendakwa kini merayu untuk hukuman yang lebih keras terhadap Adam Adli.

Adam mengaitkan peningkatan angka dakwaan dan tangkapan ke atas rakyat Malaysia dengan aras kesedaran dan keberanian rakyat yang meningkat, “Bukan orang ramai yang diancam, tetapi kerajaan yang berasa tergugat. Walaubagaimanapun, semakin hari, semakin ramai yang berani membantah dan mengkritik kerajaan.” Nurul Nuha turut menyampaikan testimoni tentang hukuman penjara bapanya melalui Skype, dan menghubungkan pemenjaraan Anwar Ibrahim dengan isu penggunaan Akta Hasutan dengan lebih kerap terhadap mereka yang dilihat sebagai kritikal terhadap kerajaan. Dia juga mengesahkan keperluan untuk pendapat-pendapat yang lebih kritis di Malaysia, “Kami mempunyai hak untuk berhimpun untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dengan undang-undang yang tidak adil dan ini adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang penting. Kita sepatutnya menerima kepelbagaian pendapat sebagai sebahagian dari proses pembangunan Malaysia yang lebih baik.”

Sementara itu, Wong Kar Fai bercakap tentang konteks yang lebih luas dalam penggunaan undang-undang regresif tersebut di Malaysia dan implikasi pindaan-pindaan terbaru kepada undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan, dan Akta Pencegahan Jenayah, serta pengenalan undang-undang regresif baru seperti Akta Pencegahan Keganasan. Aktivis-aktivis tersebut juga berada di Geneva untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat bersama beberapa pegawai dari pelbagai bahagian dan juga Wakil-wakil Khas PBB, untuk memberikan perkembangan terkini keadaan hak asasi manusia di Malaysia.

Tambahan kepada acara sampingan mengenai Malaysia, Adam Adli dan Bala Chelliah, penyelaras utama SUARAM Antarabangsa di Geneva, turut menghadiri dialog interaktif anjuran Wakil-wakil Khas PBB berkenaan Kebebasan Bersuara dan Kebebasan Berhimpun serta Berpersatuan pada 17 dan 18 Jun 2015. Adam telah menyampaikan pernyataan lisan bagi pihak Forum Asia pada 18 Jun, tentang peningkatan pengawasan digital oleh kerajaan di Asia, “Kita memerhatikan dengan bimbang risiko yang dihadapi oleh pembela hak asasi manusia di Asia, termasuk pengugutan, gangguan, dan penjenayahan akibat daripada pengawasan digital yang digunakan oleh kerajaan-kerajaan di rantau ini. Oleh itu, kita menekankan pentingnya keselamatan dalam talian untuk kerja-kerja pembela hak asasi manusia, dan menyeru Pelapor Khas untuk bekerja rapat dengan Pelapor Khas berkaitan dengan keadaan pembela hak asasi manusia dalam hal ini.” Terlebih dahulu semasa kata-kata pembukaan beliau, David Kaye, Wakil Khas PBB untuk penggalakan dan perlindungan hak untuk kebebasan bersuara dan berpendapat, telah menyimpulkan, selepas kajiannya tentang keselamatan digital, bahawa penyulitan dan anonimiti adalah perlu untuk hak kebebasan bersuara dan pendapat di dunia digital semasa.

Semasa dialog interaktif, Bala Chelliah telah menyampaikan satu kenyataan lisan bersama daripada SUARAM dan Aliran. Dia berbicara tentang tanggungjawab Malaysia untuk menegakkan kebebasan awam, dia berkata, “Trend keseluruhan seolah-olah adalah untuk menggunakan undang-undang ini yang regresif untuk mengugut sesiapa sahaja yang mengkritik pihak berkuasa untuk menyekat hak-hak mereka terhadap Kebebasan Bersuara dan Kebebasan Berhimpun serta Berpersatuan. Malaysia telah baru-baru ini dipilih sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB dan mereka juga kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Asean; oleh itu, mereka patut memperjuangkan hak ini dan bukan menindasnya.” Maina Kiai, Wakil Khas PBB untuk hak kebebasan perhimpunan aman serta berpersatuan, telah berkata semasa kata-kata pembukaan beliau bahawa perkembangan dalam kawasan ini sejak laporan terakhirnya kepada Majlis tidak memuaskan. Beliau juga berkata bahawa pihak berkuasa semakin bertindak keras terhadap bantahan secara aman dan menyekat kritikan dengan kekerasan yang terlampau.

Dokumentasi oleh SUARAM Malaysia menunjukkan peningkatan penggunaan Akta Hasutan. SUARAM telah memerhatikan bahawa jumlah penangkapan dibawah Akta Hasutan telah meningkat dengan drastik dalam 3 tahun yang lalu. Pada tahun 2012, seramai 7 orang ditangkap dibawah Akta Hasutan tetapi ia meningkat kepada 18 tangkapan pada 2013 dan seterusnya melompat ke 44 tangkapan pada 2014. Pada tahun 2015, lagi ramai ditangkap dimana rekod setakat Mei 2015 adalah 37 tangkapan. Mereka yang ditangkap termasuk aktivis masyarakat, ahli politik pembangkang, pemimpin pelajar, pensyarah, kartunis, peguam dan juga pengguna media sosial.

SUARAM MALAYSIA adalah sebuah NGO hak asasi manusia yang berasas di Malaysia.

SUARAM Antarabangsa adalah organisasi rakan kongsi SUARAM MALAYSIA.