[GHAH]: Insiden Plaza Low Yat : Akta Hasutan 1948 Bukan Jalannya

Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) memandang kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menyatakan di dalam akaun facebook rasmi beliau, bahawa Akta Hasutan 1948 akan digunakan terhadap mana-mana kenyataan yang mengganggu keharmonian berhubung rusuhan yang berlaku di Plaza Low Yat, sebagai satu tindakan yang tidak demokratik dan tidak membantu. Sebaliknya ianya merupakan satu alasan untuk mengekang kebebasan media sosial.

Jelas peristiwa di Low Yat adalah satu insiden kecurian yang mengakibatkan pergaduhan antara dua kumpulan. Kini sesetengah pihak telah mengambil kesempatan di atas isu ini untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan menyebarkan berita palsu.

Oleh itu tindakan undang-undang yang tegas harus di ambil terhadap individu-individu yang terlibat, bukannya secara melulu menghalang penggunaan media sosial.

Adalah amat membimbangkan insiden Low Yat dipergunakan bagi menyekat kebebasan bersuara yang tulen memandangkan jauh lebih banyak isu sedang disuarakan oleh rakyat kini melibatkan pihak berkuasa.

GHAH turut melahirkan kekecewaan terhadap insiden yang berlaku di Plaza Low Yat, yang membawa kepada rusuhan yang mengakibatkan kecederaan, namun secara tegas menolak penggunaan Akta Hasutan, kononnya bagi menjaga keharmonian.

Akta Hasutan 1948 adalah akta zalim tinggalan penjajah, yang digunakan bagi tujuan menekan rakyat. Ianya adalah akta yang regresif, melanggar aturan undang-undang, mencabuli sistem demokrasi, menyekat kebebasan bersuara dan melanggar hak asasi manusia.

Pihak polis boleh sahaja menggunakan peruntukan lain seperti Kanun Keseksaan bagi menjamin keharmonian.

Kami dengan ini sekali lagi bertegas, mengecam penggunaan Akta Hasutan dalam insiden ini serta mengulangi tuntutan kami agar Dato’ Seri Najib menunaikan janji yang dibuat pada tanggal 11 Julai 2012 tersebut untuk memansuhkan akta drakonian ini. Kami menuntut agar pihak kerajaan Malaysia :-

1)         Memansuhkan Akta Hasutan 1948

2)         Menggugurkan semua pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 dan bebaskan semua tahanan

3)         Tiada akta gantian lain dengan peruntukan yang sama zalim

 

Di sediakan oleh,

Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH)

 

 

 

For inquiry, please contact:

Mr. Amir Abd Hadi, coordinator of GHAH  at +60 12 3744647 or [email protected]

Ms. Michelle Yesudus, lawyer of Lawyers for Liberty at +60 12 259 9237 or [email protected]

Ms. Serene Lim, Program Coordinator of Suaram at +6012 547 7989 or [email protected]

GHAH is a movement supported by 133 civil societies in Malaysia spearheaded by SUARAM, Lawyers for Liberty, IKRAM, among others. The objective of GHAH is to carry out a national campaign to bring to an end to the ever present threat against freedom of expression and opinion by the Sedition Act 1948 that hangs over every Malaysian.