[GHAH] KEGILAAN AKTA HASUTAN KINI KEMBALI BERMULA

Selepas mahkamah memutuskan Akta Hasutan 1948 adalah berperlembagaan, walaupun ia tidak digubal di parlimen, dan walaupun ia digubal sebelum negara kita mencapai kemerdekaan dan digubal oleh penjajah British, kini kegilaan Akta Hasutan 1948 kembali bermula. Khalid Ismath kini disiasat dan direman selama empat hari di bawah Akta Hasutan 1948. Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) melahirkan kekecewaan di atas perkara ini.

Khalid yang ditahan dipejabatnya pada 7 Oktober lalu, kerana dikatakan menghina Sultan didalam kenyataan beliau di laman sosial, tidak sepatutnya disiasat di bawah Akta Hasutan. Beliau dikatakan ditahan kerana satu kenyataan di laman Twitter pada 6 Oktober yang menyebut “Jangan kita lupa, ada 2 orang yang sedang ditahan dipenjara sebelum dibuktikan bersalah. 1) Kamal Hisham 2) Khairuddin – mereka berdua melawan berhala”. Kenyataan itu sendiri tidak lah berbaur hasutan.

GHAH mendesak agar Khalid Ismath dibebaskan segera. Reman yang dibuat bermula 7 Oktober selama 2 hari dan kemudian lanjutan 4 hari lagi adalah tidak wajar jika tujuannya hanya kerana ingin menyiasat satu kenyataan di media sosial. Pihak Polis tidak seharusnya menghabiskan masa menyiasat perkara remeh ini sedang jenayah meningkat saban hari yang memerlukan lebih banyak tumpuan.

GHAH secara tegas mendesak agar pihak kerajaan berhenti menggunakan akta drakonian ini serta menuntut Dato’ Seri Najib menunaikan janji yang dibuat pada tahun 2012 untuk memansuhkan akta zalim ini bagi menjaga diversiti dan menghormati kebebasan bersuara dan memberi pendapat.
GHAH juga sekali lagi mengulangi tuntutan yang dibuat iaitu:

1. Mansuhkan Akta Hasutan 1948
2. Gugurkan semua pertuduhan dibawah Akta Hasutan 1948 dan bebaskan semua tahanan
3. Tiada akta gantian lain dengan peruntukan yang sama zalim

Disediakan oleh,
Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH)