SERAHAN MEMORANDUM MENUNTUT KEADILAN BAGI KEMATIAN DALAM TAHANAN SYED MOHAMED AZLAN

Setahun yang lepas, SUARAM telah mengeluarkan kenyataan media menggesa pihak polis yang terlibat dalam kematian dalam tahanan Syed Mohamed Azlan agar dibawa ke muka pengadilan.

Jika merujuk kepada artikel MalaysiaKini yang bertajuk “Polis: Kematian Tahanan Mati Mengejut” yang menyatakan bahawa Syed Mohamed Azlan mati secara mengejut adalah satu penipuan besar kepada rakyat Malaysia. Bagaimana mungkin si mati mati secara mengejut apabila pada tubuh badan si mati terdapat 61 kesan kecederaan termasuk luka, lebam dan calar pada tubuh mangsa termasuk muka, badan dan kedua-dua belah kaki.

Setahun yang lepas juga, Ketua Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan membuat penipuan apabila menyatakan bahawa terdapat pergelutan berlaku antara si mati dengan pihak polis semasa tangkapan dilakukan. Bagaimanapun di dalam laporan EAIC, hasil keterangan saksi langsung tidak dinyatakan sebarang pergelutan berlaku.

Sebaliknya, semasa penangkapan berlaku salah seorang saksi yang dikenali sebagai A29 (rujuk laporan EAIC), yang ketika itu berada serumah dengan mangsa, telah diarahkan oleh pihak polis untuk membasuh lantai bilik tempat kejadian. A29 juga telah diarahkan oleh pihak polis supaya menyembunyikan diri selepas kejadian kematian si mati.

Merujuk kepada kenyataan Datuk Hasnan Hassan juga, suspek dikatakan secara tiba-tiba mengalami sesak nafas dan dibawa ke Klinik Kesihatan Bandar Penawar. Sedangkan berdasarkan laporan yang dikemukakan oleh EAIC semasa si mati dalam perjalanan ke IPD Kota Tinggi dari Balai Polis Sungai Rengit, anggota polis yang mengiringi si mati mendapati si mati berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya serta tidak memberi sebarang respon apabila dipanggil.

Seterusnya, Datuk Hasnan cuba untuk mengelirukan laporan bedah siasat dengan memberi kenyataan bahawa bedah siasat dilakukan di Hospital Sultan Ismail tetapi pada yang sama menyatakan kes ini disiasat di bawah laporan mati mengejut tanpa memaklumkan keputusan laporan bedah siasat.

Si mati mati 3 November 2014, manakala kenyataan beliau pada 25 November 2014, sepatutnya dalam tempoh tersebut beliau telahpun mengetahui bahawa si mati mati kerana dipukul pihak polis dan bukannya secara mengejut tetapi beliau tidak mahu mendedahkan perkara yang sebenar.

Tindakan ini menunjukkan pihak polis cuba untuk menutup kesalahan yang telah mereka lakukan. Disebabkan mereka mempunyai kuasa untuk menahan dan membuat siasatan kes kematian dalam tahanan seperti ini, kebarangkalian untuk penipuan atau pemalsuan bukti itu adalah tinggi. Khususnya atas sebab untuk menjaga nama baik institusi polis.

SUARAM menggesa agar pihak polis membuat pembahbaikan seperti mana yang dicadangkan oleh EAIC. Antara yang paling penting adalah jika berlaku kecederaan fizikal pada suspek semasa penangkapan berlaku, maka suspek perlulah dirujuk atau dihantarkan ke Pegawai Perubatan Kerajaan bagi memastikan tahap keseriusan kecederaan serta status kesihatan suspek tersebut.

Dalam kes kematian ke-10 tahun ini iaitu seorang warga Nigeria bernama Ikechukwu Bright Ogundu yang mati pada 23 September 2015 di Balai Polis Mutiara Damansara yang dikatakan telah melakukan serangan kepada seorang wanita di salah satu lif di Apartment Flora Damansara. Dia telah ditahan dan dipukul oleh 20 hingga 30 orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Pegawai polis yang menahan si mati terus membawanya ke balai polis tanpa mendapatkan sebarang rawatan walaupun memang diakui terdapat kecederaan di belah kanan kepala dan calar kaki dan tangan si mati kerana dipukul oleh orang awam. Tidak sampai sejam tiba di Balai Polis Mutiara Damansara si mati tiba-tiba jatuh dan mati.

SUARAM juga melihat saranan EAIC untuk memasukkan peruntukkan anggapan yang akan meletakkan beban bukti ke atas pihak yang mempunyai jagaan dan kawalan ke atas orang tahanan sebagai bertanggungan ke atas kecederaan atau kematian orang tahanan sehingga diakaskan atau dibuktikan sebaliknya sebagai satu cadangan yang praktikal. Ia akan memaksa pihak polis untuk melakukan siasatan agar pihak polis yang terbabit dibawa ke muka pengadilan.

SUARAM menggesa pihak polis untuk membawa pegawai polis yang terlibat ke mahkamah untuk diadili agar pihak yang bertanggungjawab atas kematian ini tidak dibiarkan bebas sewenang-wenangnya. SUARAM akan menghantar memorandum kepada pihak Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada esok hari iaitu 4 November 2015 (Rabu) jam 11.00 am.

SUARAM menyeru agar rakyat Malaysia hadir menyatakan sokongan bagi memastikan pihak polis segera mengambil tindakan dan jangan cuba untuk menyembunyikan pegawai yang melakukan kesalahan.