Penderaan dan Kekerasan oleh Pihak Berkuasa Perlu Disiasat dan Dihentikan dengan Segera

Photo courtesy of Malaysian Insider
Photo courtesy of The Malaysian Insider

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mengecam sebarang tindakan kekerasan terhadap individu terutama sekali yang melibatkan salah guna kuasa oleh pihak berkuasa dalam menjalankan tugas, di mana hal yang demikian adalah bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

Pihak SUARAM telah mendapat maklumat daripada sebahagian tahanan SOSMA melalui peguam dan ahli keluarga berkenaan penderaan fizikal dan mental oleh pihak berkuasa terhadap tahanan-tahanan yang mana penderaan tersebut dilakukan dalam tempoh siasatan selama 28 hari menurut s. 4(5) SOSMA 2012. Selain itu, ada di kalangan ahli keluarga tahanan-tahanan tersebut diganggu oleh pihak polis dan diugut untuk memberi keterangan. Hal yang demikian amat membimbangkan dan mengejutkan, di mana ia tidak jauh bezanya dengan apa yang pernah dilakukan terhadap tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) sewaktu dalam siasatan polis. Perbuatan tersebut adalah jelas suatu penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis dan setakat ini tiada sebarang tindakan diambil terhadap pelaku-pelaku tersebut.

Tidak dinafikan bahawa ancaman terrorisme semakin menular pada masa kini dan perlu ditangani demi keselamatan negara. Walau bagaimanapun, setiap individu, termasuk saspek-saspek dan/atau tertuduh-tertuduh dalam kesalahan keselamatan turut mempunyai hak untuk tidak di didera secara fizikal mahupun emosi dalam proses undang-undang. Penderaan yang dilakukan terhadap mereka ketika di dalam siasatan seolah-oleh ‘menghukum mereka’ atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan. Ini adalah bertentangan dengan prinsip undang-undang di mana setiap orang adalah dianggap tidak bersalah melainkan dibuktikan sebaliknya.

Memandangkan isu ini amat serius kerana ia melibatkan penganiayaan terhadap individu dan integriti pihak berkuasa yang memainkan peranan yang besar dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia, SUARAM menuntut agar pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) segera menyiasat penderaan oleh pihak berkuasa terhadap tahanan-tahanan tersebut.

SUARAM juga menuntut supaya kerajaan Malaysia menubuhkan suatu Suruhanjaya Penyiasatan Diraja berkenaan tindakan penderaan tersebut dan seterusnya mengeluarkan suatu kenyataan yang jelas dan tegas mengecam sebarang bentuk penderaan oleh pihak berkuasa.

Di samping itu, SUARAM percaya bahawa penggunaan penyeksaan hanya boleh berlaku jika tiada pengawasan kehakiman dan prosedur siasatan yang telus. Bagi menghentikan penggunaan penyeksaan, undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 (DDA) yang memberikan ruang untuk penyeksaan berlaku mesti dimansuhkan.

Akhir sekali, SUARAM menuntut supaya Kerajaan Malaysia menandatangani KonvensyenBangsa-bangsa Bersatu Menolak Penderaan dan Tindakan serta Hukuman yang Kejam, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Martabat (UNCAT) demi membuktikan bahawa kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf sebarang tindakan kekerasan yang bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.