Universiti Harus Rai Mahasiswa yang Kritikal, Bukan Mengintimidasi Mereka

UNTUK HEBAHAN SEGERA
19 Oktober 2016

Universiti Harus Rai Mahasiswa yang Kritikal, Bukan Mengintimidasi Mereka

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) difahamkan pihak Universiti Malaya telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada empat orang mahasiswa yang terlibat dengan perhimpunan #TangkapMO1 pada bulan Ogos yang lalu. SUARAM melahirkan kekecewaan di atas perkara ini. Hak untuk berhimpun secara aman adalah merupakan hak fundamental kepada seluruh rakyat Malaysia selaras dengan semangat yang terdapat di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Hak ini juga dijamin di dalam Artikel 20 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Surat tersebut yang diserahkan kepada Anis Syafiqah, Luqman Hakim, Luqman Nulhakim dan Suhail Wan Azahar, menyatakan tindakan mereka menyertai perhimpunan tersebut sebagai ‘merosakkan atau memudaratkan kepentingan, kesejahteraan dan nama baik Universiti’.

Sekatan-sekatan sebegini hanya akan merencatkan daya fikir mahasiswa yang seharusnya diberikan seluas-luasnya ruang untuk berfikir, dan mengekspresikan pendapat mereka. Pihak universiti seharusnya berbangga kerana memiliki mahasiswa yang kritikal, dan peduli dengan isu semasa Negara. Isu korupsi dan salah guna kuasa adalah penyakit yang semakin membarah di dalam Negara ini yang telah secara jelas merosakkan ekonomi dan urus tadbir Negara.

Tindakan Universiti ini seolah-olah merupakan cubaan untuk menakutkan mahasiswa dari terus bersuara dan menyatakan pendapat, serta dilihat sebagai satu penghinaan terhadap daya fikir mahasiswa. Pihak Universiti harus berhenti melayan mahasiswa seperti pelajar tadika, dan berhenti dari me’robot’kan mahasiswa. Universiti bukan hanya tempat untuk melahirkan ‘tenaga kerja’, tetapi juga tempat lahir bakal pemimpin masa hadapan Negara.

SUARAM memberikan sokongan penuh kepada keempat-empat mahasiswa ini, dan berharap akan ada lebih ramai lagi mahasiswa yang tampil kehadapan. Selagi mana ia tidak melibatkan kecederaan fizikal, atau kerosakan harta benda awam, selagi itu ruang harus diberikan kepada mereka untuk terus bersuara. Kebebasan akademik juga dijamin melalui Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Sebagai tanda solidariti, SUARAM bersedia untuk memberikan khidmat bantuan guaman kepada keempat-empat mereka, sekiranya perkara ini dibawa ke mahkamah kelak.

Salut buat mahasiswa!

Dalam Solidariti,
Sevan Doraisamy
Pengarah Eksekutif
SUARAM