Pelancaran Laporan Overview Hak Asasi 2016 SUARAM

Untuk Hebahan Segara
8 Disember 2016

Pelancaran Laporan Overview Hak Asasi 2016 SUARAM

Bersempena dengan Hari Hak Asasi Manusia, SUARAM melancarkan Laporan Hak Asasi Manusia (Human Right Overview Report) bagi tahun ini pada 8 Disember 2016.

2016 adalah tahun yang muram bagi Malaysia. Rakyat Malaysia telah menyaksikan  ketidakprihatinan dan ketidakadilan di mana Kerajaan Malaysia secara terbuka telah melanggar dan mengabaikan hak asasi manusia. Dalam laporan keseluruhan pada tahun 2016, SUARAM mengenengahkan enam isu penting di dalam semua pencabulan hak asasi yang terdapat di Malaysia.

Pertama, undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara yang boleh digunakan oleh kerajaan. Penggunaan SOSMA, POCA, POTA dan DDA sangat kerap digunakan dalam siri tangkapan berkelompok oleh Polis Diraja Malaysia. Di atas nama pencegahan keganasan dan jenayah, ramai mangsa telah ditahan untuk tempoh yang panjang di bawah tahanan reman dan terdapat laporan tentang penyiksaan semasa penahanan mereka. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah berkata behawa beliau tidak menyesali undang-undang keselamatan yang telah diluluskan walaupun terdapat kesan buruk yang dihadapi oleh tahanan di bawah undang-undang ini.

Kedua, kerajaan kini cuba menekan kebebasan bersuara dengan menggunakan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA)  selain daripada Akta Hasutan 1948. Sedang Akta Hasutan digunakan keatas kumpulan pembangkang dan aktivis hak asasi manusia,  CMA digunakan keatas orang ramai bagi mendiamkan sebarang komentar yang dibuat atas talian (online) yang mana pihak berkuasa merasakan terdapat unsur ‘menghina’ atau ‘meghasut’.

Yang ketiga, berkaitan dengan salah guna kuasa oleh pihak Polis Diraja Malaysia, walaupun jumlah kematian di dalam tahanan yang dilaporkan menurun, namun terdapat peningkatan mendadak kes tembakan oleh pihak polis yang melibatkan kehilangan nyawa, dimana terdapat unsur yang mencurigakan oleh keluarga mangsa.

Status kebebasan beragama di Malaysia menjadi topik yang sensasi semula pada tahun 2016. Setelah sekian lama, bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah dalam pertukaran agama sebelah pihak pasangan yang sudah berkahwin masih lagi menjadi konflik yang belum selesai. Pada May 2016, Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan di dalam kes anak M. Indhira Ghandi bahawa kes yang melibatkan penukaran agama sebelah pihak boleh dicabar. Berikutan keputusan ini, Muslim yang tidak mengamalkan agamanya boleh menggunakan hak mereka bagi menukar semula agama kepada agama asal mereka.

Akhir sekali, diskriminasi gender masih lagi berleluasa pada tahun 2016 dengan kenyataan berunsur seksis dilakukan oleh ahli politik dengan sewenang-wenangnya. Pengurangan pampasan  yang diberikan kepada Noor Fadilla oleh mahkamah merupakan satu kekecewaan kepada aktivis hak asasi. Komuniti LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) juga menghadapi diskriminasi apabila secara terbuka diumumkan bahawa mereka tidak akan diambil jika didapati salah seorang daripada komuniti LGBT.

SUARAM menyeru agar Kerajaan Malaysia supaya menghentikan pencabulan hak asasi dan mengambil pakai undang-undang yang mematuhi standard hak asasi manusia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan mengamalkan penguatkuasaan undang-undang  yang inklusif dan saksama untuk melindungi hak-hak rakyat Malaysia. Mengambil kira ancaman keselamatan yang semakin meningkat oleh kumpulan ekstrimis, SUARAM menggesa Kerajaan Malaysia supaya memahami bahawa hak asasi dan hal keselamatan bukan merupakan perkara yang berbeza, namun merupakan sesuatu yang saling melengkapi antara satu sama lain. Tanpa hak asasi manusia dan kebebasan umum, segala usaha untuk menyahkan ancaman daripada mana-mana kumpulan pengganas akan hanya menemui jalan buntu.

Dalam Solidariti,
Sevan Doraisamy
Pengarah Eksekutif
SUARAM