Salah Guna Kuasa Polis : Penangkapan Berantai (tukar gari) dan Penyiksaan Dalam Tahanan Tanpa Bicara Selama 27 Hari.

Polis semalam (13 Jun 2017) telah menahan Thuraisinggham A/L Loganathan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) selepas ditangkap secara berulang sebanyak tujuh kali selama 26 hari. Beliau telah ditahan secara berturut-turut di IPD Petaling Jaya, Shah Alam, Gombak, Sungai Buloh, Brickfield dan Dang Wangi. Selain penangkapan sewenang-wenangnya yang bercanggah dengan hak asasi manusia, beliau juga memaklumkan keluarga bahawa penyiksaan turut berlaku ke atas beliau, di mana beliau melaporkan bahawa dia telah dipukul oleh orang tahanan lain dibawah arahan pihak polis dan dipaksa mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dikemukkan terhadap beliau.  Sepanjang masa tahanan beliau, keluarga beliau juga tidak diberikan sebarang maklumat kepada keluarga tentang penyiasatan dan penangkapan mangsa dan membiarkan mereka bingung dan risau dengan keadaan beliau.

Dari 25 Mei 2017 hingga hari ini, empat daripada tujuh reman yang diminta oleh pihak polis telah ditolak, namun penangkapan berantai masih lagi dilakukan berkali-kali. Ini merupakan satu pencabulan hak dan undang-undang di bawah Kanun Prosedur Jenayah  ( AKTA 593 ). Selain dari itu, penyiksaan fizikal dan mental terhadap tahanan yang di reman selama hampir sebulan tanpa bicara menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab pihak polis dalam mengendalikan kes. Selepas kejadian kematian dan siksaan yang berlaku ke atas P. Balamurugan baru-baru ini, jelas kerajaan tidak mengambil iktibar. Ternyata siksaan masih lagi berlaku terhadap rakyat malaysia semasa di dalam tahanan

Thuraisinggham kini ditahan di bawah POCA dan masuk hari pertama beliau dalam tahanan POCA. Sampai sekarang, keluarga masih lagi belum dibenarkan berjumpa dengan beliau. Keluarga bagi pihak Thuraisinggham telahpun melakukan laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan laporan polis ke atas siksaan dan penangkapan berantai yang dilakukan pihak polis.

SUARAM mengecam tindakan pihak polis yang jelas mencabuli hak asasi manusia dan menyalahi prosedur undang-undang yang tertakhluk dalam Kanun Prosedur Jenayah. SUARAM sekeras-kerasnya mengutuk sebarang penyiksaan dan penganiayaan ke atas tahanan dan menyeru agar Thuraisinggham dan tahanan lain dibebaskan dari tahanan POCA dan diberikan peluang untuk dibacarakan dalam mahkamah secara adil.

Sevan Doraisamy
Pengarah Eksekutif
Suara Rakyat Malaysia