KEKEBALAN POLIS PUNCA KEMATIAN DALAM TAHANAN BERTERUSAN

1. IGP harus Gantung Pegawai Penyiasat kes dan Ketua Balai Klang Utara

Pada 18 Disember 2017 jam 2.40 petang, G. Ganeshwaran yang berumur 29 tahun telah didapati meninggal dunia di dalam perjalanan ke Hospital Ampuan Rahimah, Kuala Lumpur. Mangsa telah ditahan pada 14 Disember (Khamis) lalu selepas selesai sebutan bagi kes dia yang lampau di luar mahkamah oleh anggota dari IPD Klang Utara. Ganeshwaran kemudian dibawa untuk tahanan reman pada 15 Disember, dan diberikan reman selama tujuh hari sehingga 21 Disember 2017. Pada pertemuan di mahkamah pada Jumaat lalu, Ganeshan telah mengadu kepada ibunya yang dia telah dipukul semasa berada di dalam tahanan. Perkara sama telah diberitahu kepada ibunya pada hari isnin lalu, dimana dia telah ditendang di tekak sehingga Ganesh tidak mampu untuk makan selama dua (2) hari. Ibunya juga menceritakan bahawa terdapat darah pada mulut Ganesh dan dia hampir pengsan semasa berbual sehingga Ganesh terpaksa dikejarkan ke hospital, di mana dia meninggal sebelum sempat tiba di hospital.

SUARAM ingin menyarankan kerajaan mengambil amalan terbaik yang digunakan di luar negara terutamatamanya di United Kingdom untuk menyiasat kematian dalam kes ini, di mana siasatan dijalankan bagi mengetahui kesemua kemungkinan tentang punca kematian oleh Suruhanjaya Bebas Salahlaku Polis (IPCC) yang membawa kepada pengenalpastian dan hukuman kepada pihak bertanggungjawab terhadap kematian seperti di dalam kes pembunuhan. Siasatan perlu dijalankan oleh pegawai berpengalaman yang tiada kaitan dengan sesiapa yang mungkin disyaki sebagi suspek di dalam kes ini dan ia harus diselesaikan secepat yang munasabah. Badan penyiasatan juga harus berhubung dengan keluarga mangsa untuk menjelaskan peranan mereka di dalam penyiasatan melalui mesyuarat dan maklumbalas berterusan, agar keluarga sentiasa tercerah dengan proses siasatan.

Ianya munasabah bagi IGP untuk menggantung Pegawai Penyiasat bagi kes Ganeshwaran dan Ketua Balai Klang Utara daripada tugas sehingga siasatan ke atas kematian ini selesai dijalankan, kerana mereka adalah individu yang bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesihatan tahanan terjaga. Ketua Polis Negara tidak boleh lagi hanya berdiam diri dengan kes kematian dalam tahanan yang berlaku saban tahun. Sebagai ketua polis yang baru dilantik beliau sepatutnya memastikan prestasi pihak polis meningkat, namun jumlah kematian yang semakin bertambah pada tahun ini menunjukkan perkara sebaliknya. Ketua Polis Negara harus memastikan mereka mencapai sifar kematian pada tahun hadapan.

2. Ketua Polis Selangor tidak boleh terus berdiam diri dan harus bertanggungjawab negeri kematian terbanyak pada tahun 2017

Kematian Ganeshwaran merupakan kes kematian kedua tahun ini yang melibatkan IPD Klang Utara, pada 8 Febuari lalu, P. Balamurugan telah ditemui meninggal dunia semasa di dalam tahanan IPD Klang Utara. Balamurugan juga dilaporkan dipukul dengan teruk sehingga akhirnya dia meninggal dunia. Kematian kedua di tempat yang sama berturut-turut membuktikan tiada tindakan daripada pihak polis dan kerajaan yang benar-benar serius untuk menyelesaikan kes kematian di dalam tahanan polis. Ini sama sekali bercanggah dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, yang menyatakan kerajaan serius untuk menangani kematian dalam tahanan di Perlimen pada Mac tahun ini. Suaram menggesa satu siasatan bebas dijalankan ke atas kematian ini seperti yang sudah diperuntukkan didalam Seksyen 329 (c) dan 334 di dalam Bahagian VIII (Peruntukan Khas) Bab XXXII (Inkuiri Kematian) Kanun Prosedur Jenayah yang memperuntukkan satu inkuiri dijalankan bagi menyiasat punca kematian di dalam tahanan yang didengar oleh koroner.

Kami juga ingin mengingatkan bahawa kesihatan tahanan sepanjang tempoh penahanan adalah di bawah tanggungjawab pihak berkuasa dan ia harus diberikan perhatian yang serius, seperti yang dinyatakan di dalam penghakiman di dalam kes Chandran A.L Perumal oleh Hakim Mahkamah Tinggi S. Nantha Balan pada 9 Januari lalu. Jelas, di dalam kes ini tiada tindakan yang diambil di atas saranan daripada Hakim Mahkamah Tiggi, kerana akses kepada penjagaan kesihatan dan keselamatan Ganesh jelas dikopromi sehingga menyebabkan kematiannya. Dengan kematian terbaru ini, Kontingen Polis Selangor telah mencatatkan jumlah kematian tertinggi di dalam pemantauan Suaram bagi tahun 2017 iaitu enam (6) kematian (sila rujuk pada jadual 1.0). Sebagai Ketua Polis bagi Negeri Selangor beliau perlu bertanggungjawab memberikan maklumbalas diatas kematian yang tertinggi ini.


3. Suaram menuntut agar:

1. Menggantung Pegawai Penyiasat bagi kes Ganeshwaran dan Ketua Balai Klang Utara daripada tugas sehingga siasatan ke atas kematian ini selesai

2. IGP perlu mengadakan satu perjumpaan bersama badan bukan kerajaan (ngo), Suruhanjaya Hak ASASI manusia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi membincangkan penyelesaian dan amalan terbaik dalam menanganni kematian dalam tahanan.

3. Menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC)

4. Menjalankan siasatan ke atas kes kematian dalam tahanan mengikut amalan terbaik yang disarankan di atas.

Jadual berikut menunjukkan senarai bagi kes-kes kematian di dalam tahanan yang dipantau oleh SUARAM sepanjang tahun 2017:

Nama:

Tarikh kematian:

Balai Polis:

Lokasi kematian:

Negeri

1

Soh Kai Chiok

18 Jan 2017

Balai Polis Bera

IPD Bera

Pahang

2

S Balamurugan

8 Feb 2017

Lokap Balai Klang Utara

Lokap Balai Klang Utara

Selangor

3

Thanaseelan Muniand

25 Feb 2017

Lokap Bukit Sentosa

Lokap Bukit Sentosa

Selangor

4

Siva A/L Raman

20 Mar 2017

Penjara Tapah

Pahang

5

M Segar Mahalingam

19 Apr 2017

IPD Port Dickson

Port Dickson

N. Sembilan

6

Mageswaran a/l Madhavan

24 Apr 2017

Penjara Seremban

Penjara Seremban

N. Sembilan

7

Mohd Izhar Abdul Rahman

27 Apr 2017

IPD Seberang Perai Tengah

IPD Seberang Perai Tengah

P. Pinang

8

Parthiban A/l Karuthani

22 Mei 2017

IPD Melaka Tengah

Hospital Melaka Tengah

Melaka

9

Tahanan Reman

17 Jun 2017

Balai Polis Daerah Limbang

Hospital Miri

Sarawak

10

Vickraman Devid

15 Jun 2017

IPD Shah Alam

Kompleks Mahkamah Shah Alam

Selangor

11

Baskar Rao

29 Aug 2017

Jelapang Police Station

Raja Permaisuri Bainun Hospital

Perak

12

Mohd Baihaqy Nik Mat

30 Sep 2017

Bilik Unit Penagkapan Sungai Wangi

Perak

13

Muhammad Lailatulman Mohd Sukri

30 Sep 2017

Bilik Unit Penagkapan Sungai Wangi

Perak

14

Benedict A/L Thanilas

7 Okt 2017

IPD Sentul

Pusat Tahanan Jinjang

Selangor

15

Ong Kok Leong

5 Nov 2017

Penjara Sungai Buloh

Hospital Sungai Buloh

Selangor

16

G. Ganeshwaran

18 Dis 2017

Balai Polis Klang Utara

Hospital Tengku Ampuan Rahimah

Selangor