Bebaskan Tahanan Bawah Umur SOSMA & POCA

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menyambut baik kenyataan yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkenaan salahgunakuasa dan penderaan dalam tahanan, termasuklah kematian dalam tahanan.

Memetik kenyataan YAB Tun, dalam sidang media pada 16 Mei 2018, “Unsur-unsur yang ternampak seperti mendera iaitu ‘torture’ dan sebagainya tidak boleh diadakan”. Tambah YAB Tun, “Sesiapa yang masuk dalam tahanan akan diberi layanan yang baik, jika meninggal dunia akan ada inkues”.

Tun turut menyentuh berkaitan soal siasat yang kebiasaannya berlaku lewat pagi, serta ‘bilik gelap’ semasa soal siasat.

Setelah sekian lama, ini adalah merupakan satu kenyataan yang progresif dan merupakan kenyataan yang ditunggu oleh masyarakat sivil, juga mangsa-mangsa penderaaan dan kematian dalam tahanan.

SUARAM berharap, ianya tidak sekadar kenyataan di media, tetapi dapat dilaksanakan dan dipantau oleh kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri. SUARAM bersedia untuk berjumpa dan bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi menangani masalah penderaan dan kematian dalam tahanan.

Ini masa yang paling sesuai, buat kerajaan untuk meratifikasi Konvensyen Melawan Penderaan (UNCAT), termasuk Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik (ICCPR).

SUARAM juga menyeru supaya pihak kerajaan membebaskan serta-merta, semua tahanan bawah umur, yang ditahan dibawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA), dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA). Kalau pihak polis mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa mereka teruskan dengan menggunakan akta lain yang berkenaan. Begitu juga, batalkan EMD (Alat Pemantaun Electronik yang dipasang terhadap tahanan muda.

Mengikut laporan yang dibentangkan di Parlimen pada November 2017, terdapat 142 orang tahanan bawah umur yang ditahan dibawah POCA, dan 17 orang tahanan bawah umur di bawah SOSMA.

Dalam solidariti,

Sevan Doraisamy
Pengarah Eksekutif
SUARAM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *