Kerajaan dan Polis Jangan Salahguna Kuasa Tafsir Hak Asasi Manusia. Henti Intimidasi Golongan Wanita dan Minoriti.

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) ingin menyatakan kekecewaan terhadap intimidasi dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada penganjur perarakan Sambutan Hari Wanita (SHW) 2019. Dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah pada 9 Mac 2019, PDRM akan memanggil dan menyiasat pihak penganjur perarakan kerana dikatakan tidak mendapat kebenaran atau permit daripada pihak PDRM bagi menganjurkan SHW 2019.

Ingin ditegaskan, menurut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 tiada sebarang kebenaran mahupun permit yang diperlukan untuk menganjurkan perhimpunan aman. Proses yang digariskan adalah pihak penganjur perlu menghantar satu notis kepada pihak polis seperti mana yang telah dilakukan oleh pihak penganjur perarakan SHW 2019 sejajar dengan peruntukan Seksyen 9 APA 2012.

SUARAM berpendapat bahawa kenyataan ini sama sekali ini bercanggah dengan APA 2012 dan merupakan satu bentuk pencabulan kepada kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan yang dijanjikan di dalam perkara 10 Perlembagaan Persukutuan. Menurut pihak penganjur, mereka telah menghantar satu notis pada 25 Mac 2019 dan sudah dipanggil ke balai bagi untuk berjumpa dengan pegawai polis pada 5 Mac bagi berbincang berkenaan dengan perarakan tersebut. Persoalannya mengapa pihak polis masih lagi ingin menyiasat satu perarakan aman yang dianjurkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dan memberikan persepsi buruk terhadap pihak penganjur.

SUARAM juga ingin menyelar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Mujahid Yusof Rawa di laman media sosial menyatakan bahawa perhimpunan ini telah salahguna ruang demokrasi untuk mempromosikan golongan LGBT dan menuntut pihak Kementerian Dalam Negeri untuk mengambil tindakan tegas. Kenyataan ini bercanggah dengan prinsip hak bereksperesi. Ini kerana kebebasan bersuara ataupun berekpresi bukannya satu hak yang dipunyai golongan majoriti dan dikawal oleh kerajaan. Dalam sebuah negara demokratik, kebebasan bersuara dan berekpresi merupakan asas teras negara yang tidak boleh dikawal dan disekat kerajaan, terutamanya bila berdepan dengan pendapat ataupun pendirian yang dipegang golongan minoriti. Kerajaan tiada hak untuk mendiskriminasikan mana-mana pihak dan menghadkan hak asasi kepada golongan tertentu sahaja.

Ingin diingatkan berkenaan dengan tiga kes pembunuhan yang berlaku ke atas golongan transgender yang berlaku pada tahun 2017, termasuk satu kes berprofail tinggi yang melibatkan pembunuhan kejam terhadap seorang transgender yang memberikan keterangan di dalam perbicaraan terhadap serangan berterusan yang berlaku ke atas dirinya. Ini tidak termasuk dengan penahanan, kekerasan dan penghinaan awam golongan minoriti LGBT yang bermotifkan benci yang direkodkan SUARAM[1].

Pihak kerajaan berperanan untuk menjalankan dialog bagi semua pihak, dan memastikan semua rakyat Malaysia, tidak kira bangsa, agama, jantina, ataupun orientasi seksual mendapat ruang yang selamat untuk berdialog dan membincangkan isu pernindasan yang dialami rakyat Malaysia. Walaupun ada pihak di dalam kerajaan tidak bersetuju dengan pendirian minoriti, tetapi kerajaan secara kolektif mempunyai tanggungjawab untuk semua golongan termasuk wanita dan minoriti untuk mempraktikkan kebebasan bersuara dan berhimpun serta menjamin keselamatan dan hak mereka untuk menyuarakan pendapat dan pendirian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *