SEGERA TUNAI JANJI: REFORMASIKAN UNDANG-UNDANG KESELAMATAN, MANSUH PERUNTUKAN DAN UNDANG-UNDANG ZALIM

Kami, wakil organisasi masyarakat sivil, peguam hak asasi, keluarga tahanan SOSMA, mahasiswa serta wakil parti-parti politik melahirkan kekecewaan diatas kegagalan kerajaan untuk mereformasikan undang-undang keselamatan, walaupun telah secara jelas, ia dinyatakan dalam Buku Harapan, yang merupakan manifesto pilihanraya kerajaan hari ini.

Akta SOSMA yang telah diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional terdahulu jelas telah digunakan dan dipolitikkan demi kepentingan mereka. Hal ini jelas sekali, ketika kerajaan Barisan Nasional memerintah, mereka telah memainkan sentimen membasmi pengganas bagi mengaburi mata kuasa besar dunia, terutamanya Amerika Syarikat, bahawa kononnya dengan adanya SOSMA, kerajaan Malaysia telah dengan begitu efektif telah berjaya mengekang aktiviti keganasan.

SOSMA digunakan sebagai alat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di era kepimpinan Dato Zahid Hamidi yang kononnya berjaya menggagalkan sebarang usaha berkaitan aktiviti keganasan dan jenayah terancang yang mungkin berlaku di Malaysia sehingga Malaysia dikatakan sarang pemusatan para pengganas. Namun, yang menjadi mangsa adalah rakyat marhaen yang teraniaya, dituduh serta di fitnah sebagai pengganas.

Hakikatnya, akta ini terlalu banyak kepincangan dan kebobrokkan yang mana memberikan ruang untuk disalah gunakan oleh pihak polis dan kerajaan ketika itu. Antaranya:

1.    Memberi ruang penyahlahgunaan kuasa kepada pihak pendakwa iaitu Polis dan DPP.

Terdapat peruntukkan-peruntukkan di bawah SOSMA yang memberikan kuasa yang luas kepada pihak polis semasa siasatan dan kepada pihak pendawaaan semasa perbicaraan, di mana ia menafikan perbicaraan yang adil kepada tertuduh. Antara peruntukan-peruntukan tersebut, secara ringkasnya, antara lainnya adalah:-

a.    Seksyen 8:  Membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan keterangan yang diklasifikasikan sebagai ‘maklumat sensitif’ ke Mahkamah dan dikecualikan untuk mengemukakannya kepada tertuduh/pihak pembelaan;

b.    Seksyen 14, 15 & 16: Membenarkan pihak pendakwaan mengemukakan ‘saksi terlindung’ dalam perbicaraan yang mana identitinya tidak boleh didedahkan kepada pihak pembelaan/tertuduh dan tidak memberikan keterangan di hadapan mahkamah terbuka. Keadaan ini memberikan kelebihan kepada pihak pendakwaan dalam perbicaraan, manakala bagi pihak pembelaan, ia mendatangkan prejudis yang besar, kerana kebenaran identiti dan demeanour saksi terlindung tidak dapat dipastikan serta memberi ruang untuk pihak pendakwaan merekayasa keterangan (fabrication of evidence);

c.    Seksyen 18 & 19: Keterangan daripada orang yang mati, hilang atau tidak boleh memberikan keterangan di Mahkamah boleh diterima; dan keterangan daripada yang tidak disokong (uncorroborated) oleh kanak-kanak dalam usia mentah juga boleh diterima;

d.    Seksyen 18A: membenarkan apa sahaja keterangan sama ada bertulis atau lisan diterimapakai di Mahkamah, termasuk keterangan 112 tertuduh yang tidak dibuat secara sukarela;

Dalam kes-kes SOSMA yang terkini, pihak polis mengambil penyataan bertulis suspek menurut seksyen18A SOSMA di dalam tempoh reman selama 28 hari tersebut, yang mana ia tidak dibuat oleh suspek secara sukarela.

e.    Seksyen 22 & 23: senarai barang-barang kes sudah memadai untuk dikemukakan sebagai keterangan di Mahkamah walaupun tanpa mengemukakan barang-barang tersebut di Mahkamah sebagai eksibit.

2.    Tahanan untuk siasatan oleh pihak polis selama 28 hari

Seksyen 4 (5) SOSMA memberikan kuasa kepada pihak polis untuk menahan saspek selama 28 hari untuk siasatan tanpa perlu membuat permohonan di Mahkamah. Pihak polis juga diberi kuasa oleh s. 5(2) SOSMA untuk menafikan hak saspek untuk menghubungi atau bertemu peguam selama 48 jam.

Meskipun tiada peruntukan spesifik di bawah SOSMA untuk menafikan saspek berhubung dengan ahli keluarga, pihak polis, terutamanya pegawai penyiasat sering menyukarkan ahli keluarga untuk berhubung dengan saspek. Dalam tempoh ini, hampir kesemua tahanan didera secara fizikal dan mental serta diugut untuk membuat pengakuan terhadap kesalahan.

Tahanan dan ahli keluarga juga diperdayakan oleh pihak polis untuk mengaku atas pertuduhan supaya dapat bebas dengan segera dan tidak digalakkan untuk melantik peguam. Hal ini jelas sekali melanggar hak asasi manusia dan tidak ada bezanya dengan apa yang berlaku semasa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih berkuatkuasa.

3.    Tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin

Seksyen 13 SOSMA memperuntukkan bahawa jaminan tidak boleh diberikan kepada tertuduh yang dipertuduhkan atas kesalahan keselamatan. Meskipun seksyen 13(2) memberikan pengecualian kepada tertuduh berumur bawah 18 tahun, wanita atau orang yang sakit atau tidak berdaya, ia tidak terpakai kepada tertuduh-tertuduh yang dipertuduhkan di bawah Bab VI A Kanun Keseksaan dan Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015.

Tambahan lagi, seksyen 30 SOSMA membenarkan pihak pendakwaan membuat permohonan di Mahkamah untuk tertuduh yang telah dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan untuk direman sementara tamatnya proses rayuan di mahkamah yang tertinggi.

Demi memenuhi komitmen terhadap agenda reformasi serta membendung faham terrorisme, kami menggesa kerajaan untuk:

i.              Menjalankan kempen kesedaran serta menerbitkan senarai jelas kumpulan yang dianggap sebagai pengganas

Kami percaya bahawa kempen kesedaran amat penting bagi membendung orang awam dari terlibat dengan kumpulan-kumpulan yang dikategorikan sebagai pengganas. Kegagalan berbuat demikian akan membuatkan orang awam, terutamanya mereka yang kurang mendapat akses kepada maklumat untuk terlibat dengan kumpulan-kumpulan ini.

Kerajaan, melalui Kementerian Dalam Negeri harus mempertingkatkan kempen kesedaran ini, seterusnya menyebarluas senarai kumpulan-kumpulan ini.

ii.            Mengenakan moratorium ke atas SOSMA segera

Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri seperti yang dilaporkan oleh The Star bahawa SOSMA akan dimansuhkan, kami menggesa supaya moratorium dikenakan ke atas Akta ini agar ia tidak digunakan sementara ini.

Pihak polis masih boleh terus menggunakan Kanun Tatacara Jenayah sebagai prosedur asal bagi menjalankan penahanan dan siasatan.

iii.            Kaji semula proses rehabilitasi

Rehabilitasi adalah program penting bagi menyediakan tahanan sebelum dan selepas kembali kepada masyarakat. Rehabilitasi yang sambil lewa, dikhuatiri memberikan kesan buruk kepada jangka masa panjang.

Kami juga masih menerima aduan daripada tahanan-tahanan berkenaan keberkesanan dan pengisian dalam proses rehabilitasi sehingga hari ini.

Cadangan kami adalah seperti berikut:

                                a.    Melihat semula perlaksanaan dan keberkesanan proses rehabilitasi untuk tahanan SOSMA, serta mewujudkan satu mekanisme baru dalam memantau perjalanan proses rehabilitasi, dengan melibatkan pihak ketiga sama ada Majlis Peguam, SUHAKAM ataupun organisasi masyarakat sivil.

                                b.    Memberi lebih penekanan dalam aspek rehabilitasi buat tahanan soft supporter, dan memantau proses radikalisasi dalam tahanan.

                                 c.    Menggubal undang-undang bagi membolehkan tahanan yang memiliki kecenderungan rendah untuk memalui proses rehabilitasi di pusat pemulihan, berbanding tahanan penjara.

iv.           Isu Double Jeopardy

Kerajaan perlu memastikan bahawa tahanan yang bakal dibebaskan selepas menjalani hukuman, tidak akan ditahan semula dibawah akta POCA atau POTA.

v.           Hak sama rata untuk tahanan SOSMA

Kami menggesa supaya tahanan SOSMA diberi layanan yang sama seperti tahanan jenayah yang lain:

i.              Masa riadah yang lebih diluar sel tahanan seperti tahanan jenayah yang lain.

ii.             Tahanan juga perlu diberikan peluang mengikuti program kemahiran seperti tahanan jenayah yang lain.

iii.            Tahanan sel berasingan hanya digunakan apabila pihak penjara mendapati tahanan tersebut mendatangkan bahaya kepada tahanan lain.

vi.            Mansuh semua undang-undang tahan tanpa bicara

Memahami proses yang perlu diambil oleh pihak kerajaan sebelum akta ini dapat dimansuhkan segera, kami menggesa supaya akta ini dapat dimansuhkan dalam tempoh setahun. Sekiranya kerajaan bercadang menggantikan undang-undang sedia ada dengan satu undang-undang yang baru, kami menggesa agar organisasi masyarakat sivil, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, serta peguam hak asasi dilibatkan dalam proses perbincangan.

Kami juga menggesa agar kerajaan berpegang teguh dengan janji untuk memansuhkan Akta Pencegahan Jenayah (POCA), seperti yang terdapat dalam Buku Harapan serta memansuhkan peruntukan zalim dalam Akta Pencegahan Keganasan (POTA).

POCA dan POTA adalah merupakan undang-undang tahan tanpa bicara, yang lebih bersihat menghukum (punitive) daripada mencegah (preventive). Ia tidak jauh bezanya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang wujud satu ketika dahulu, yang malah, telah dikenakan keatas Menteri, Timbalan Menteri serta ahli parlimen dan ADUN kerajaan hari ini.


Hak-hak untuk perbicaraan adil di jamin di dalam Artikel 3 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang menyebut; “Setiap orang adalah berhak kepada nyawa, kebebasan dan keselamatan diri.”, serta Artikel 9 UHDR yang menyebut; “Tiada sesiapa pun boleh dikenakan tangkapan, tahanan atau pembuangan negeri secara sewenang-wenangnya.”.

vii.           Menubuhkan Tribunal

Menubuhkan sebuah tribunal untuk menyiasat salahgunakuasa oleh pihak polis atau pihak pendakwaan dalam perlaksanaan SOSMA. Mangsa penderaan yang dikenal pasti oleh tribunal tersebut, mesti diberikan peluang untuk proses rehabilitasi serta bantuan kaunseling.

Kami dengan ini mendesak agar Kerajaan Pakatan Harapan, khususnya Kementerian Dalam Negeri memberikan perhatian penuh terhadap bantahan dan cadangan dari pihak kami ini dengan harapan agar rakyat tidak dizalimi dengan undang-undang drakonian di bawah kerajaan pilihan rakyat i

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *