Isu sekatan import minyak sawit FGV oleh CBP: FGV perlu jelaskan mengapa MoU dengan SUHAKAM tidak dilanjutkan selepas tahun 2019

SUARAM memandang serius sekatan import minyak sawit FGV oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika pada 30/9/2020. Walaupun FGV menafikan dakwaan CBP, namun CBP mengatakan tindakan ini diambil selepas penyiasatan FGV selama setahun.

FGV telah menyatakan langkah-langkah konkrit telah diambil untuk memelihara isu hak asasi manusia dan piawaian buruh. FGV juga telah menyatakan bahawa isu-isu yang dibangkitkan oleh CBP telah menjadi isu hangat sejak tahun 2015 dan FGV telah mengambil beberapa langkah-langkah untuk menyelesaikannya. FGV seterusnya menyatakan segala usaha ini telah didokumen dan boleh didapati di laman-laman utama.

Di antara dakwaan-dakwaan CBP terhadap FGV ialah penyalahgunaan kuasa ke atas mereka yang lemah, penipuan, keganasan fizikal dan seksual, intimidasi dan ancaman, penyimpanan dokumen pengenalan diri.

SUARAM di sini ingin menarik perhatian berkenaan MoU yang ditandatangani di antara FGV dan SUHAKAM pada tahun 30/3/2017. MoU selama 2 tahun ini bertujuan untuk menyebarkan keakuran dan memenuhi piawaian hak asasi manusia dalam perniagaan. Pada masa itu juga, FGV telah menyatakan bahawa MoU ini telah ditandatangani untuk mewujudkan satu rangka kerja memenuhi UNGPBHR (United Nations Guiding principles on Business and Human Rights).

Selain itu juga telah dinyatakan bahawa SUHAKAM akan membuat lawatan kerja untuk memantau supaya piawaian BHR (Business and Human Rights) dipatuhi oleh FGV.

SUARAM berpendapat soalan-soalan di bawah perlu dijawab oleh FGV di ambang sekatan import minyak sawit oleh CBP Amerika.

  1. Kenapakah MoU tersebut tidak diperbaharui selepas tamat tempoh pada Mac 2019?
  2. Apakah hasil MoU tersebut dan adakah ia pernah diterbitkan?
  3. Apakah yang cuba dimaksudkan oleh FGV berkenaan kenyataan pada 9/5/2019 yang berbunyi sebegini:
    ‘MoU (dengan SUHAKAM) yang tamat tempoh pada Mac 2019 tidak memberikan apa-apa implikasi
    kewangan kepada FGV atau subsidirinya’. Adakah ini bermaksud FGV tidak mempunyai kesungguhan dalam
    mempertahankan isu hak asasi manusia dalam perniagaannya melainkan ia melibatkan impak kewangan?

FGV juga perlu lebih telus dengan piawaian hak asasi manusia yang diamalkan oleh sub-kontraktor FGV.