Hak Berdemonstrasi adalah Hak Asasi bawah Jaminan Perlembagaan Persekutuan

大马人民之声

SUARA RAKYAT MALAYSIA

433A, Jalan 5/46, Gasing Indah,

46000 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

Telephone: +6 03 7784 3525                            Fax: +6 03 7784 3526

Email: [email protected]                             Web: www.suaram.net

Kenyataan Akhbar: 15 Jun 2011

 

Hak Berdemonstrasi adalah Hak Asasi bawah Jaminan Perlembagaan Persekutuan

 

 

SUARAM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sering kali mempergunakan agensi penguatkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menghalang rakyat untuk berhimpun secara aman.

Untuk rekod, hak berhimpun (secara aman) merupakan hak asasi manusia yang dijamin di bawah Artikel 10, Perlembagaan Persekutuan yang mana rakyat  diberikan hak untuk berhimpun dan berpersatuan. Namun, hak ini seringkali dinafikan oleh kerajaan.

Baru-baru ini, BERSIH iaitu satu gabungan bukan kerajaan, telah mengumumkan satu perhimpunan aman secara besar-besaran akan diadakan pada 9 Julai di Kuala Lumpur bagi menuntut pilihan raya bersih dan bebas. Ia sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang bakal diadakan.

Namun, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein dan Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Khalid Abu Bakar menempelak rancangan perhimpunan tersebut dan melabelkannya sebagai satu usaha yang boleh mencetus kekacauan dan menggugat keselamatan awam.

Khalid Abu Bakar pula hari ini mengeluarkan amaran akan melakukan tangkapan ‘pencegahan’ (jika perlu) pada tempoh sebelum dan selepas perhimpunan.

SUARAM mengambil berat akan amaran yang dikeluarkan oleh pihak PDRM dan berpendapat bahawa ia merupakan satu pencabulan hak asasi manusia yang bersifat terang-terangan. Sebagai salah sebuah negara ahli dalam Majlis Hak Asasi Manusia Sedunia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Malaysia perlu memahami dan mematuhi hak dan prinsip tersebut.

Sekatan dan amaran bagi menghalang rakyat menyertai perhimpunan aman ini merupakan satu pelanggaran hak asasi manusia yang amat serius. Lebih-lebih lagi, hak berhimpun tersebut merupakan satu hak yang bersifat universal seperti yang terkandung dalam Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (UDHR).

SUARAM juga mengkritik kenyataan PDRM bahawa perhimpunan ini bakal menimbulkan kekacauan dan kesesakan lalu lintas. Berdasarkan pemantauan SUARAM dalam beberapa siri perhimpunan aman sebelum ini, PDRM merupakan pihak yang mencetuskan suasana kelam kabut dan kacau bilau. Ia berlaku akibat tindakan PDRM yang lebih cenderung menggunakan kekerasan seperti penggunaan senjata pemedih mata, kereta pemancut air (water canon) serta tangkapan membuta tuli. Ia juga merupakan satu penyalahgunaan kuasa oleh pihak PDRM sendiri.

Merujuk kepada kenyataan/penyelidikan yang dikeluarkan oleh ‘Projek Keadilan Sedunia ’(The World Justice Project),  Malaysia adalah empat negara yang menduduki tangga terakhir dalam isu jaminan hak asasi manusia.

Oleh yang demikian, SUARAM menuntut kerajaan khususnya KDN dan PDRM untuk segera menarik balik kenyataan bagi menghalang rakyat untuk hadir pada perhimpunan aman tersebut.

Selain SUARAM sebagai badan hak asasi manusia, kami juga menuntut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) untuk memainkan peranan bagi memantau dan memastikan hak asasi bagi setiap rakyat yang menghadiri perhimpunan tersebut terjamin.

Kami mengingatkan kerajaan supaya tidak melakukan tangkapan dan penindasan hak asasi manusia kepada mana-mana individu khususnya sewaktu perhimpunan tersebut dijalankan dan tidak teragak-agak untuk memajukan hal berkaitan (pencabulan hak asasi manusia) ke agensi badan bukan kerajaan antarabangsa dan meminta PBB menilai semula keahlian Malaysia dalam Majlis Hak Asasi Manusia, PBB.

Yap Heng Lung

Penyelaras SUARAM