DSC_3108.JPG

Press Statements

[Kenyataan Media]: Dua Kematian Pada Dua Minggu Pertama 2022 Membimbangkan, Respon PDRM dan USJKT Tidak Meyakinkan.

17 Januari 2022

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), mengiktiraf usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bersikap telus dalam penyiasatan ke atas kematian dalam tahanan. Setakat yang dilaporkan oleh PDRM, dua kematian dalam tahanan yang berlaku dalam dua minggu pertama tahun 2022 iaitu di Lokap IPD Taiping pada 13 Januari dan yang terbaru semalam, di Lokap Balai Polis Pengkalan Chepa. Ini merupakan sesuatu yang amat mengusarkan, dimana ia menunjukkan kadar kematian tinggi di Malaysia dan berkemungkinan kurang dilaporkan sebelum ini.

Kematian dalam tahanan merupakan isu kepentingan awam dan maklumat-maklumat penting berkenaan penyiasatannya perlulah dimaklumkann kepada umum. Namun, dalam kenyataan media yang diberikan oleh PDRM berkenaan dengan dua kematian ini, masih banyak maklumat yang tidak didedahkan. Dalam dua kematian ini juga, kita masih belum mendapat punca kematian yang sepatutnya diketahui melalui laporan bedah siasat iaitu satu prosedur wajib bagi kematian dalam tahanan. Kami juga ingin mengetahui, adakah ahli keluarga mangsa sudah dimaklumkan berkenaan dengan kematian ini?

Susulan daripada kematian yang dilaporkan di Lokap IPD Taiping minggu lalu, pihak polis telah menahan dua anggota polis, dan dua tahanan lokap bagi tujuan siasatan. Walau bagaimanapun, sebab mereka ditahan dan apakah penglibatan mereka di dalam kematian tersebut tidak dinyatakan. Hal ini menimbulkan banyak pertanyaan daripada orang ramai.

Juga ingin kami tegaskan, prosiding inkues perlu dijalankan setelah kematian dalam tahanan berlaku, seperti yang termaktub di dalam Kanun Prosedur Jenayah. Kematian-kematian ini walaupun telah disiasat oleh pihak Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), haruslah tetap melalui proses inkues.

Dua kematian ini juga juga merupakan satu penanda aras yang jelas bahawa satu badan bebas diperlukan dalam meningkatkan keupayaan operasi dan sistem kepolisan untuk menghapuskan kematian dalam tahanan secara keseluruhan. Kami juga ingin menyeru agar usaha penubuhan pusat pemeriksaan kesihatan dan rawatan di lokap polis dipercepatkan.

SUARAM juga ingin mengulangi bahawa siasatan yang dijalankan USJKT tidak menimbulkan keyakinan memandangkan ia masih lagi pihak polis menyiasat salah laku jabatan polis yang lain. Penyelesaian terbaik dalam mendapatkan kebenaran dan keadilan bagi kematian dalam tahanan haruslah sama ada melalui inkues kehakiman atau siasatan daripada badan yang bebas daripada pasukan polis.