Teater Bilik Sulit, Usaha Untuk Melawan Akta Drakonian, Inisiatif Promosi Hak Untuk Dibicarakan

Bilik Sulit 26 27 28 feb 14

Setelah menjelajah hampir keseluruh semenanjung Malaysia, SUARAM dengan kerjasama Radio Bangsar Utama akan menganjurkan pementasan Teater Bilik Sulit yang akan dipentaskan di Dewan Theatrette Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) selama 3 hari iaitu pada 26,27 dan 28 Febuari 2014 bermula 8.30 malam. Ini merupakan kali kedua teater ini dipentaskan di Kuala Lumpur setelah pementasan pertama pada September tahun lalu. Pementasan kali ini juga diadakan sebagai salah satu program yang dirancang di bawah Kempen RAKYAT BANTAH TAHAN TANPA BICARA yang akan dilancarkan pada malam pertama pementasan teater berkenaan.

SUARAM percaya pementasan teater ini akan memberi mesej secara langsung kepada Kerajaan Malaysia agar memansuhkan semua akta drakonian seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas)(SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) (POCA) dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (DDA).

Akta-akta ini mencabuli hak untuk dibicarakan seperti yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa (UDHR 1948). Selain itu, akta-akta ini juga bercanggah dengan prinsip asas keadilan atau Natural Justice yang menetapkan seseorang itu perlu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah melalui perbicaraan yang adil dan terbuka.

Selain menjadi medium pendesak untuk Kerajaan memansuhkan undang-undang zalim, teater ini juga menjadi satu inisiatif untuk mempromosikan hak untuk dibicarakan sebagai hak yang perlu difahami dan diperjuangkan oleh rakyat Malaysia. Setiap rakyat memiliki hak-hak eksklusif yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 5 (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan setiap individu yang dituduh berhak mendapat pembelaan dan diwakili oleh peguam di mahkamah. Rakyat yang memahami hak ini akan mampu menangkis sebarang alasan yang diberikan oleh Kerajaan untuk merasionalkan penggubalan akta-akta drakonian.

Selain dapat menyaksikan teater Bilik Sulit, orang ramai yang hadir juga boleh menyaksikan pameran Wall of Death iaitu sebuah pameran yang memaparkan wajah-wajah mangsa yang mati dalam tahanan pihak berkuasa. Penonton yang hadir juga boleh menyokong kempen RAKYAT BANTAH TAHAN TANPA BICARA dengan menandatangani petisyen Rakyat Bantah Undang-Undang Tahan Tanpa Bicara yang akan disediakan sepanjang tiga malam berkenaan. SUARAM mensasarkan untuk mengutip sebanyak 100,000 tandatangan masyarakat Malaysia dan akan diserahkan kepada Perdana Menteri Malaysia.

Oleh itu SUARAM ingin mengundang rakyat Malaysia yang berkelapangan untuk hadir dan memberi sokongan terhadap kempen ini. SUARAM amat mengharapkan sokongan semua pihak bagi memperjuangkan pemansuhan SOSMA, POCA dan DDA sekaligus membebaskan Malaysia daripada sebarang undang-undang drakonian.

Sekian, terima kasih.

 

Syukri Razab

Penyelaras

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)

 

 

Turun Protes 15 Feb, Suarakan Tuntutan Kita, Mansuhkan Sosma

Protes SOSMA 1SUARAM: 12 FEBUARI 2014

TURUN PROTES 15 FEB, SUARAKAN TUNTUTAN KITA, MANSUHKAN SOSMA

Pada 7 Febuari lepas, genap setahun tahanan SOSMA pertama iaitu Yazid Sufaat dan Hilmi Hasim ditahan di Penjara Sungai Buloh. Sejak SOSMA digubal pada 22 Jun 2012, akta drakonian ini menjadi senjata oleh pihak Polis untuk menakut-nakutkan rakyat daripada mempraktikkan kebebasan bersuara, kebebasan berekspresi dan kebebasan berhimpun secara aman.

Hal ini menjadikan SOSMA bukan sahaja bermasalah dari segi kandungannya, tetapi juga mewujudkan risiko salah guna kuasa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab demi menjaga kepentingan tertentu. Sebagai buktinya, telah ramai menjadi mangsa ugutan SOSMA seperti aktivis pembaharuan Pilihanraya, PY Wong, Aktivis cetak baju, Zul Raidy, dan juga penganjur himpunan TURUN 31 Disember.

Oleh itu, sebagai bantahan yang konsisten terhadap akta drakonian ini, SUARAM dengan kerjasama kumpulan peguam hak asasi dan beberapa kumpulan anak muda akan mengadakan protes pada 15 Febuari ini, iaitu pada hari Sabtu, bertempat di Tasik Simfoni KLCC, bermula jam 2 petang.

Bersesuaian dengan tahun melawat Malaysia 2014 dan lokasi KLCC sebagai tempat tumpuan orang awam dan pelancong, protes ini akan dijalankan dengan  tema welcome to Malaysia, the land of draconian laws. Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah seperti edaran risalah mengenai hak untuk dibicarakan kepada orang ramai, ucapan pemimpin NGO, anak muda dan mahasiswa serta pameran plakad yang membawa mesej mansuhkan akta drakonian.

Peserta yang ingin turut serta dalam protes ini digalakkan memakai baju merah hitam sebagai simbolik bantahan terhadap akta zalim. Warna ini dipilih sebagai kesinambungan perjuangan rakyat membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang juga menggunakan warna merah hitam sebagai warna latar perjuangan. Peserta juga digalakkan membawa plakad sendiri dengan menulis mesej-mesej bantahan terhadap akta drakonian seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) (PCA) dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (DDA).

Oleh itu, SUARAM ingin menyeru rakan-rakan Ngo, peguam, aktivis individu, aktivis anak muda dan mahasiswa untuk turut serta dalam protes ini bagi menyemarakkan dan menyebarluaskan mesej protes ini terhadap orang ramai seterusnya didengari oleh Kerajaan Malaysia sebagai pihak yang bertanggungjawab.

Untuk sebarang maklum balas atau pertanyaan, pihak tuan/puan boleh menghubungi kami di talian 019-8013 149 atau emelkan kepada [email protected]

Sekian. Terima kasih.

 

Syukri Razab

Penyelaras

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)

Sosma, Seksyen 124C Dan 124D Kanun Keseksaan, Senjata Polis Takutkan Rakyat

SUARAM

KENYATAAN MEDIA: 24 JANUARI 2013

SOSMA, SEKSYEN 124C DAN 124D KANUN KESEKSAAN, SENJATA POLIS TAKUTKAN RAKYAT

SUARAM mengecam siasatan yang dilakukan pihak Polis ke atas pencetak baju Zul Raidy Ahmad Tarmizi yang dipanggil untuk diambil keterangan di IPD Serdang semalam. Pihak Polis menyiasat Zul Raidy mengikut peruntukan seksyen 124D Kanun Keseksaan iaitu Percetakan, penjualan dan sebagainya, dokumen dan penerbitan yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Seksyen 124B sehingga Sekyen 124N merupakan seksyen baru yang dipinda ke dalam Kanun Keseksaan pada tahun 2012 bagi menafsir maksud kesalahan keselamatan yang terkandung di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas)2012, SOSMA. Semua sekyen ini memiliki tafsrian mengenai kesalahan-kesalahan yang disifatkan boleh memudaratkan demokrasi berparlimen.

Hal ini juga membawa maksud, siasatan yang dijalankan dibawah seksyen 124B sehingga 124N ini memberi kuasa kepada pihak Polis untuk mengambil tindakan menggunakan SOSMA.  Orang yang ditangkap dibawah SOSMA boleh ditahan selama 28 hari untuk tujuan siasatan, tanpa perlu mendapatkan perintah reman daripada majistret.

Berdasarkan pemerhatian SUARAM sejak SOSMA digubal pada Julai 2012, wujud trend di mana pihak Polis gemar menggunakan seksyen 124C dan 124D sebagai ugutan kepada rakyat.

Pada musim Pilihanraya Umum ke 13 yang lalu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang dan Pendakwaan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Razali Basri dalam satu kenyataan yang disiarkan Utusan Online bertarikh 10 April 2013, berkata, Polis Diraja Malaysia tidak akan teragak-agak untuk menggunakan SOSMA semasa PRU-13 sekiranya berlaku ancaman atau perkara yang tidak diingini.

Tidak lama selepas mengeluarkan kenyataan itu, pada 19 April 2013, seorang aktivis pembaharuan pilihanraya, PY Wong dipanggil ke Bukit Aman untuk disiasat di bawah peruntukan seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen. Sedangkan PY Wong merupakan aktivis dari kempen Tindak Malaysia yang giat menjalankan aktiviti pendidikan pilihanraya terhadap masyarakat.

Pada 21 Disember 2013, Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar, dalam kenyataan yang disiarkan Sinarharian.com.my berkata, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas penganjur dan peserta himpunan 31 Disember 2013 termasuk menggunakan SOSMA.

Pada 30 Disember 2013, jam 9.30 malam, sepasukan anggota Polis cuba untuk menahan aktivis pencetak baju, Zul Raidy di bawah Seksyen 124D Kanun Keseksaan di rumah keluarganya di Taiping. Setelah gagal menemui Zul Raidy, pihak Polis datang pula ke rumah sewa Zul Raidy di Seri Kembangan pada jam 2.30 pagi namun Zul Raidy tidak berada dirumah pada ketika itu. Polis merampas lebih 50 t-shirt dan membawa seorang rakan Zul Raidy ke IPD Serdang untuk diambil keterangan pada jam 5 pagi.

Melihat kepada situasi ini, SUARAM menggesa pihak Polis berhenti daripada menggunakan seksyen 124C dan 124D untuk menakutkan rakyat. Seksyen-seksyen ini mengandungi tafsiran yang terlalu luas sekaligus memberi ruang kepada apihak Polis untuk membuat tafsiran sendiri mengenai kesalahan yang boleh memudaratkan demokrasi berparlimen.

SUARAM ingin bertanya kepada pihak Polis, apakah berhimpun secara aman dan menuntut sesuatu perubahan daripada Kerajaan itu memudaratkan demokrasi berparlimen?. Apakah mencetak baju yang mengajak rakyat berhimpun secara aman itu boleh memudaratkan demokrasi berparlimen?. Apakah mendidik rakyat untuk menjadi pemerhati pilihanraya boleh dianggap memudaratkan demokrasi berparlimen?.

Melihat kepada trend ini, SUARAM merasakan sudah tiba masanya SOSMA perlu dimansuhkan, begitu juga dengan seksyen 124B sehingga 124N, bagi mengelakkan seksyen-seksyen ini tidak ditafsir secara mudah oleh pihak Polis. Pihak Polis dilihat menggunakan seksyen-seksyen ini untuk menghalang ekspresi rakyat terhadap Kerajaan, sedangkan hak untuk berekspresi merupakan hak asasi yang dijamin oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa. Sekiranya SOSMA dan Seksyen-seksyen ini dikekalkan, SUARAM khuatir lebih banyak hak sivil dan politik rakyat Malaysia akan dicabuli.

Sekian.

Wujudkan Semula Isa: Cadangan Lapuk Yang Perlu Ditolak

SUARAM

KENYATAAN AKHBAR : 13 JANUARI 2014

WUJUDKAN SEMULA ISA : CADANGAN LAPUK YANG PERLU DITOLAK

SUARAM mengecam dan menolak kenyataan Tun Mahathir Muhammad yang mengatakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu diwujudkan semula bagi mengekang golongan pelampau agama. Kenyataan Tun M ini kemudiannya disokong oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan PERKASA.

SUARAM percaya cadangan mengembalikan semula ISA itu timbul ekoran kenyataan yang dikeluarkan oleh Paderi Lawrence Andrew yang mengatakan Gereja di Selangor akan terus menggunakan perkataan Allah dalam perhimpunan mingguan mereka. Kenyataan itu dikatakan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 13 Januari 2013 yang menetapkan kalimah Allah adalah hak eksklusif masyarakat Islam.

Mewujudkan semula ISA bermakna Kerajaan akan menghalalkan sesorang itu ditahan sesuka hati, kemudian dihukum dengan penjara dua tahun tanpa dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Apakah ini kaedah yang dicadangkan oleh Tun M dan IGP untuk mengatasi perbezaan pandangan yang berlaku dalam kalangan masyarakat?

Sepanjang 50 tahun kewujudan ISA, akta tersebut sudah terlalu banyak mencabuli hak asasi rakyat. 14 orang penududuk kampung terkorban dalam Operasi Angkara Memali 1985, puluhan aktivis rakyat ditahan dalam Operasi lalang 1987 dan ramai pemimpin politik ditahan semasa Reformasi 1999.

Semestinya rakyat tidak akan lupa bagaimana ISA telah digunakan untuk menahan pemimpin politik tahun 2001 yang akhirnya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2012 menetapkan penahanan tersebut sebagai salah dan berniat jahat.

SUARAM tidak ingin menafikan tugas Polis yang perlu menjalankan tanggungjawab demi menjaga keamanan dan keharmonian Negara, namun tugas itu tetap boleh dilaksanakan tanpa wujudnya ISA memandangkan Negara kita sudah memiliki undang-undang yang komprehensif. Mengambil contoh Kanun Prosedur Jenayah, akta tersebut memberi ruang kepada pihak Polis untuk memanggil, menyiasat bahkan menahan mana-mana individu yang boleh menggugat keselamatan Negara.

UN Working Group On Arbitrary Detention yang datang ke Malaysia pada tahun 2010 pernah mencadangkan agar Kerajaan memansuhkan undang-undang yang mengandungi peruntukan tahan tanpa bicara seperti ISA dan Ordinan Darurat (EO).

Saranan itu dikeluarkan setelah jawatankuasa berkenaan mendapati ISA dan EO bukan sahaja mencabuli prinsip hak asasi, tetapi ISA dan EO telah banyak disalahguna untuk menahan individu yang menjadi musuh politik kepada pihak Kerajaan.

Pada tahun 2012, akibat desakan rakyat, pihak Kerajaan telah memansuhkan undang-undang zalim  ISA dan EO. Namun Hak Asasi di Malaysia tidak menjadi lebih baik apabila Kerajaan menggubal Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan)2013 (PCA).

Oleh itu, sekiranya ISA diwujudkan semula, lebih banyak kezaliman and penindasan akan berlaku dan Malaysia akan dipandang oleh masyarakat antarabangsa sebagai Negara diktator kerana memiliki terlalu banyak undang-undang yang menghalalkan penahanan tanpa perbicaraan.

Kerajaan Malaysia sewajarnya mampu mencari solusi yang selaras dengan hak asasi manusia bagi mengatasi konflik yang berlaku dalam kalangan masyarakat.

Memetik sebuah laporan yang dikeluarkan oleh United State Institute Of Peace pada tahun 2008, laporan tersebut menerangkan bagaimana integrasi antara Agama boleh dicapai sekiranya pemain-pemain politik dan ketua-ketua agama menjadi orang tengah bagi  meredakan sebarang konflik yang berlaku. Laporan yang ditulis oleh David R. Smock itu menyifatkan ketegangan yang timbul perlu diselesaikan secara toleransi melalui dialog dan perbicangan yang matang.

Oleh itu SUARAM menganggap cadangan untuk mengembalikan ISA sebagai cadangan lapuk dan perlu ditolak oleh rakyat dan Kerajaan Malaysia.

Syukri Razab

Penyelaras

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)

Pembebasan Terakhir Tahanan ISA : Satu Kejayaan Perjuangan Rakyat

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengucapkan selamat pulang ke pangkuan keluarga kepada 6 orang tahanan ISA terakhir yang dibebaskan 5 Januari lepas. Tahanan tersebut terdiri daripada 4 orang warga tempatan iaitu Ustaz Nazri Dollah, Bakar bin Baba, Adzmi Pindatun dan Adnan bin Umar, seorang warga indonesia, Darto bin Bandu dan seorang warga Filipina, Muadz bin Hakim. Pihak keluarga memaklumkan kesemua tahanan telah sampai ke rumah masing-masing pada petang 6 januari.

Berdasarkan rekod GMI, semua tahanan tersebut dibebaskan ekoran tempoh perintah tahanan mereka  tamat pada 5 Januari 2014. Oleh itu, GMI menyambut baik pembebasan tersebut dan tindakan KDN untuk membebaskan mereka tanpa tangguh.

GMI berpandangan, tidak ada apa yang boleh dibanggakan oleh pihak Kerajaan berhubung pembebasan terakhir ini. Pembebasan 5 januari ini juga sebenarnya menjadi lambang kesombongan pihak Kerajaan yang enggan membebaskan tahanan lebih awal biarpun didesak hebat oleh rakyat. Pembebasan ini juga boleh dianggap sangat lewat apabila ianya hanya dibuat selepas 1 tahun 5 bulan ISA secara rasminya dimansuhkan. Sedangkan Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk membebaskan tahanan lebih awal.

Tambah parah apabila pembebasan ini dibuat dalam keadaan Kerajaan Malaysia telah menggubal SOSMA dan PCA 2013. Iaitu dua undang-undang mirip ISA yang juga mengandungi peruntukan yang menghalalkan tahan tanpa bicara. SOSMA memberi kuasa kepada pihak Polis untuk menahan seseorang tanpa bicara selama 28 hari manakala PCA 2013 pula memberi kuasa untuk Polis menahan suspek selama 2 tahun tanpa bicara.

GMI juga mengutuk tindakan Kerajaan Malaysia yang enggan menutup Kem Tahanan Kamunting yang dikatakan akan dijadikan tempat tahanan bagi SOSMA, PCA 2013 dan Akta Dadah Berbahaya 1985 (DDA). Menteri Dalam Negeri dalam kenyataan yang disiarkan Utusan bertarikh 6 januari berkata, Kem Tahanan Kamunting akan dikekalkan dan akan dijadikan tempat tahanan bagi SOSMA dan PCA.

Sekiranya Kerajaan benar-benar telus ingin melaksanakan transformasi politik, Kem Tahanan Kamunting yang menjadi simbol kezaliman ISA perlu ditutup. Serentak dengan penutupan Kem itu, Kerajaan juga perlu memansuhkan semua undang-undang yang mengandungi peruntukan tahan tanpa bicara termasuk SOSMA, PCA dan DDA.

GMI berpendirian transformasi yang dilakukan oleh Kerajaan perlulah bersifat holisitik. Janganlah dianggap ISA sebagai berjaya apabila ada berita yang melaporkan tahanan ISA berjaya khatam (tamatkan) bacaan Al-Quran sebanyak 15 kali atau  kerana tidak berlakunya penderaan dan tekanan di dalam kem tahanan, sedangkan keadaan keluarga yang menanggung derita bertahun-tahun tidak pula dilaporkan. Fakta terdahulu tentang penyiksaan bawah ISA juga tidak boleh terpadam dan akan terus kekal dalam ingatan rakyat Malaysia.

Pemansuhan ISA dan pembebasan semua tahanan menjadi tidak bermakna apabila Kerajaan enggan menutup Kem Tahanan Kamunting yang bakal dihuni pula oleh tahanan SOSMA, PCA dan DDA. Keadaan ini menjadikan Malaysia tidak reda daripada pencabulan Hak Asasi akibat akta drakonian yang digubal oleh Kerajaan sendiri. Oleh itu bagi menamatkan espisod kezaliman ISA ini, Kerajaan perlu memansuhkan semua undang-undang tahan tanpa bicara dan juga menutup Kem Tahanan Kamunting.

Akhirnya perjuangan 25 tahun untuk mansuhkan ISA bersama rakyat Malaysia telah tiba ke penghujungnya. Pembebasan 6 orang tahanan terakhir menjadi tanda aras yang menunjukkan matlamat terakhir GMI juga telah tercapai. Sejak ditubuhkan pada tahun 2001, GMI konsisten menyuarakan tuntutan agar undang-undang drakonian ISA dimansuhkan. Kemuncaknya pada 1 Ogos 2009, apabila GMI telah memimpin puluhan ribu rakyat Malaysia berhimpun di Kuala Lumpur bagi mendesak Kerajaan segera memansuhkan ISA.

GMI percaya desakan demi desakan daripada rakyat telah menjadi faktor utama Kerajaan Malaysia melalui Dato’ Seri Najib Razak terpaksa memansuhkan ISA yang secara rasminya termansuh pada 22 Jun 2012.

GMI akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan mengenai pembubaran GMI. GMI juga akan menyumbangkan baki dana yang ada kepada keluarga bekas tahanan ISA dan juga kepada gerakan baru yang akan memimpin perjuangan menentang akta-akta drakonian yang baru. GMI juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan ngo, mahasiswa, parti politik, rakan-rakan media dan seluruh rakyat Malaysia yang selama ini menyokong perjuangan GMI.

 

Sekian. Terima kasih

 

 

 

Syed Ibrahim Syed Noh

Pengerusi

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)

 

Syukri Razab

Peyelaras

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)